Wednesday 9 October 2019

Jangan Sangka Buruk! Kenapa?

Jangan sangka buruk. 

Kalau orang ditimpa kesusahan hidup, kita menuduhnya pemalas. Padahal dia telah berusaha bersungguh-sungguh, cuma rezekinya setakat itu sahaja. Jangan kata begitu. 

Kalau suami balik ke rumah, rumah pula tidak bersapu, dapurnya kotor, jangan pula menuduh isteri hanya goyang kaki di rumah. Boleh jadi dia sudah kepenatan menguruskan anak-anak. Suamilah yang harus membantu. Jangan kata begitu. 

Kalau kita rajin ke masjid, setiap hari mampu menunaikan solat berjemaah di masjid, jangan menuduh orang yang tidak ke masjid itu tiada hidayah, mungkin dia punya urusan yang lebih utama. Jangan kata begitu. 

Kalau orang lain belajar tidak setinggi kita, hanya sekadar cukup-cukup makan sahaja. Jangan sesekali membodohkan orang, mungkin Allah SWT memberi kemampuan setakat itu sahaja untuknya. Jangan kata begitu. 

Kalau orang tidak memiliki zuriat, jangan kita memandulkan dia, Allah Maha Tahu tentang urusan hamba-hambaNya. Boleh jadi mereka yang memiliki zuriat itulah ujian yang telah membawanya ke neraka. 

Jangan sangka buruk pada orang. Kita tak tahu bagaimana pengakhiran perjalanan hidup kita nanti. Tahu kadar diri kita. 

#ApaYangAdaIniSudahHarapanKita


Kredit #Amir Fathy 

Masa Modal Paling Bernilai Untuk Bertemu Allah

Masa Modal Paling Bernilai Untuk Bertemu Allah

Bila berbicara soal menjaga masa, aku pasti akan ingat pesanan Maulana Asri Yusoff hafizahullah ( MMAY ), entah kenapa hati terlalu dekat dengan nasihat-nasihat beliau, katanya : 

Masa adalah modal kita di dunia ini. Itu sajalah modal yang kita ada untuk melakukan apapun di dunia ini. Kerana jika sudah tiada lagi masa atau sudah kesuntukan masa, maka banyak perkara dalam hidup ini tidak dapat dilakukan. Hatta amal kebaikan yang mahu dibawa bertemu Allah SWT pun tidak dapat disempurnakan “ 

Masa yang paling berharga bagi seorang mukmin adalah apabila dia mampu menjaga masanya dengan sujud kepada Allah SWT. Menjaga masanya untuk solat dan mengadap Tuhan Semesta Alam ini. “ 

Kerana itulah, mereka yang mampu menjaga solatnya, bererti dia telah menggunakan masanya dengan baik. Dan apabila masanya untuk solat dijaga, maka perkara-perkara lain akan lebih terjaga. Kerana dia tahu erti bersyukur yang sebenar “

#ApaYangAdaIniSudahHarapanKita


Kredit : #Amir Fathy 

Sunday 6 October 2019

Dalam Hidup Ini, Ingatlah Jalan Pulang!


Dalam Hidup Ini, Ingatlah Jalan Pulang 

1. Hidup ini sebuah perjalanan yang panjang. Dalam permusafiran pasti akan kita tempuhi jalan yang penuh onak dan duri serta dipenuhi kaca dijalanan. Adakalanya kita terluka dan cedera, akan tetapi itu bukan tanda tuhan murka, ia kafarah penyucian dosa oleh tuhan terhadap hamba.

2. Setelah  kita terpijak kaca, kita akan lebih berhati-hati agar tidak lagi terpijak dan tercedera pada tempat yang sama. Demikian lah insan yang sentiasa belajar dan belajar tiap detik dan masa tanpa mengenal usia.

3. Dalam kehidupan ini jangan terlalu banyak makan hati. Ada insan yang disebabkan perkara remeh dan kecil, menyebabkan mood sehariannya berubah menjadi buruk. Jiwa pejuang perlu kental, tidak mudah rapuh dan terasa hanya kerana perkara biasa.

4. Ada manusia yang orang tidak respon postnya di group WhatsApp, merajuk membawa diri. Ada insan apabila rakannya tidak 'like" status Facebooknya, terus overthinking:
"Kenapa si fulan tak nak kawan aku lagi"
Jiwa pendekar bukanlah jiwa yang lemah.

5. Adakalanya manusia menentang dan berlawan dengan jiwanya sendiri. Sesekali terdetik dalam jiwa insan:
'sampai bila aku harus begini, bangun pagi pergi kerja, bangun pagi pergi kelas belajar'

6. Bersabarlah, hakikatnya hidup ini sebuah perjalanan yang akan kita temui jalan pulang dan pengakhiran. Setiap pekerjaan yang kita lakukan ada pahalanya di sisi tuhan. Rasulullah pernah menyebutkan أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِى أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ antara pahala yang besar adalah kita memberikan nafkah atau membantu keluarga. Setiap kali kita bekerja, biarpun perit, ada ganjaran di sisi Allah.

7. Semua insan ada peranan masing-masing, si isteri menguruskan rumah, anak belajar dan mencari nafkah untuk keluarga. Kesemua apa yang manusia lakukan ini, akan ada ganjarannya di sisi Allah ketika kita di kembalikan pada hari kebangkitan di alam sana. Bersabarlah.

Kredit : #Ustaz Amir Farhan