Dosa ke syurga?
Jangan hairan bahawa jika nanti di akhirat ada dalam kalangan mereka yang kelihatan pernah melakukan dosa di dunia ini menuju ke syurga. Bagaimana?
Ya, terdapat insan yang apabila dia melakukan dosa, dia tersangat menyesal. Dia bertaubat dan sentiasa merasa hina diri di hadapan Allah Yang Maha Agung. Terasa kesalahan itu mengikuti setiap langkahnya. Malu kepada Allah meliputi perasaannya. Segala ibadah yang dia lakukan dirasakan kerdil dan kecil. Dia bertungkus lumus membaiki diri lebih dari keadaannya sebelum terjatuh ke dalam dosa tersebut.
Timbul rasa tawaduk dalam jiwanya. Apabila dia melihat orang lain, dia merasa betapa mereka lebih mulia daripadanya di sisi Allah kerana dia seorang yang berdosa. Segala kesombongan dalam jiwanya dikikis apabila dia mengenangkan dosa-dosanya itu. Mungkin orang lain tidak tahu tentang dosanya, namun dia sendiri tahu dan Allah Maha Mengetahui. Betapa dia bersyukur kerana Allah menutupkan keaibannya, ataupun memberikan ruang untuk dia terus hidup sekalipun dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Maka kalau demikianlah keadaan, dosa-dosanya itu membawanya ke syurga dengan izin Allah.
Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya Miftah Dar al-Sa’adah:
“Antaranya, bahawa sesungguhnya Allah apabila mengkehendaki kebaikan untuk seseorang hambaNYA, DIA jadikan hamba itu lupa gambaran ketaatan-ketaatan yang telah dia lakukan. Diangkat itu semua dari jantung hati dan lidahnya (tidak membangkit-bangkitkannya). Apabila dia diuji dengan dosa, Allah jadikan dosa itu memenuhi ruang matanya, dia lupa segala amalan baiknya dan dia jadikan segala ingatan dukanya terhadap dosanya. Sentiasa dosanya itu berada di hadapannya, semasa dia berdiri, duduk ataupun berjalan. Maka inilah sumber rahmat pada dirinya. Ini seperti kata sebahagian Salaf Soleh: “Sesungguhnya ada hamba Allah melakukan dosa, lantas dengan dosa itu dia masuk syurga. Ada pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka”. Bagaimana demikian? Sebabnya, dia melakukan dosa lalu sentiasa dosa itu memenuhi matanya, setiap kali dia ingat dia akan menangis, menyesal, beristighfar, merendah diri kepada Allah, kembali kepadaNYA, merasa hina dan pasrah. Lantas dia beramal dengan amalan-amalan soleh maka itu menjadi sebab kerahmatan untuk dirinya” (1/445-446. Beirut: Muassasah Fuaad).
-Dr Maza
May 23 at 11:33pm
Monday, 30 May 2016
Dosa ke Syurga?
Hukum Doa Selepas Iqamah
ADAKAH SUNAT MEMBACA DOA SELEPAS IQAMAH?
ﺍﻟﺴَّﻼَﻡُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﻭَﺭَﺣْﻤَﺔُ ﺍﻟﻠﻪِ ﻭَﺑَﺮَﻛَﺎﺗُﻪُ
Ustaz, adakah kita disuruh membaca "doa selepas azan" , selepas iqomat?
Jawapan:
Doa selepas iqamah.
