Waqaf & Infaq Di Bulan Yang Diberkati!
Pembinaan Pejabat, Dewan Dan Maktabah (Perpustakaan) Pondok Sungai Durian.
Anggaran Kos RM 1.2 Juta.
Insya' Allah Maktabah ini nanti akan dilengkapi dengan pelbagai kitab-kitab agama bahasa Arab dan Melayu. Pihak PSD akan menjadikannya sebagai tempat rujukan yang terbaik di kawasan ini untuk kemudahan para guru dan pelajar yang datang.
Tabung Waqaf Masih Dibuka & Diperlukan.
Thursday, 28 July 2016
Waqaf & Infaq untuk Pembinaan Pondok Sungai Durian
Solat kabel utama antara manusia dengan Allah
BICARA SYEIKH DR AL-ARIFI TENTANG SOLAT DALAM MASJID UIAM
Disalin semula oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Alhamdulillah tengahari ini, sekali lagi khutbah Jumaat di Masjid UIAM, Gombak disampaikan oleh Syekh Dr. Muhammad Abdul Rahman al-‘Arifi dari Arab Saudi. Kali terakhir beliau berkhutbah di UIAM adalah pada 20 Januari 2012. Dahulu ketika beliau menyampaikan khutbah, saya ada menyalin isinya dan nampaknya isi khutbah pada hari ini (14 Ogos 2015) agak sama dengan sedikit penambahan. Isunya adalah kepentingan solat. Berikut beberapa isinya yang mampu saya ingat:
1) Beliau memulakan khutbahnya dengan kisah pembunuhan Sayyidina Umar oleh Abu Lu’lu’ah al-Majusi. Abu Lu’lu’ah bersembunyi di sebalik tiang masjid ketika Umar mendirikan solat Subuh. Apabila masuk rakaat kedua, dia keluar menerkam dan menikam Umar. Dalam peristiwa itu ramai juga para sahabat Rasulullah SAW yang mati ditikam. Setelah Abu Lu’lu’ah diselubung dengan selimut oleh para sahabat yang cuba menangkapnya, dia membunuh dirinya sendiri. Umar pula jatuh pengsan kerana pendarahan yang teruk. Selepas sedar, perkara pertama yang diminta Umar adalah bekas air untuk dia berwudhuk. Setelah mengetahui pembunuhnya adalah seorang Majusi, Umar mengucapkan pujian kepada Allah kerana orang yang membunuhnya bukanlah seorang Islam yang tentunya bersolat.
2) Baginda Rasulullah ketika akhir hayatnya jatuh sakit dan tidak mampu mengimamkan solat Isyak. Baginda meminta sebekas air untuk disiram ke tubuhnya bagi menyegarkan tubuh baginda agar beliau dapat mengimamkan solat. Setelah cuba bangun baginda SAW jatuh pengsan. Setelah beberapa ketika, baginda tersedar dan terus bertanya : ADAKAH ORANG SUDAH BERSOLAT? Para sahabat mengatakan: Belum lagi wahai Rasulullah kerana mereka sedang menunggumu. Baginda lalu meminta sebekas air dan selepas menyegarkan tubuhnya dengan air tersebut, baginda cuba bangun lagi sekali dan jatuh pengsan sekali lagi. Setelah tersedar Rasulullah terus bertanya: ADAKAH ORANG SUDAH BERSOLAT? Para sahabat menjawab: Belum lagi wahai Rasulullah kerana mereka sedang menunggumu. Baginda lalu meminta sebekas air lagi dan selepas menyegarkan tubuhnya dengan air tersebut, baginda cuba bangun lagi sekali dan jatuh pengsan sekali lagi. Perkara ini berterusan sebanyak tiga kali, dan akhirnya baginda meminta Abu Bakar menggantinya dalam mengimamkan solat (Sahih al-Bukhari & Muslim).
3) Solat juga menjadi amalan para nabi. Ia diulang sebut berkali-kali dalam al-Quran, antaranya :
- Nabi Ibrahim dalam doanya selepas pembinaan Ka’abah:
ﺭَﺏِّ ﺍﺟْﻌَﻠْﻨِﻲ ﻣُﻘِﻴﻢَ ﺍﻟﺼَّﻠَﺎﺓِ ﻭَﻣِﻦْ ﺫُﺭِّﻳَّﺘِﻲ ﺭَﺑَّﻨَﺎ ﻭَﺗَﻘَﺒَّﻞْ ﺩُﻋَﺎﺀِ
Ertinya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku(Ibrahim[14:40]).
