Monday 18 June 2018

Sebar Ilmu Agama/Hadis Di Facebook/FB Media Sosial

[Sebar Ilmu Agama/Hadis Di FB]

1) Syeikh Dr Yusuf Al Qaradawi ada laman web sendiri mengumpulkan fatwa beliau dalam permasalahan dalam agama, begitu juga As Syeikh Solah Abdul Fatah Al Kholidi. Tetapi apabila di Malaysia ada orang berkongsi ilmu agama di FB dan laman sosial terus diperli sebegini:

'Ulamak dahulu bahas ilmu agama di madrasah, bukan di FB'

'Orang sekarang ini belajar dengan google dan YouTube sahaja'

2) Cuba kita berfikir secara positif, Youtube dan FB merupakan medan untuk menyampaikan ilmu. Orang yang membaca di FB dan YouTube bukanlah mereka 24 jam di depan laptop, mereka juga bertalaqqi kitab tertentu dengan guru mereka.Cuba kita fikir sejenak, dari mana kita mula mengenal ustaz-ustaz yang terkenal dalam masyarakat kita seperti UAI dan lain-lain. Melalui YouTube, FB dan sebagainya.

3) Manfaatkanlah laman sosial ini dengan perkara yang baik. Apabila kita berkongsi sesuatu maklumat di laman sosial, tidak bermakna kita mengajak manusia hanya duduk 24 jam di hadapan Facebook.

4) Berkaitan hadis. Ilmu hadis ialah ilmu yang perlukan sifat berhati-hati. Erti berhati-hati ialah jangan disebarkan tanpa mengetahui statusnya. Demikian yang disebutkan oleh Ibn Hibban dalam muqaddimah Kitabnya al-Majruhin.

5) Jika ulama dulu menulis dan mengumpulkan hadis-hadis masyhur atas lidah masyarakat dan menyatakan statusnya supaya masyarakat tahu, mengapa tidak kita sebar luaskan status yang ulama dah letak itu di dalam FB? Adakah kita nak jadikan FB ini tempat maksiat sahaja?

6) Jangan jadikan ilmu agama ini keseluruhannya eksklusif. Jika ada perkara yang masyarakat perlu tahu bagilah peluang untuk mereka belajar walaupun melalui internet. Kenapa ingin susahkan manusia sedangkan kemudahan dah ada?

Moga bermanfaat.

Dr Rozaimi Ramle


Dunia Penjara Orang Mukmin

Menjadi Muslim yang baik tidak sebahagia kisah ustaz dalam novel-novel cinta. Menjadi Muslimah yang baik tidak seceria model-model hijabista.

Mengamalkan agama dalam dunia pancaroba menuntut kita menyelisihi manusia. Dilihat pelik, dipandang jelek itu lumrah. Terkadang dalam dada dihasut rasa mahu hidup seperti biasa, tenang bersama dosa.

Duhai hati, pujuklah diri, sesungguhnya "dunia penjara Mukmin" dan "akhirat itu lebih baik dan lebih kekal abadi".

-Izzat Al-kutawi