ﻋَﻦْ ﺟَﺎﺑِﺮِ ﺑْﻦِ ﻋَﺒْﺪِ ﺍﻟﻠَّﻪِ، ﺃَﻥَّ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻗَﺎﻝَ " ﻣَﻦْ ﻗَﺎﻝَ ﺣِﻴﻦَ ﻳَﺴْﻤَﻊُ ﺍﻟﻨِّﺪَﺍﺀَ ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺭَﺏَّ ﻫَﺬِﻩِ ﺍﻟﺪَّﻋْﻮَﺓِ ﺍﻟﺘَّﺎﻣَّﺔِ ﻭَﺍﻟﺼَّﻼَﺓِ ﺍﻟْﻘَﺎﺋِﻤَﺔِ ﺁﺕِ ﻣُﺤَﻤَّﺪًﺍ ﺍﻟْﻮَﺳِﻴﻠَﺔَ ﻭَﺍﻟْﻔَﻀِﻴﻠَﺔَ ﻭَﺍﺑْﻌَﺜْﻪُ ﻣَﻘَﺎﻣًﺎ ﻣَﺤْﻤُﻮﺩًﺍ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﻭَﻋَﺪْﺗَﻪُ ،
Daripada Jabir bin 'Abdillah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang membaca selepas mendengar seruan azan: Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna dan solat yang akan didirikan. Berikan kepada Nabi Muhammad s.a.w wasilah dan kelebihan daripada Mu. Tempatkan baginda di tempat terpuji yang telah Engkau janjikan.
ﺣَﻠَّﺖْ ﻟَﻪُ ﺷَﻔَﺎﻋَﺘِﻲ ﻳَﻮْﻡَ ﺍﻟْﻘِﻴَﺎﻣَﺔِ "
Maka syafaat ku akan diizinkan kepadanya pada hari kiamat.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab ad-Dua' 'Inda an-Nida', hadis no: 514].
Ulama bersepakat bahawa doa ini sunat dibaca selepas azan.
Akan tetapi mereka berbeza pendapat tentang dibaca selepas iqamah.
Ulama mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali menyatakan bahawa doa ini sunat dibaca selepas azan dan iqamah. Ini juga adalah fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi dan Shaikh Al-Albani. Ini kerana azan dan iqamah kedua-duanya adalah sama . Bahkan dalam hadis lain menggunakan perkataan azan untuk iqamah dan azan.
ﻋَﻦْ ﻋَﺒْﺪِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺑْﻦِ ﻣُﻐَﻔَّﻞٍ، ﻗَﺎﻝَ ﻗَﺎﻝَ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ " ﺑَﻴْﻦَ ﻛُﻞِّ ﺃَﺫَﺍﻧَﻴْﻦِ ﺻَﻼَﺓٌ ﺑَﻴْﻦَ ﻛُﻞِّ ﺃَﺫَﺍﻧَﻴْﻦِ ﺻَﻼَﺓٌ ـ ﺛُﻢَّ ﻗَﺎﻝَ ﻓِﻲ ﺍﻟﺜَّﺎﻟِﺜَﺔِ ـ ﻟِﻤَﻦْ ﺷَﺎﺀَ ".
Daripada 'Abdullah bin Mughaffal r.a, Nabi s.a.w bersabda: Antara dua azan (iaitu antara azan dan iqamah) terdapatnya solat. Antara dua azan (iaitu antara azan dan iqamah) terdapatnya solat. Kemudian pada kali ketiga baginda menyebutkan: Untuk sesiapa yang mahu (mendirikan solat tersebut).
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab Bayna Kulli Azanain Solat Li Man Syaa, hadis no: 627].
Sebahagian ulama lain seperti Shaikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin,dan Shaikh Bakar Abu Zaid kerana di sisi mereka azan dan iqamah adalah dua benda yang berbeza. Persamaan lafaz nama azan pada azan dan iqamah hanya pada sudut bahasa sahaja sedangkan ia dua benda berbeza. Antara bezanya ialah azan lafaznya diulang dua kali, manakala iqamah sekali sahaja.
Kesimpulan:
1- Menurut majoriti ulama disunatkan membaca doa ini dan semua perkara yang sunnah ketika menjawab azan, sunnah untuk dilakukan ketika menjawab iqamah.
2- Dr. Rozaimi berpegang kepada pendapat ulama yang menyatakan TIDAK SUNAT membaca doa selepas iqamah. Ia sunat untuk azan sahaja.