- Nabi Musa ketika kali pertama mendapat wahyu:
ﺇِﻧَّﻨِﻲ ﺃَﻧَﺎ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻟَﺎ ﺇِﻟَﻪَ ﺇِﻟَّﺎ ﺃَﻧَﺎ ﻓَﺎﻋْﺒُﺪْﻧِﻲ ﻭَﺃَﻗِﻢِ ﺍﻟﺼَّﻠَﺎﺓَ ﻟِﺬِﻛْﺮِﻱ
Ertinya: "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku (Taha[20:13]).
- Nabi Isa ketika berbicara dalam buaian:
ﻗَﺎﻝَ ﺇِﻧِّﻲ ﻋَﺒْﺪُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺁَﺗَﺎﻧِﻲَ ﺍﻟْﻜِﺘَﺎﺏَ ﻭَﺟَﻌَﻠَﻨِﻲ ﻧَﺒِﻴًّﺎ ( 30 )
ﻭَﺟَﻌَﻠَﻨِﻲ ﻣُﺒَﺎﺭَﻛًﺎ ﺃَﻳْﻦَ ﻣَﺎ ﻛُﻨْﺖُ ﻭَﺃَﻭْﺻَﺎﻧِﻲ ﺑِﺎﻟﺼَّﻠَﺎﺓِ ﻭَﺍﻟﺰَّﻛَﺎﺓِ ﻣَﺎ ﺩُﻣْﺖُ ﺣَﻴًّﺎ ( 31 )
Ertinya: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam[19:30-31]).
- Nabi Zakariyya ketika diberi khabar gembira tentang kelahiran Yahya:
ﻓَﻨَﺎﺩَﺗْﻪُ ﺍﻟْﻤَﻠَﺎﺋِﻜَﺔُ ﻭَﻫُﻮَ ﻗَﺎﺋِﻢٌ ﻳُﺼَﻠِّﻲ ﻓِﻲ ﺍﻟْﻤِﺤْﺮَﺍﺏِ ﺃَﻥَّ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻳُﺒَﺸِّﺮُﻙَ ﺑِﻴَﺤْﻴَﻰ ﻣُﺼَﺪِّﻗًﺎ ﺑِﻜَﻠِﻤَﺔٍ ﻣِﻦَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻭَﺳَﻴِّﺪًﺍ ﻭَﺣَﺼُﻮﺭًﺍ ﻭَﻧَﺒِﻴًّﺎ ﻣِﻦَ ﺍﻟﺼَّﺎﻟِﺤِﻴﻦَ
Ertinya: Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh" (Ali ‘Imran[3:39]).
- Maryam ketika dinobatkan sebagai wanita pilihan:
ﻳَﺎ ﻣَﺮْﻳَﻢُ ﺍﻗْﻨُﺘِﻲ ﻟِﺮَﺑِّﻚِ ﻭَﺍﺳْﺠُﺪِﻱ ﻭَﺍﺭْﻛَﻌِﻲ ﻣَﻊَ ﺍﻟﺮَّﺍﻛِﻌِﻴﻦَ
Ertinya: "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk (Ali ‘Imran[3:43]).
- Nabi Syu’aib ketika berdakwah kepada kaumnya:
ﻗَﺎﻟُﻮﺍ ﻳَﺎ ﺷُﻌَﻴْﺐُ ﺃَﺻَﻠَﺎﺗُﻚَ ﺗَﺄْﻣُﺮُﻙَ ﺃَﻥْ ﻧَﺘْﺮُﻙَ ﻣَﺎ ﻳَﻌْﺒُﺪُ ﺁَﺑَﺎﺅُﻧَﺎ ﺃَﻭْ ﺃَﻥْ ﻧَﻔْﻌَﻞَ ﻓِﻲ ﺃَﻣْﻮَﺍﻟِﻨَﺎ ﻣَﺎ ﻧَﺸَﺎﺀُ ﺇِﻧَّﻚَ ﻟَﺄَﻧْﺖَ ﺍﻟْﺤَﻠِﻴﻢُ ﺍﻟﺮَّﺷِﻴﺪُ
Ertinya: Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" (Hud[11:87]).
