Wednesday, 9 October 2019

Jangan Sangka Buruk! Kenapa?

Jangan sangka buruk. 

Kalau orang ditimpa kesusahan hidup, kita menuduhnya pemalas. Padahal dia telah berusaha bersungguh-sungguh, cuma rezekinya setakat itu sahaja. Jangan kata begitu. 

Kalau suami balik ke rumah, rumah pula tidak bersapu, dapurnya kotor, jangan pula menuduh isteri hanya goyang kaki di rumah. Boleh jadi dia sudah kepenatan menguruskan anak-anak. Suamilah yang harus membantu. Jangan kata begitu. 

Kalau kita rajin ke masjid, setiap hari mampu menunaikan solat berjemaah di masjid, jangan menuduh orang yang tidak ke masjid itu tiada hidayah, mungkin dia punya urusan yang lebih utama. Jangan kata begitu. 

Kalau orang lain belajar tidak setinggi kita, hanya sekadar cukup-cukup makan sahaja. Jangan sesekali membodohkan orang, mungkin Allah SWT memberi kemampuan setakat itu sahaja untuknya. Jangan kata begitu. 

Kalau orang tidak memiliki zuriat, jangan kita memandulkan dia, Allah Maha Tahu tentang urusan hamba-hambaNya. Boleh jadi mereka yang memiliki zuriat itulah ujian yang telah membawanya ke neraka. 

Jangan sangka buruk pada orang. Kita tak tahu bagaimana pengakhiran perjalanan hidup kita nanti. Tahu kadar diri kita. 

#ApaYangAdaIniSudahHarapanKita


Kredit #Amir Fathy 

Masa Modal Paling Bernilai Untuk Bertemu Allah

Masa Modal Paling Bernilai Untuk Bertemu Allah

Bila berbicara soal menjaga masa, aku pasti akan ingat pesanan Maulana Asri Yusoff hafizahullah ( MMAY ), entah kenapa hati terlalu dekat dengan nasihat-nasihat beliau, katanya : 

Masa adalah modal kita di dunia ini. Itu sajalah modal yang kita ada untuk melakukan apapun di dunia ini. Kerana jika sudah tiada lagi masa atau sudah kesuntukan masa, maka banyak perkara dalam hidup ini tidak dapat dilakukan. Hatta amal kebaikan yang mahu dibawa bertemu Allah SWT pun tidak dapat disempurnakan “ 

Masa yang paling berharga bagi seorang mukmin adalah apabila dia mampu menjaga masanya dengan sujud kepada Allah SWT. Menjaga masanya untuk solat dan mengadap Tuhan Semesta Alam ini. “ 

Kerana itulah, mereka yang mampu menjaga solatnya, bererti dia telah menggunakan masanya dengan baik. Dan apabila masanya untuk solat dijaga, maka perkara-perkara lain akan lebih terjaga. Kerana dia tahu erti bersyukur yang sebenar “

#ApaYangAdaIniSudahHarapanKita


Kredit : #Amir Fathy 

Sunday, 6 October 2019

Dalam Hidup Ini, Ingatlah Jalan Pulang!


Dalam Hidup Ini, Ingatlah Jalan Pulang 

1. Hidup ini sebuah perjalanan yang panjang. Dalam permusafiran pasti akan kita tempuhi jalan yang penuh onak dan duri serta dipenuhi kaca dijalanan. Adakalanya kita terluka dan cedera, akan tetapi itu bukan tanda tuhan murka, ia kafarah penyucian dosa oleh tuhan terhadap hamba.

2. Setelah  kita terpijak kaca, kita akan lebih berhati-hati agar tidak lagi terpijak dan tercedera pada tempat yang sama. Demikian lah insan yang sentiasa belajar dan belajar tiap detik dan masa tanpa mengenal usia.

3. Dalam kehidupan ini jangan terlalu banyak makan hati. Ada insan yang disebabkan perkara remeh dan kecil, menyebabkan mood sehariannya berubah menjadi buruk. Jiwa pejuang perlu kental, tidak mudah rapuh dan terasa hanya kerana perkara biasa.