Wallahua'lam.
-ADMIN-
-Dr Rozaimi Ramle
May 24 at 3:14pm ·
Hukum Solat Sunat Sebelum Maghrib
Soalan:
Adakah terdapat solat sunat sebelum maghrib dan bagaimana pula hukumnya??
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ , ahli keluarga baginda ﷺ , sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ .
Solat sunat dua rakaat sebelum maghrib adalah sunnah dan ianya terdapat di dalam hadith Nabi ﷺ . Namun ianya tidak dikategorikan di dalam solat sunat rawatib dan hukumnya juga bukanlah sunat muakkad (dituntut).
Ini berdasarkan sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mughaffal al-Muzni RA yang mana Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
ﺻَﻠُّﻮﺍ ﻗَﺒْﻞَ ﺻَﻼَﺓِ ﺍﻟْﻤَﻐْﺮِﺏِ . - ﻗَﺎﻝَ ﻓِﻲ ﺍﻟﺜَّﺎﻟِﺜَﺔِ - ﻟِﻤَﻦْ ﺷَﺎﺀَ ﻛَﺮَﺍﻫِﻴَﺔَ ﺃَﻥْ ﻳَﺘَّﺨِﺬَﻫَﺎ ﺍﻟﻨَّﺎﺱُ ﺳُﻨَّﺔً
Maksudnya: “Solatlah sebelum maghrib”. Nabi ﷺ mengulangnya sebanyak 3 kali dan pada kali yang ke-3 Nabi ﷺ menyebut: “Bagi mereka yang ingin melakukannya”. (Rasulullah ﷺ berkata demikian kerana Baginda tidak mahu ianya dijadikan sebagai satu sunnah yang berterusan) .
Riwayat Al-Bukhari (1183)
Al-Hafiz Ibn Hajr al-‘Asqalani (wafat 852H) Rahimahullah di dalam kitabnya, Fath al-Bari membawakan pendapat al-Muhib al-Tabari Rahimahullah yang mana menyebut bahawa hadith di atas menjadi dalil yang kuat mengatakan bahawa solat sunat dua rakaat sebelum Maghrib adalah sunat yang mana bermaksud ianya disyariatkan namun tidaklah dilakukan secara lazimnya. Disebabkan oleh itu, kebanyakan al-Syafi’eyyah tidak memasukkannya ke dalam jenis solat sunat rawatib yang dituntut untuk melakukannya (sunat mu’akkad). [Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari . Dar al-Ma’rifah, 3/60]
Dalam sebuah hadith yang lain, pernah disebutkan oleh Anas bin Malik RA:
ﻛُﻨَّﺎ ﺑِﺎﻟْﻤَﺪِﻳﻨَﺔِ ﻓَﺈِﺫَﺍ ﺃَﺫَّﻥَ ﺍﻟْﻤُﺆَﺫِّﻥُ ﻟِﺼَﻼَﺓِ ﺍﻟْﻤَﻐْﺮِﺏِ ﺍﺑْﺘَﺪَﺭُﻭﺍ ﺍﻟﺴَّﻮَﺍﺭِﻱَ ﻓَﻴَﺮْﻛَﻌُﻮﻥَ ﺭَﻛْﻌَﺘَﻴْﻦِ ﺭَﻛْﻌَﺘَﻴْﻦِ ﺣَﺘَّﻰ ﺇِﻥَّ ﺍﻟﺮَّﺟُﻞَ ﺍﻟْﻐَﺮِﻳﺐَ ﻟَﻴَﺪْﺧُﻞُ ﺍﻟْﻤَﺴْﺠِﺪَ ﻓَﻴَﺤْﺴِﺐُ ﺃَﻥَّ ﺍﻟﺼَّﻼَﺓَ ﻗَﺪْ ﺻُﻠِّﻴَﺖْ ﻣِﻦْ ﻛَﺜْﺮَﺓِ ﻣَﻦْ ﻳُﺼَﻠِّﻴﻬِﻤَﺎ
Maksudnya: Adalah kami di Madinah, jika dilaungkan azan oleh muazzin untuk solat Maghrib, maka bersegeralah kami ke tiang-tiang masjid dan solat dua rakaat sehingga orang asing yang masuk ke masjid menyangka solat yang dilakukan itu adalah solat fardhu kerana ramai yang melakukannya.