- Nabi Ismail:
ﻭَﺍﺫْﻛُﺮْ ﻓِﻲ ﺍﻟْﻜِﺘَﺎﺏِ ﺇِﺳْﻤَﺎﻋِﻴﻞَ ﺇِﻧَّﻪُ ﻛَﺎﻥَ ﺻَﺎﺩِﻕَ ﺍﻟْﻮَﻋْﺪِ ﻭَﻛَﺎﻥَ ﺭَﺳُﻮﻟًﺎ ﻧَﺒِﻴًّﺎ ( 54 ) ﻭَﻛَﺎﻥَ ﻳَﺄْﻣُﺮُ ﺃَﻫْﻠَﻪُ ﺑِﺎﻟﺼَّﻠَﺎﺓِ ﻭَﺍﻟﺰَّﻛَﺎﺓِ ﻭَﻛَﺎﻥَ ﻋِﻨْﺪَ ﺭَﺑِّﻪِ ﻣَﺮْﺿِﻴًّﺎ ( 55 )
Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini `perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. [19.55] Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam[19:54]).
- Nabi Muhammad SAW:
ﻭَﺃْﻣُﺮْ ﺃَﻫْﻠَﻚَ ﺑِﺎﻟﺼَّﻠَﺎﺓِ ﻭَﺍﺻْﻄَﺒِﺮْ ﻋَﻠَﻴْﻬَﺎ ﻟَﺎ ﻧَﺴْﺄَﻟُﻚَ ﺭِﺯْﻗًﺎ ﻧَﺤْﻦُ ﻧَﺮْﺯُﻗُﻚَ ﻭَﺍﻟْﻌَﺎﻗِﺒَﺔُ ﻟِﻠﺘَّﻘْﻮَﻯ
Ertinya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha [20:132]).
4) Seorang bayi yang baru dilahirkan dilaungkan pada telinga mereka dengan AZAN dan tidak dibacakan surah al-Fatihah atau ayat al-Kursi. Mengapa? Ini kerana dalam azan terdapat seruan solat ‘HAYYA ALA AL-SOLAH.” Seakan ia akan menjadi peringatan kepada mereka pada kemudian hari untuk menjaga solat.
5) Apabila hidup manusia berakhir, ia juga turut ditutup dengan solat iaitu SOLAT JENAZAH.
6) Solat juga menjadi pintu rezeki kerana apabila berlaku kemarau panjang, umat Islam disunnahkan melakukan SOLAT ISTISQA’ atau solat memohon hujan.
7) Apabila manusia buntu dalam membuat keputusan, Allah memberikan mereka jalan keluar dengan melakukan SOLAT ISTIKHARAH.
8) Apabila manusia berdosa kepada Allah, Allah juga memberikan jalan keluar kepada mereka dengan SOLAT TAUBAT.
9) Manusia yang tidak bersolat akan menghadapi hidup yang sempit dan kehilangan berkat:
ﻭَﻣَﻦْ ﺃَﻋْﺮَﺽَ ﻋَﻦْ ﺫِﻛْﺮِﻱ ﻓَﺈِﻥَّ ﻟَﻪُ ﻣَﻌِﻴﺸَﺔً ﺿَﻨْﻜًﺎ ﻭَﻧَﺤْﺸُﺮُﻩُ ﻳَﻮْﻡَ ﺍﻟْﻘِﻴَﺎﻣَﺔِ ﺃَﻋْﻤَﻰ ( 124 ) ﻗَﺎﻝَ ﺭَﺏِّ ﻟِﻢَ ﺣَﺸَﺮْﺗَﻨِﻲ ﺃَﻋْﻤَﻰ ﻭَﻗَﺪْ ﻛُﻨْﺖُ ﺑَﺼِﻴﺮًﺍ ( 125 ) ﻗَﺎﻝَ ﻛَﺬَﻟِﻚَ ﺃَﺗَﺘْﻚَ ﺁَﻳَﺎﺗُﻨَﺎ ﻓَﻨَﺴِﻴﺘَﻬَﺎ ﻭَﻛَﺬَﻟِﻚَ ﺍﻟْﻴَﻮْﻡَ ﺗُﻨْﺴَﻰ ( 126 ) ﻭَﻛَﺬَﻟِﻚَ ﻧَﺠْﺰِﻱ ﻣَﻦْ ﺃَﺳْﺮَﻑَ ﻭَﻟَﻢْ ﻳُﺆْﻣِﻦْ ﺑِﺂَﻳَﺎﺕِ ﺭَﺑِّﻪِ ﻭَﻟَﻌَﺬَﺍﺏُ ﺍﻟْﺂَﺧِﺮَﺓِ ﺃَﺷَﺪُّ ﻭَﺃَﺑْﻘَﻰ ( 127 ) ﻗَﺎﻝَ ﻛَﺬَﻟِﻚَ ﺃَﺗَﺘْﻚَ ﺁَﻳَﺎﺗُﻨَﺎ ﻓَﻨَﺴِﻴﺘَﻬَﺎ ﻭَﻛَﺬَﻟِﻚَ ﺍﻟْﻴَﻮْﻡَ ﺗُﻨْﺴَﻰ ( 126 ) ﻭَﻛَﺬَﻟِﻚَ ﻧَﺠْﺰِﻱ ﻣَﻦْ ﺃَﺳْﺮَﻑَ ﻭَﻟَﻢْ ﻳُﺆْﻣِﻦْ ﺑِﺂَﻳَﺎﺕِ ﺭَﺑِّﻪِ ﻭَﻟَﻌَﺬَﺍﺏُ ﺍﻟْﺂَﺧِﺮَﺓِ ﺃَﺷَﺪُّ ﻭَﺃَﺑْﻘَﻰ ( 127 )
Ertinya: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?" Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal (Taha[20:124-127]).
