Wednesday 27 July 2016

Warkah buat sahabat, kita dan Salaf

WARKAH BUAT SAHABAT... [PART 1]

KITA & SALAF...

Kita sebagai pencinta sunnah sememangnya sangat mencintai ilmuwan salaf al-soleh (generasi terdahulu) yang meninggalkan banyak legasi dan contoh kehidupan sebagai panduan…Semoga Allah mengurniakan ganjaran syurga buat mereka yang telah menghabiskan seluruh usia mereka untuk mempertahankan kesucian agama Allah ini dan menyeru manusia ke arahnya…

Namun perlu diakui, kita kini hidup di zaman yang serba serbinya sangat jauh bezanya berbanding dengan dunia salaf terdahulu…
Kita sedang menempuhi zaman yang penuh kejahilan…Penuh fitnah…Penuh ancaman dan pancaroba…

Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang sangat rendah pengetahuan agamanya…Sangat banyak syubhat dan kekeliruannya…Sangat berbeza bangsa, tradisi, gaya pemikiran, sikap dan budayanya…

Malah kita sendiri yang menganggap diri sebagai pejuang sunnah juga tidak lagi memiliki personaliti, passion, keinginan, keupayaan, kekuatan, keilmuan dari segenap sudut sebagaimana yang dimiliki oleh para ilmuwan salaf terdahulu…

Adakah kita memiliki kesungguhan Abu Hatim al-Raziy berjalan kaki sejauh lebih 6000 km selama 7 tahun menuntut ilmu pada peringkat awal usianya??

Adakah semata-mata demi memastikan kebenaran satu berita sahaja kita sanggup mengembara sebagaimana kembara Abu Ayyub al-Ansariy RA dari Madinah menemui ‘Uqbah bin ‘Amir RA di Mesir demi satu hadis yang diragui??

Adakah di negara kita tercinta ini memiliki ramai ilmuwan-ilmuwan setara ‘Affan bin Muslim al-Saffar, Ibn Sa’d, Ibn Ma’in, ‘Aliy bin al-Madiniy, ‘Uthman bin Abu Shaybah, Ahmad bin Hanbal, al-Fallas, al-‘Ijliy, Ya’qub bin Shaybah al-Sadusiy dan ramai lagi yang berasal dari Iraq dan hidup bersama sezaman suatu ketika dahulu??

Adakah kita berani mengaku mengikuti jalan kehidupan salaf yang sanggup berikat perut bertahun lamanya menuntut ilmu serta kental diseksa, dipenjara, dicemuh dalam memperjuangkan agama bak imam Ahmad dan ramai lagi??

Adakah kita sanggup hidup “merempat” di luar negara dan berpindah randah menyampaikan legasi Rasul SAW ini kerana diancam bahaya persis imam al-Syafi’iy, al-Bukhariy dan semisal mereka??

Adakah kita mampu menjadi mujtahid mutlaq yang pelbagai kemahiran dalam kesenian ilmu persis ilmuwan terdahulu??

Adakah kita hidup di zaman dan negara yang rata-rata penduduknya menghafal al-Quran dan mempunyai kefahaman baik tentang asas agama dari pelbagai cabang ilmunya??

Adakah masyarakat melayu kita sama sikap, karakter dan pemikiran seperti kaum arab atau masyarakat benua lain kini mahupun dahulukala??

Kita, masyarakat dan dunia kini penuh dengan kelemahan dan perbezaan…
Pohon kurma yang ditanam di negara kita hanya sedikit yang menjadi...

Pohon durian yang kita tanam di timur tengah barkemungkinan besar juga tidak berhasil kerana perbezaan "cuaca" dan "tabiat" tanah...

Justeru kadangkala kita tidak mampu “menterjemahkan” 100% panduan kehidupan para salaf tercinta yang kita bacai melalui kitab-kitab kuning pada aplikasi buku kehidupan kita dan masyarakat sekeliling kerana kita bukanlah 100% seperti mereka…

Kita barangkali hanya memiliki 1% IQ dan ilmu, 2% amalan, 3% kegigihan, 4% pengorbanan, 5% perjuangan para salaf rahimahumullah…

Lalu mengapa kita begitu ghairah menisbahkan diri pada salaf al-soleh atau sunnah baginda SAW dan menafikan peranan sebahagian sahabat-sahabat kita hanya kerana perbezaan cara dan pendekatan yang sangat subjektif tabiatnya??

Ya, kita bersatu dalam mengikuti manhaj akidah para aimmah solehin terdahulu…
Bersatu dalam memartabatkan sunnah baginda SAW dan memelihara ketulenan agama…

Namun barangkali ada sedikit perbezaan dalam mengaplikasikan kaedah interaksinya dengan masyarakat setempat…

Barangkali juga ada sedikit ketidaksefahaman dalam memahami isu-isu fiqh mahupun ranting ilmu-ilmu yang lain…

Barangkali juga sedikit berbeza ijtihad dalam metode berdakwah, cara dan takhassusnya…

Kita ternyata sangat banyak perbezaan, kekurangan dan kelompongan berbanding para salaf kerana kita hanya secebis dari keupayaan mereka rahimahumullah…

Kerana kekurangan ini, kita di zaman kini perlu saling melengkapi...