Riwayat Muslim (837)
Pandangan Mazhab
Mazhab Hanafi & Maliki: Solat sunat ketika terbenam matahari sebelum menunaikan solat maghrib adalah makruh di sisi kedua-dua mazhab ini. Dimakruhkan kerana takut melewat-lewatkan waktu maghrib. [Lihat
Majma’ al-Anhar fi Syarh Multaqa al-Abhar , 1/110 & Mukhtasar Khalil ]
Mazhab Syafi’e: Solat sunat dua rakaat sebelum maghrib adalah sunat namun tidak sampai tahapnya kepada sunat mu’akkad dan ini adalah qaul sahih di dalam mazhab. [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab , 3/502]
Mazhab Hanbali: Ianya dibolehkan. Tidak pula dimakruhkan atau disunatkan. Dikatakan juga bahawa ianya disunatkan. [Lihat Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ Syarh Zaad al-Mustaqni’ , 2/218]
Kesimpulan
Berdasarkan nas-nas serta pendapat mazhab-mazhab yang terdapat mengenai isu ini, kami katakan bahawa solat sunat sebelum Maghrib adalah sunat namun tidaklah sampai ke tahap sunat yang dituntut (sunat mu’akkad).
Disebutkan di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e tulisan Prof. Dr. Muhammad al-Zuhayli Hafizahullah, bagi mereka yang ingin melakukan solat sunat sebelum maghrib maka hendaklah dilakukan dua rakaat yang ringan (tidak terlalu lama di dalam rukun, sunat dan adab solat) sehingga boleh melewatkan solat maghrib kerana waktu maghrib itu sangat singkat. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e . Dar al-Qalam, 1/370]
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
24 Mei 2016 bersamaan 17 Sya’ban 1437H
Apabila Zina Lebih Mudah Daripada Kahwin
APABILA ZINA LEBIH MUDAH DARIPADA KAHWIN
Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegak yang makruf dan mencegah yang munkar. Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterus pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.
MANGSA NAFSU SOMBONG
Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya. Apatah lagi jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:
“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; ‘kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.
Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi s.a.w. bersabda:
“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.
KERENAH KURSUS KAHWIN
Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga jenerasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan.
Malangnya, ada kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakutkan dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.
TOK KADI TAK FAHAM HUKUM
Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya. Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.
Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:
“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi:
(Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”).
Juga al-Imam al-Bukhari (meninggal 256H) menyebut:
(Apabila bakal suami berkata kepada wali (bakal isteri) kahwinkanlah aku dengannya, lalu wali berkenaan diam seketika, atau bertanya: “apa yang awak ada (mahar)?”, atau kedua mereka diam lalu wali itu berkata: “aku nikahkan engkau dengannya”, maka itu adalah harus (sah). Ada hadis mengenainya yang diriwayatkan oleh Sahl daripada Nabi s.a.w).
Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Tiada cerita satu nafas atau sekali lafaz dalam akad seperti yang ditokok tambah oleh jurunikah. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Syaratnya, ia lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi, ia menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.
KHURAFAT AKAD SATU NAFAS
Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).
Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.
KERENAH ‘MAHKAMAH’
Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa. Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah:
(maksudnya) “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231).
Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi sesetengah mahkamah atas nama syariah. Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan.
Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:
“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).
Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir:
“Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.
Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:
“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).
Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahgiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri
Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.