10) Akhirnya beliau meminta semua Jemaah agar menjaga solat serta menasihati para sahabat kita yang tidak bersolat agar menunaikan solat kerana ia adalah kabel utama antara manusia dengan Allah. Tanpa solat, hilanglah keberkatan hidup manusia.
Demikianlah antara isi khutbah Jumaat hari ini yang mampu saya ingat dan kongsi bersama.
Dicatat oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
Pada: Jumaat, 14 Ogos 2015.
Aug 14, 2015
Wednesday, 27 July 2016
Warkah buat sahabat, kita dan Salaf
WARKAH BUAT SAHABAT... [PART 1]
KITA & SALAF...
Kita sebagai pencinta sunnah sememangnya sangat mencintai ilmuwan salaf al-soleh (generasi terdahulu) yang meninggalkan banyak legasi dan contoh kehidupan sebagai panduan…Semoga Allah mengurniakan ganjaran syurga buat mereka yang telah menghabiskan seluruh usia mereka untuk mempertahankan kesucian agama Allah ini dan menyeru manusia ke arahnya…
Namun perlu diakui, kita kini hidup di zaman yang serba serbinya sangat jauh bezanya berbanding dengan dunia salaf terdahulu…
Kita sedang menempuhi zaman yang penuh kejahilan…Penuh fitnah…Penuh ancaman dan pancaroba…
Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang sangat rendah pengetahuan agamanya…Sangat banyak syubhat dan kekeliruannya…Sangat berbeza bangsa, tradisi, gaya pemikiran, sikap dan budayanya…
Malah kita sendiri yang menganggap diri sebagai pejuang sunnah juga tidak lagi memiliki personaliti, passion, keinginan, keupayaan, kekuatan, keilmuan dari segenap sudut sebagaimana yang dimiliki oleh para ilmuwan salaf terdahulu…
Adakah kita memiliki kesungguhan Abu Hatim al-Raziy berjalan kaki sejauh lebih 6000 km selama 7 tahun menuntut ilmu pada peringkat awal usianya??
Adakah semata-mata demi memastikan kebenaran satu berita sahaja kita sanggup mengembara sebagaimana kembara Abu Ayyub al-Ansariy RA dari Madinah menemui ‘Uqbah bin ‘Amir RA di Mesir demi satu hadis yang diragui??
Adakah di negara kita tercinta ini memiliki ramai ilmuwan-ilmuwan setara ‘Affan bin Muslim al-Saffar, Ibn Sa’d, Ibn Ma’in, ‘Aliy bin al-Madiniy, ‘Uthman bin Abu Shaybah, Ahmad bin Hanbal, al-Fallas, al-‘Ijliy, Ya’qub bin Shaybah al-Sadusiy dan ramai lagi yang berasal dari Iraq dan hidup bersama sezaman suatu ketika dahulu??