Maka raikan perbezaan pendekatan ini (yang difikir sebaiknya) di sebalik penyatuan dalam perkara dan objektif yang kita sepakati bersama...Jagalah pertuturan kita dalam mencahayakan kebenaran...

ﻭَﻗُﻞ ﻟِّﻌِﺒَﺎﺩِﻱ ﻳَﻘُﻮﻟُﻮﺍ ﺍﻟَّﺘِﻲ ﻫِﻲَ ﺃَﺣْﺴَﻦُ ۚ ﺇِﻥَّ ﺍﻟﺸَّﻴْﻄَﺎﻥَ ﻳَﻨﺰَﻍُ ﺑَﻴْﻨَﻬُﻢْ
"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang sebaiknya (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka..." [al-Isra'].

-To be continued…-

July 25 at 12:30pm


WARKAH BUAT SAHABAT... [PART 2]

KERANA KEKURANGAN, KITA SALING MELENGKAPI…

Ada dari kalangan kita yang baik penguasaannya dalam bidang Akidah… Ada pula yang mempesona seni Hadisnya… Ada pula yang tajam minda Syariahnya… Ada pula yang berceracak kefahaman Qurannya…

Ada pula dari kalangan kita yang lebih melangit keilmuannya dari sahabat yang lain…

Ada pula yang lebih petah lisannya berbicara…

Ada pula yang lebih menyentuh coretannya melalui ekspresionisme jari jemari…

Ada pula yang lebih menonjol perwatakan dan peluangnya dalam arena dakwah…

Ada pula yang sangat berbakat di sebalik tabir membantu sang da’ie…

Ada pula yang fokus dakwahnya terhadap non-muslim atau sesetengah kelompok muslim…

Ada pula menumpu seruan pada golongan muda merewang yang terpinggir…

Ada pula yang berjuang di medan politik yang merbahaya…

Ada pula dan ada pula…

Saya percaya kecenderungan kita menceburi dakwah pada sesetengah lapangan atau kelompok sahaja bukan kerana kita tidak ingin menjadi syumul universal…

Akan tetapi kerana kita tiada upaya…Kita tiada daya memiliki tempoh yang memadai untuk melakukan semua itu…

Andainya kita punya 48 jam sehari sekalipun, diri ini tetap dipenuhi alasan: Tiada daya kekuatan, tiada ilmu yang mampan, tiada jiwa yang keghairahan untuk menguasai semua medan…

Saya sangat mengharapkan tiada sahabat-sahabat semedan yang meremehkan peranan sahabat lain yang berjuang dek kerana kekurangan dan kelemahan itu…
Jangan kita menuding jari, sahabat kita hanya sensitif dalam isu hadis, tetapi tidak pada akidah misalnya mahupun sebaliknya…

Ataupun kita katakan dia hanya pilih bulu mengulas isu tertentu dan meninggalkan ulasan isu penting lain…

Barangkali bukan dia tidak mahu…Tetapi dia tidak mampu…Atau dia tidak tahu…Atau dia tidak punya waktu…Atau keupayaannya terhad pada bidang tertentu…

Kita semua pencinta sunnah yang masih membuih cacat cela dalam mensunnahkan kehidupan…

Jika kita kira sudah sunnah dalam penampilan, barangkali kita masih gagap sunnah dalam pertuturan…

Jika kita kira sudah sunnah dalam kepercayaan, barangkali kita masih tempang sunnah dalam amalan…

Jika kita, jika kita…Barangkali, barangkali…Namakan sahaja kelemahan kita sebagai insan!

Kita kini -without any doubt- tiada lagi keupayaan umpama salaf…
Tiada lagi keberkatan pada urusan dan masa harian…

Tidak seperti mereka yang walaupun hidup sesingkat 60 tahun, namun umpama hidup 600 tahun berterusan cahaya legasi sumbangan hingga lebih seribu tahun atau ratusan…

Ya…Kualiti diri kita semakin merudum berbanding para salaf yang mulia walau kita tersangat mahu menjadi seperti mereka…
Cabaran yang dihadapi semakin menggunung bak tsunami yang melanda…
Kekeliruan yang meliputi diri semakin gelita…

Perjuangan agama dan penimbaan ilmu dirasakan semakin sukar walau unta sudah bertukar menjadi kereta…

Lalu kita terpaksa mencobek cebisan-cebisan kecil dari perjuangan para salaf dan kemuliaan mereka untuk kita nikmati sedikit sebanyak saham membela sunnah Muhammad SAW khayr al-anam…

Justeru wahai sahabat-sahabat sekalian, saya yang penuh kedaifan mengajak kita bersama mencantumkan cebisan-cebisan tersebut membentuk satu perjuangan yang ampuh dalam memelihara sunnah junjungan…

*** Berjuanglah dalam bidang yang dikurniakan Allah kepada kita berupa kelebihan..!

Bukankah mafhum hadis al-Bukhariy & Muslim: Para mukmin itu saling melengkapi, saling menyangga, mengukuhi satu sama lain bagai binaan yang teguh??

- Ustaz Kamilin Jamilin


No comments:

Post a Comment