-Dr Maza
Sunday, 29 May 2016
Sifat Sahur Nabi dan Para Sahabat
SIFAT SAHUR NABI DAN PARA SAHABAT
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh dua orang sahabat Nabi saw iaitu Zayid bin Thabit ra dan Anas bin Malik ra, kadar masa diantara waktu sahur dan azan ialah bacaan 50 ayat al-Quran. Setelah mendengar syarahan Kitab Umdatul Ahkam oleh Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar as-Syanqiti saya ingin kongsikan beberapa point yang disyarahkan oleh syeikh hafizahullah wa ra'aahu.
1. Hukum bersahur tidak wajib bagi orang yang berpuasa samada puasa fardhu atau puasa sunat tetapi ia adalah sunnah yang sangat diambil berat oleh para sahabat Nabi sallahu alayhi wasallam.
Berkata Qadhi bin Iyadh: Lebih sempurna dan baik bagi mereka yang bersahur iaitu makan pada waktu sebelum azan subuh dan tidaklah wajib bersahur bagi mereka yang berpuasa walaupun meninggalkannya dalam keadaan mampu.
2. Terdapat keberkatan yang besar bagi mereka yang bersahur kerana Allah memberi kelebihan pada waktu ini bagi mereka yang bangun untuk memohon keampunanan kepada Allah
3. Pertanyaan Anas bin Malik ra kepada Zayid bin Thabit ra tentang bagaimana sifat sahur iaitu had waktu sahur adalah menunjukkan kemulian (fadhal) sahabat, iaitu menunjukkan mereka sangat mengambil berat tentang sifat sahur yang diajarkan Nabi sallahu alayhi wasallam
4. Begitu juga dengan jawapan yang diberikan oleh Zayid bin Thabit ra, itu menunjukkan beliau sangat menjaga masa dan berjaga-jaga dalam ibadat kerana mereka iaitu para sahabat jika duduk bersama Nabi sallahu alayhi wasallam mereka akan menjaga amal ibadat kesemuanya dengan baik sehingga Zaid tidak lalai dari menghargai waktunya.
5. Zaid bin Thabit adalah antara sahabat yang sangat menjaga kitabullah iaitu al-Quran dan telah menghafal kesemuanya sebelum kewafatan Nabi sallahu alayhi wasallam. Mengetahui tentang halal dan haram, nasikh dan mansukh, mujmal dan mubayyanah sehingga telah dianggap seorang Imam mufassir yang dirujuki dalam kalangan sahabat.
6. Abu Hurairah ra menangis ketika mendapat khabar kematian Zayid bin Thabit dan berkata, hari ini telah pergi seorang yang mempunyai ilmu yang sangat banyak.
7. Zayid bin Thabit adalah seorang yang sangat mulazamah dengan al-Quran dan ketika Anas bertanya apakah kadar masa diantara sahur dan azan, beliau telah mengkadarkan tempoh itu dengan kadar bacaan al-Quran iaitu 50 ayat.
8. Ini menunjukkan bahawa pada ketika itu mereka telah menyibukkan diri dengan tilawah al-Quran, ibadat dan zikir.
9. Berkaitan kadar 50 ayat sebahagian ulama mengatakan ia adalah dari ayat yang sederhana panjang dan pendek iaitu mutawasith al-Quran. Ayat al-Quran terbahagi kepada 3 bahagian, yang pertama ayat yang panjang iaitu dari sifat Madaniyyah, yang kedua ayat yang pendek iaitu dari sifat makkiyyah. dan yang ketiga diantara keduanya iaitu tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.`
10. Hadis ini menunjukkan bahawa sahur itu adalah waktu yang singkat kerana para sahabat sangat menghargai waktu dengan ibadat sehinga dikinayahkan dengan kadar memerah susu unta ﻗﺪﺭ ﺣﻠﺐ ﻧﺎﻗﺔ .
11. Allah subhanahu wata'ala teleh memberikan nikmat kepada kita pada zaman ini dengan alat-alat seperti jam atau pelbagai wasilah lain untuk mengetahui waktu azan dan kadar waktu habis bersahur maka wajarlah hamba-hamba Nya bersyukur atas nikmat ini.