Adakah kita berani mengaku mengikuti jalan kehidupan salaf yang sanggup berikat perut bertahun lamanya menuntut ilmu serta kental diseksa, dipenjara, dicemuh dalam memperjuangkan agama bak imam Ahmad dan ramai lagi??
Adakah kita sanggup hidup “merempat” di luar negara dan berpindah randah menyampaikan legasi Rasul SAW ini kerana diancam bahaya persis imam al-Syafi’iy, al-Bukhariy dan semisal mereka??
Adakah kita mampu menjadi mujtahid mutlaq yang pelbagai kemahiran dalam kesenian ilmu persis ilmuwan terdahulu??
Adakah kita hidup di zaman dan negara yang rata-rata penduduknya menghafal al-Quran dan mempunyai kefahaman baik tentang asas agama dari pelbagai cabang ilmunya??
Adakah masyarakat melayu kita sama sikap, karakter dan pemikiran seperti kaum arab atau masyarakat benua lain kini mahupun dahulukala??
Kita, masyarakat dan dunia kini penuh dengan kelemahan dan perbezaan…
Pohon kurma yang ditanam di negara kita hanya sedikit yang menjadi...
Pohon durian yang kita tanam di timur tengah barkemungkinan besar juga tidak berhasil kerana perbezaan "cuaca" dan "tabiat" tanah...
Justeru kadangkala kita tidak mampu “menterjemahkan” 100% panduan kehidupan para salaf tercinta yang kita bacai melalui kitab-kitab kuning pada aplikasi buku kehidupan kita dan masyarakat sekeliling kerana kita bukanlah 100% seperti mereka…
Kita barangkali hanya memiliki 1% IQ dan ilmu, 2% amalan, 3% kegigihan, 4% pengorbanan, 5% perjuangan para salaf rahimahumullah…
Lalu mengapa kita begitu ghairah menisbahkan diri pada salaf al-soleh atau sunnah baginda SAW dan menafikan peranan sebahagian sahabat-sahabat kita hanya kerana perbezaan cara dan pendekatan yang sangat subjektif tabiatnya??
Ya, kita bersatu dalam mengikuti manhaj akidah para aimmah solehin terdahulu…
Bersatu dalam memartabatkan sunnah baginda SAW dan memelihara ketulenan agama…
Namun barangkali ada sedikit perbezaan dalam mengaplikasikan kaedah interaksinya dengan masyarakat setempat…
Barangkali juga ada sedikit ketidaksefahaman dalam memahami isu-isu fiqh mahupun ranting ilmu-ilmu yang lain…
Barangkali juga sedikit berbeza ijtihad dalam metode berdakwah, cara dan takhassusnya…
Kita ternyata sangat banyak perbezaan, kekurangan dan kelompongan berbanding para salaf kerana kita hanya secebis dari keupayaan mereka rahimahumullah…
Kerana kekurangan ini, kita di zaman kini perlu saling melengkapi...
Maka raikan perbezaan pendekatan ini (yang difikir sebaiknya) di sebalik penyatuan dalam perkara dan objektif yang kita sepakati bersama...Jagalah pertuturan kita dalam mencahayakan kebenaran...
ﻭَﻗُﻞ ﻟِّﻌِﺒَﺎﺩِﻱ ﻳَﻘُﻮﻟُﻮﺍ ﺍﻟَّﺘِﻲ ﻫِﻲَ ﺃَﺣْﺴَﻦُ ۚ ﺇِﻥَّ ﺍﻟﺸَّﻴْﻄَﺎﻥَ ﻳَﻨﺰَﻍُ ﺑَﻴْﻨَﻬُﻢْ
"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang sebaiknya (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka..." [al-Isra'].