4. Ada manusia yang orang tidak respon postnya di group WhatsApp, merajuk membawa diri. Ada insan apabila rakannya tidak 'like" status Facebooknya, terus overthinking:
"Kenapa si fulan tak nak kawan aku lagi"
Jiwa pendekar bukanlah jiwa yang lemah.

5. Adakalanya manusia menentang dan berlawan dengan jiwanya sendiri. Sesekali terdetik dalam jiwa insan:
'sampai bila aku harus begini, bangun pagi pergi kerja, bangun pagi pergi kelas belajar'

6. Bersabarlah, hakikatnya hidup ini sebuah perjalanan yang akan kita temui jalan pulang dan pengakhiran. Setiap pekerjaan yang kita lakukan ada pahalanya di sisi tuhan. Rasulullah pernah menyebutkan أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِى أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ antara pahala yang besar adalah kita memberikan nafkah atau membantu keluarga. Setiap kali kita bekerja, biarpun perit, ada ganjaran di sisi Allah.

7. Semua insan ada peranan masing-masing, si isteri menguruskan rumah, anak belajar dan mencari nafkah untuk keluarga. Kesemua apa yang manusia lakukan ini, akan ada ganjarannya di sisi Allah ketika kita di kembalikan pada hari kebangkitan di alam sana. Bersabarlah.

Kredit : #Ustaz Amir Farhan

Sunday, 18 August 2019

Doa Apa Nabi Ajar Bila Banyak Hutang?

Doa Apa Nabi Ajar Bila Banyak Hutang?

Banyak hutang?

Apa doa yang Nabi s.a.w ajarkan kita?

Koleksi Hadis #Sahih

Doa bayar hutang umpama memiliki hutang sebesar Gunung Shir.

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu.”

Riwayat al-Tirmizi, no. 3563,
Status Hadis: Hasan Sahih.

Semoga bermanfaat bagi yang inginkan nasihat!

-Ustaz Ahmad Hasyimi

4 Perkara Nabi Ajar Minta Tiap Kali Solat

4 Perkara Nabi Ajar Minta Tiap Kali Solat

4 perkara!

Dalam hadith riwayat al-Bukhari ada 4 perkara yang Nabi ajar dan suruh kita minta perlindungan kepada Allah setiap kali solat.

1. Azab neraka jahannam.
2. Azab kubur.
3. Fitnah kehidupan & kematian.
4. Fitnah Dajjal.

Semua ini Nabi sendiri amalkan selepas selesai membaca tasyahud, sebelum beri salam.

Bila Nabi amalkan dan Nabi pesan supaya kita buat, ia petunjuk bahawa perkara itu amat penting dan perlu diambil perhatian. Berikut doanya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ

Mari kita cuba amalkan, moga kita selamat daripada keempat-empat bencana itu.

Hafal, cetak dan tampal di dalam rumah. Ajarkan anak anak, isteri dan suami kita.
Wajibkan mereka menghafalnya.

Sekali lagi! Nabi s.a.w memohon doa perlindungan ini pada salah satu waktu mustajabnya doa iaitu selepas tasyahud akhir sebelum memberi salam.

Jika Nabi sendiri memohon perlindungan dari 4 perkara diatas, apatah lagi kita?

Belum pernah? Jom mulakan.

Semoga bermanfaat bagi yang inginkan nasihat.

-Ustaz Ahmad Hasyimi

Keluar Darah Jerawat, Dikira Najis Batal Solat?

Keluar Darah Jerawat, Dikira Najis Batal Solat?

1. Sekiranya jerawat yang ada keluar darah nya yakni pecah, adakah dikira najis dan membatalkan solat? Di dalam mazhab syafie ada perbahasan berkenaan perkara ini.

2. Ada ulamak syafieyah yang membezakan antara jerawat itu pecah sendiri ataupun ia dipicit. Ada juga ulamak syafieyah yang membezakan antara darah jerawat yang keluar banyak ataupun sedikit.