Kesimpulan saya berdasarkan syarahan ringkas ini:
1. Sifat sahur itu memang afdhal dilewatkan
2. Melewatkan bersahur tidaklah sampai menyebabkan kita bangun lewat dan bangun semata-mata untuk makan sahaja tetapi jika sempat bersahur walaupun seteguk air maka ia tetap mendapat keberkatan
3. Perlu melihat 'ruh' sahur Nabi saw dan para sahabat kerana mereka sangat bersederhana dalam bersahur iaiatu makanan yang sangat mudah dan tidak berat
4. Makanan mereka yang mudah itu menjadikan mereka boleh makan dengan cepat dan terus bersiap sedia mengerjakan ibadat setelah itu seperti menunggu waktu azan dengan membaca quran dan berzikir.
5. Bagi rakyat Malaysia khususnya kita biasanya makan dengan makanan yang berat, kadang kala perlu bangun lebih awal untuk dimasak. Makanan yang berat seperti nasi dan berlauk-lauk itu tidak sesuai dimakan dengan kadar masa yang singkat.
6. Terdapat ulama' menyatakan kadar bacaan 50 ayat itu dengan kadar masa 15 minit, maka perlu melihat jenis makanan dan dengan siapa kita makan, kerana jika dengan anak-anak kadang kala ibubapa perlu bersedia lebih awal kerana sedang mendidik anak-anak untuk bangun bersahur apatah lagi jika bersama tetamu yang berbeza-beza keperluan yang perlu disediakan makanan.
7. Jika terlewat dan melihat waktu subuh belum masuk maka masih boleh makan sehinggalah masuk waktu subuh atau mendengar azan.
8. Imsak bukan waktu berhenti makan sahur tapi anggaplah ia waktu berjaga-jaga agar tidak terlajak makan. Bukankah berjaga-jaga atau yang disebut ihtiyath itu baik. Begitulah sikap para sahabat,
9. Saya mencadangkan makan lebih awal sedikit sebelum imsak untuk persiapan ke Masjid bagi lelaki dan solat awal waktu bagi wanita, adapun hanya air kosong tidaklah membebankan jika dilewatkan sehingga waktu azan keran tidak perlu kepada membersihkan mulut, berwudhuk jika batal dan lain-lain urusan. Apa-apa pun ia hanya sekadar cadangan bukan mesti diikuti.
10. Disamping kita mengajar masyarakat untuk melewatkan sahur iaitu seperti kadar yang disebutkan Zayid bin Thabit itu perlu juga mendidik masyarakat agar menjaga waktu sahur seperti yang ditunjuki Anas bin Malik dan tidak bermudah-mudah seperti makan bersahur berlebih-lebihan lewatnya sehingga lupa ibadat setelah itu iaitu solat subuh berjemaah. Wallahu ta'ala alam bissawab.
-Mohd Danial Madani
May 24 at 3:07am
Saturday, 28 May 2016
Buku Dr Rozaimi Menghuru-harakan?
BUKU DR ROZAIMI MENGHURU-HARAKAN?
Terdapat satu mesej panjang daripada pasukan ASWAJA yang disiarkan sejak semalam berkaitan buku Dr. Rozaimi bertajuk:
HADIS PALSU & DHAIF POPULAR DALAM MASYARAKAT MELAYU”.
1- Dr. Rozaimi mengalukan kritikan ilmiah kepada penulisan beliau. Ini merupakan satu fenomena sihat yang perlu digalakkan.
2- Sesiapa yang mendapati ada kesalahan dalam buku Dr. Rozaimi, boleh menuliskan jawapan beserta hujah untuk membuktikan bahawa Dr. Rozaimi telah silap. Jika ada tulisan berserta hujah tersebut, PM kan tulisan itu kepada page ini.