-To be continued…-
July 25 at 12:30pm
WARKAH BUAT SAHABAT... [PART 2]
KERANA KEKURANGAN, KITA SALING MELENGKAPI…
Ada dari kalangan kita yang baik penguasaannya dalam bidang Akidah… Ada pula yang mempesona seni Hadisnya… Ada pula yang tajam minda Syariahnya… Ada pula yang berceracak kefahaman Qurannya…
Ada pula dari kalangan kita yang lebih melangit keilmuannya dari sahabat yang lain…
Ada pula yang lebih petah lisannya berbicara…
Ada pula yang lebih menyentuh coretannya melalui ekspresionisme jari jemari…
Ada pula yang lebih menonjol perwatakan dan peluangnya dalam arena dakwah…
Ada pula yang sangat berbakat di sebalik tabir membantu sang da’ie…
Ada pula yang fokus dakwahnya terhadap non-muslim atau sesetengah kelompok muslim…
Ada pula menumpu seruan pada golongan muda merewang yang terpinggir…
Ada pula yang berjuang di medan politik yang merbahaya…
Ada pula dan ada pula…
Saya percaya kecenderungan kita menceburi dakwah pada sesetengah lapangan atau kelompok sahaja bukan kerana kita tidak ingin menjadi syumul universal…
Akan tetapi kerana kita tiada upaya…Kita tiada daya memiliki tempoh yang memadai untuk melakukan semua itu…
Andainya kita punya 48 jam sehari sekalipun, diri ini tetap dipenuhi alasan: Tiada daya kekuatan, tiada ilmu yang mampan, tiada jiwa yang keghairahan untuk menguasai semua medan…
Saya sangat mengharapkan tiada sahabat-sahabat semedan yang meremehkan peranan sahabat lain yang berjuang dek kerana kekurangan dan kelemahan itu…
Jangan kita menuding jari, sahabat kita hanya sensitif dalam isu hadis, tetapi tidak pada akidah misalnya mahupun sebaliknya…
Ataupun kita katakan dia hanya pilih bulu mengulas isu tertentu dan meninggalkan ulasan isu penting lain…
Barangkali bukan dia tidak mahu…Tetapi dia tidak mampu…Atau dia tidak tahu…Atau dia tidak punya waktu…Atau keupayaannya terhad pada bidang tertentu…
Kita semua pencinta sunnah yang masih membuih cacat cela dalam mensunnahkan kehidupan…
Jika kita kira sudah sunnah dalam penampilan, barangkali kita masih gagap sunnah dalam pertuturan…
Jika kita kira sudah sunnah dalam kepercayaan, barangkali kita masih tempang sunnah dalam amalan…
Jika kita, jika kita…Barangkali, barangkali…Namakan sahaja kelemahan kita sebagai insan!
Kita kini -without any doubt- tiada lagi keupayaan umpama salaf…
Tiada lagi keberkatan pada urusan dan masa harian…
Tidak seperti mereka yang walaupun hidup sesingkat 60 tahun, namun umpama hidup 600 tahun berterusan cahaya legasi sumbangan hingga lebih seribu tahun atau ratusan…
Ya…Kualiti diri kita semakin merudum berbanding para salaf yang mulia walau kita tersangat mahu menjadi seperti mereka…
Cabaran yang dihadapi semakin menggunung bak tsunami yang melanda…
Kekeliruan yang meliputi diri semakin gelita…
Perjuangan agama dan penimbaan ilmu dirasakan semakin sukar walau unta sudah bertukar menjadi kereta…
Lalu kita terpaksa mencobek cebisan-cebisan kecil dari perjuangan para salaf dan kemuliaan mereka untuk kita nikmati sedikit sebanyak saham membela sunnah Muhammad SAW khayr al-anam…
Justeru wahai sahabat-sahabat sekalian, saya yang penuh kedaifan mengajak kita bersama mencantumkan cebisan-cebisan tersebut membentuk satu perjuangan yang ampuh dalam memelihara sunnah junjungan…
*** Berjuanglah dalam bidang yang dikurniakan Allah kepada kita berupa kelebihan..!
Bukankah mafhum hadis al-Bukhariy & Muslim: Para mukmin itu saling melengkapi, saling menyangga, mengukuhi satu sama lain bagai binaan yang teguh??
- Ustaz Kamilin Jamilin
Monday, 4 July 2016
Bolehkah Ziarah Kubur dan Bersedih dihari Raya
ZIARAH KUBUR DAN BERSEDIH PADA HARI RAYA?
