Sunday 18 August 2019

Keluar Darah Jerawat, Dikira Najis Batal Solat?

Keluar Darah Jerawat, Dikira Najis Batal Solat?

1. Sekiranya jerawat yang ada keluar darah nya yakni pecah, adakah dikira najis dan membatalkan solat? Di dalam mazhab syafie ada perbahasan berkenaan perkara ini.

2. Ada ulamak syafieyah yang membezakan antara jerawat itu pecah sendiri ataupun ia dipicit. Ada juga ulamak syafieyah yang membezakan antara darah jerawat yang keluar banyak ataupun sedikit.

3. Ulamak mazhab syafie iaitu Imam Mahali ketika mensyarahkan matan Minhaj oleh Imam Nawawi, Imam Mahali berkata dalam Kanzul Raghibin:

دم البثرات بفتح المثلثة جمع بثرة بسكونها وهي خراج صغير كالبراغيث إي كدمها فيعفى عن قليله فقط على تصحيح المحرر سواء أخراج بنفسها ام عصره

"Darah jerawat iaitu yang merupakan bisul kecil hukumnya sama seperti darah kutu. Ia di maafkan jika dengan kadar yang sedikit seperti yang ditashihkan dalam muharrar. Sama ada darah itu keluar sendiri ataupun dengan dipicit"

Maksud ibarat ini adalah hukum darah jerawat ini merupakan najis yang di maafkan yang bererti ia tidak mencacatkan solat atau wuduk kita ketika sedang melakukan solat. Sah solat kita.

4. Ada juga pandangan mengatakan وقيل ان عصره فلا jika sengaja dipicit jerawat itu maka tidak di maafkan. Walaubagaimanapun, Imam Mahali menukilkan pandangan Imam Nawawi yang mengatakan ia di maafkan jika dipicit jerawat itu ataupun keluar sendiri.

Imam Mahali berkata:

وصحح في أصل الروضة العفو عن كثير وعن المعصور

"Imam Nawawi mengsahihkan dalam Raudhah di maafkan pada kadar darah yang keluar banyak ataupun dipicit"

(Imam Jalaludin Mahali, Kitab Kanzul Raghibin Syarah Minhaj Imam Nawawi)

5. Kesimpulannya, ia termasuk dalam najis yang di maafkan dan tidak mencacatkan solat kita menurut Imam Nawawi walaupun jerawat itu dipicit atau sebaliknya.

Tambahan:

- Untuk lebih selamat, sekiranya kita sengaja picit jerawat dan darah keluar banyak sehingga meleleh, maka solat batal seperti dalam dalam kitab tuhfah al-Muhtaj. Jika sengaja picit kemudian keluar sedikit tidak mengapa dan teruskan solat.

- Berapakah kadar banyak atau sedikit pula ulamak berbeza pandangan dalam menentukannya.

- Kebiasaan darah jerawat tidak banyak.

P/s: Esok insyaallah kuliah subuh Kitab Bulughul Maram. Ini tulisan pertama tentang fiqh setelah dihack. Tulisan di fb lama tak dapat diselamatkan.

-Ustaz Amir Farhan

No comments:

Post a Comment