3. Ulamak mazhab syafie iaitu Imam Mahali ketika mensyarahkan matan Minhaj oleh Imam Nawawi, Imam Mahali berkata dalam Kanzul Raghibin:

دم البثرات بفتح المثلثة جمع بثرة بسكونها وهي خراج صغير كالبراغيث إي كدمها فيعفى عن قليله فقط على تصحيح المحرر سواء أخراج بنفسها ام عصره

"Darah jerawat iaitu yang merupakan bisul kecil hukumnya sama seperti darah kutu. Ia di maafkan jika dengan kadar yang sedikit seperti yang ditashihkan dalam muharrar. Sama ada darah itu keluar sendiri ataupun dengan dipicit"

Maksud ibarat ini adalah hukum darah jerawat ini merupakan najis yang di maafkan yang bererti ia tidak mencacatkan solat atau wuduk kita ketika sedang melakukan solat. Sah solat kita.

4. Ada juga pandangan mengatakan وقيل ان عصره فلا jika sengaja dipicit jerawat itu maka tidak di maafkan. Walaubagaimanapun, Imam Mahali menukilkan pandangan Imam Nawawi yang mengatakan ia di maafkan jika dipicit jerawat itu ataupun keluar sendiri.

Imam Mahali berkata:

وصحح في أصل الروضة العفو عن كثير وعن المعصور

"Imam Nawawi mengsahihkan dalam Raudhah di maafkan pada kadar darah yang keluar banyak ataupun dipicit"

(Imam Jalaludin Mahali, Kitab Kanzul Raghibin Syarah Minhaj Imam Nawawi)

5. Kesimpulannya, ia termasuk dalam najis yang di maafkan dan tidak mencacatkan solat kita menurut Imam Nawawi walaupun jerawat itu dipicit atau sebaliknya.

Tambahan:

- Untuk lebih selamat, sekiranya kita sengaja picit jerawat dan darah keluar banyak sehingga meleleh, maka solat batal seperti dalam dalam kitab tuhfah al-Muhtaj. Jika sengaja picit kemudian keluar sedikit tidak mengapa dan teruskan solat.

- Berapakah kadar banyak atau sedikit pula ulamak berbeza pandangan dalam menentukannya.

- Kebiasaan darah jerawat tidak banyak.

P/s: Esok insyaallah kuliah subuh Kitab Bulughul Maram. Ini tulisan pertama tentang fiqh setelah dihack. Tulisan di fb lama tak dapat diselamatkan.

-Ustaz Amir Farhan

Kata-Kata Magis Tentang Buku

KATA-KATA MAGIS TENTANG BUKU

1. Henry Ward Beecher: Buku ialah jendela sukma dan kita melihat dunia luar melalui jendela itu. Rumah tanpa buku bagaikan ruangan tanpa jendela.

2. Rene Descartes: Membaca buku adalah baik seperti bercakap-cakap dengan orang yang hebat beberapa abad.

3. Sydney Smith: Tidak ada perhiasan rumah seindah buku.

4. Aldours Huxley: Sekiranya hendak belajar tentang manusia, baca sebanyak mungkin buku.

5. Harry Golden: Para diktator itu takut pada buku seperti mereka takut pada meriam.

6. Taufiq Ismail: Buku yang paling hebat di dunia merupakan buku yang mukadimahnya ialah iqra.

7. Voltaire: Orang yang memegang kekuasaan tidak ada waktu untuk membaca buku, orang yang tidak membaca buku, tidak layak memegang kekuasaan.

8. Vincent Strarret: Kalau ada wang sedikit, saya membeli buku. Kalau ada sisanya, baru saya membeli makanan dan pakaian.

9. Franois Mitterand: Seseorang akan kehilangan hubungan dengan kenyataan ketika tidak dikelilingi buku. Saya tidak boleh hidup tanpa buku.

10. Oliver Wendel: Buku harus menjadi kapak yang memecahkan lautan beku dalam diri kita.

11. Jasni Matlani: Buku yang baik bukan sahaja menguasai minda, tetapi menguasai dunia.

12. Jasni Matlani: Biar saya jadi orang miskin, tinggal di rumah buruk tetapi kaya buku daripada menjadi seorang raja yang kaya tetapi miskin buku.

13. Jasni Matlani: Ramai orang yang memerlukan buku seperti mereka memerlukan oksigen. Ramai juga yang mati, kerana ketiadaan oksigen itu.

Petikan kata-kata ini dipetik daripada buku Angin Perubahan: Memperkasakan Sastera Melayu di Sabah, Jasni Matlani, DBP 2019.


#MalaysiaMembaca #CatatanBibliofil

-Helmi Ahmad