Soalan:-
Dr Asri, selamat hari raya, walaupun banyak hari lagi. Soalan, biasanya setiap pagi hariraya saya dan keluarga akan ke kubur arwah ibu kami. Hubungan kami dahulu amat rapat. Apabila di kubur, saya akan cuba ingat memori lama dengan ibu dan saya akan menangis sepuasnya. Saya ceritakan perkara ini kepada kawan sepejabat saya. Dia kata tak baik bersedih pada hari raya. Dia pun ada mention nasihat Dr Asri supaya jangan sedih pada hari raya. Saya sudah lama terbiasa sedih pada hari raya. Rasanya kosong pula kalau tidak menangis pada hari raya. Boleh Dr Asri jelaskan sedikit panduan hari raya?
Ina, Johor
Jawapan Dr MAZA: Saudari Ina yang dihormati. Saya percaya saudari seorang yang sentiasa ingin mencari redha Allah dan RasulNYA, sebab itu saudari ingin memastikan hariraya saudari mengikut panduan yang betul. Saudari hariraya adalah hari yang dikhususkan kepada kita untuk bergembira, bukan untuk bersedih. Banyak perkara jika hendak disebutkan mengenai hari raya, namun dalam ruang yang terbatas ini saya jawab persoalan saudari seperti berikut:
1. Hari raya adalah hari membesarkan Allah dan bersyukur atas kurniaanNya. Kita bertakbir tanda kemenangan, bukan tanda kesedihan. Irama takbir ala melayu agak sedih. Jika kita dengar takbir yang dilaung di dunia Islam yang lain, khususnya di dunia Arab, kita akan tahu irama takbir mereka lebih bersemangat dan lebih mendekati perasaan kemenangan. Firman Allah:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(maksudnya) “..dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur". (Surah al-Baqarah: 185).
Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan hari raya sebagai tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada hari raya. Ini semua menzahirkan kejayaan dan kegembiraan.
2. Hari raya bukan hari menzahirkan suasana sedih, sebaliknya hari raya menzahirkan suasana kekuatan, kegembiraan dan perpaduan umat Islam. Dalam Sahih al-Bukhari ada بَابُ شُهُودِ الحَائِضِ العِيدَيْنِ وَدَعْوَةَ المُسْلِمِينَ، وَيَعْتَزِلْنَ المُصَلَّى (Bab Wanita Haid Menghadiri Dua Hariraya dan Seruan Kaum Muslimin Serta Menjauhi Tempat Solat) Kata Ummu Atiyyah r.aha:
أُمِرْنَا أَنْ نُخْرِجَ الحُيَّضَ يَوْمَ العِيدَيْنِ، وَذَوَاتِ الخُدُورِ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ، وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلُ الحُيَّضُ عَنْ مُصَلَّاهُنَّ
"Kami (kaum wanita) diperintahkan (oleh Rasulullah s.a.w) agar membawa keluar wanita haid pada hari raya fitri dan adha; termasuk juga para gadis agar menyertai perhimpunan dan seruan kaum muslimin. Adapun mereka yang haid menjauhi tempat solat (tidak solat)" (Riwayat al-Bukhari).
Suasana sebegini menimbulkan perpaduan, kekuatan dan kegembiraan. Wanita haid pun ke suruh untuk keluar ke perhimpunan solat, sekalipun bukan untuk solat tetapi untuk menyertai suasana kemeriahan kaum muslimin.
3. Justeru itu, Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang atau musolla (tempat solat). Baginda tidak bersolat di masjid baginda, sekalipun masjid Nabi sangat mulia. Ini bagi menzahirkan suasana gembira dan menggambarkan kepada masyarakat kekuatan umat Islam. Kata Abu Sa’id al-Khudri:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى المُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ
“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari: “Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”. Maka afdal solat di tempat lapang untuk lebih menzahir suasana tersebut. Melainkan tempat lapang sukar didapati, atau hujan atau memberikan kesusahan yang lain kepada orangramai. Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w bersolat di tempat lapang itu menyebut: “Hadis ini menjadi dalil untuk mereka yang berpendapat disunatkan keluar bersolat hari raya di musolla. Ia lebih afdal dari ditunaikan di masjid. Inilah amalan orangramai di pelbagai negara. Adapun orang Mekah, mereka sejak dahulu bersolat di masjid (al-Masjid al-Haram)”. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 6/483. Beirut: Dar al-Khair).
4. Betapa suasana kegembiraan digalakkan pada hari raya, maka Nabi s.a.w mengizinkan atau menggalakkan hiburan seperti nyanyian, pertunjukan dan sukaria yang lain selagi tidak melanggar syariat. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha: bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda:
يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا
“(Biarkan mereka) wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Banyak hadis lain menunjukkan keizinan atau galakan hiburan pada hari-hari kegembiraan seperti hari raya, hari perkahwinan dan seumpamanya. Maka, dendangan lagu hari raya yang menimbulkan suasana kegembiraan adalah digalakkan. Adapun lagu-lagu yang menimbulkan kesedihan ia bertentangan dengan konsep hari raya dalam Islam.
5. Kata Ummul Mukminin ‘Aishah r.ha:
وَكَانَ يَوْمَ عِيدٍ، يَلْعَبُ السُّودَانُ بِالدَّرَقِ وَالحِرَابِ، فَإِمَّا سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِمَّا قَالَ: «تَشْتَهِينَ تَنْظُرِينَ؟» فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَأَقَامَنِي وَرَاءَهُ، خَدِّي عَلَى خَدِّهِ، وَهُوَ يَقُولُ: «دُونَكُمْ يَا بَنِي أَرْفِدَةَ» حَتَّى إِذَا مَلِلْتُ، قَالَ: «حَسْبُكِ؟» قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «فَاذْهَبِي»
“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan apa-apa pertunjukan, permainan atau gurau senda yang tidak melanggar syariat adalah digalakkan pada hari raya. Bukan satu kecacatan untuk orang yang kuat agama menyertainya, kerana Nabi s.a.w sendiri menonton pertunjukan pada hari raya.
6. Maka, jika berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, hiburan kanak-kanak atau dewasa pada hari raya seperti permainan bunga api atau selainnya adalah tidak menyalahi syariat, bahkan digalakkan jika dapat menimbulkan kegembiraan. Begitu juga jamuan pada hari raya, duit raya, hadiah raya dan apa sahaja yang boleh menimbulkan suasana gembira. Namun kesemuanya hendaklah dipastikan dengan kadarnya yang tidak melampaui hukum-hakam syarak.
7. Menziarahi kubur itu pada asalnya disunatkan pada bila-bila masa bagi mengingatkan kita pada hari akhirat. Sabda Nabi s.a.w:
نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا
“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, namun ziarahi sekarang” (Riwayat Muslim).
Pada peringkat awal Nabi s.a.w melarang kerana bimbang kesan jahiliah dahulu masih mempengaruhi masyarakat. Apabila kefahaman Islam sudah kukuh, baginda mengizinkan kerana ia membantu mengingatkan hari akhirat. Ertinya, jika sesiapa yang apabila ke kubur akan terpengaruh dengan amalan khurafat, maka mereka ia sepatutnya mengelakkan diri dari menziarahi kubur. Jika ia menyebabkan mengingatkan hari akhirat, maka ia digalakkan.
8. Walaupun menziarahi kubur itu pada asalnya sunat, namun baginda Nabi s.a.w tidak pernah mengkhususkan supaya diziarahi khubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan hari raya sebagai hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w. Apatahlagi dengan pelbagai upacara yang menyanggahi sunnah Nabi s.a.w yang diadakan oleh sesetengah masyarakat di kubur pada hari raya. Bahkan, jika kita melihat kepada konsep hari raya yang diterangkan, maka perbuatan bersedihan di kubur adalah menyanggahi tujuan hari raya.
9. Pada hariraya disunatkan mandi, berwangian, berpakaian cantik dan berjumpa orang ramai. Dalam hadis Jabir r.a berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
“Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza” (Riwayat al-Bukhari).
Maksudnya, jalan pergi ke tempat dan pulang yang berbeza. Kemungkinan antara hikmahnya untuk berjumpa orang ramai. Maka, berjumpa orang ramai pada hari raya adalah digalakkan dan itu patut menjadi tumpuan, bukan pergi menemui yang telah meninggal dan bersedih di kubur.
10. Pertemuan pada hariraya bukan untuk mencurahkan airmata, tetapi untuk mengucapkan ucapan kejayaan. Para sahabah apabila bertemu pada hari raya mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu)” (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356). Ucapan-ucapan lain tidak salah selagi mengandungi maksud yang baik dan bukan membawa kepada kesedihan dan kedukaan.
11. Maka, jadikanlah hariraya sebagai hari kegembiraan dan kesyukuran, bukan hari kesedihan.
- Dr Mohd Asri Zainul Abidin