3- Jika benar Dr. Rozaimi tersilap dalam penulisan buku tersebut, pembetulan fakta akan dilakukan secara terbuka dan umum dan disiarkan dalam page ini.
4- Oleh kerana itu, kepada mereka yang menulis kritikan panjang lebar secara umum tersebut, di minta mengemukakan hujah-hujah ilmiah secara spesifik untuk dinilai siapakah yang benar, Dr. Rozaimi atau mereka yang mengkritik Dr. Rozaimi.
Jazakumullahu khair semua.
-ADMIN-
Buku Dr. Rozaimi boleh dibeli pada link-link di bawah.
http://bushraniaga.com/hadis-palsu-dan-dhaif
https://www.facebook.com/abu.talhah.abdullah?fref=ts
https://www.facebook.com/eqmalhadi?fref=ts
May 24 at 3:26pm
Counter Attack Jerat ASWAJA
Counter attack Jerat ASWAJA
________________________
1.Mana dalil amalan kamu buat ni ?
Jawapan si jahil :
+ Nabi xlarang bolehlah kita buat.
+ Saya nak tanya pula mana dalil nabi naik kereta ?
+ Niat kita baik apa salahnya kan ?
+ Bab khilaf ni berlapang dada lah.
2.Kisah ajaib ulama terbang ni dapat dari mana ?
Jawapan si dungu :
+ Ustaz D bagitau,xkan ustaz nak menipu.
+ Xpercaya dengan kuasa Allah ke ?Allah boleh buat apa saja.
+ Kalau begitu israk mikraj nabi kamu xpercaya ke ?
3.Boleh berikan sanad hadis ini ?
Jawapan si bebal :
+ Bawa datang dulu ulama hadis mana yang kata hadis ni palsu ?
+ Kamu tanya ni,kamu ada hafal 500 ribu hadis ?
Suatu hari si jahil,si dungu,si bebal pergi ke kedai komputer kerana komputer yang mereka guna secara berkongsi untuk menonton ceramah ustaz D,Z telahpun rosak.
Si jahil : Kenapa komputer ni xboleh on encik ?
PakarIT : Sebab komputer ni sakit perlu buat kenduri 7 hari baru boleh pulih.
Si jahil : Dari mana dapat sumber repair komputeri macam ni ?Dari pakar komputer mana,universiti mana ?
PakarIT : Apa salahnya kan benda baik ? Niat saya baik nak tolong tuan.Lagipun yang cipta komputer ni pun xpernah kata xboleh buat kenduri untuk pulihkan semula komputer yang dah rosak.
Si Dungu : Apa kaitannya komputer ni rosak dengan buat kenduri,macam xlogik langsung.
PakarIT : Xpercaya kuasa Allah ke ? Lagipun saya dapat ilmu ni dari guru saya,xkan dia nak menipu kot.
Si bebal : Baiklah sekarang ni tunjukkan saya buku mana yang kata kena buat kenduri untuk repair komputer yang rosak ? Sebab setau saya,xpernah ada dalam mana2 buku kata macam tu hatta pencipta komputer pun xsuruh buat macam tu.
PakarIT : Saya pakar ke kamu yang pakar ?Buku ni banyak bukan 1,2 buah buku sahaja,buku tentang komputer ada ratusan ribu kamu hafal semua isi dalam buku komputer ?Ini bab perbezaan pendapat di kalangan pakar komputer,berlapang dada lah saudara.Memanglah pencipta komputer xkata macam tu,tapi ada x dia larang buat macam tu ?Apa salahnya benda baik kan.
Si Jahil: Kalau macam tu jomlah kita balik nampak gayanya virus wahabi ni dah sampai kepada orang awam.Nasib baik kita ni ASWAJA.
Si Dungu : Dia ni belum kenal ilmu rahsia dalam rahsia nur muhammad.Capal di kepala pun xletak,rambut nabi pun belum dia cium,barokahnya tiada.
Si Bebal : Betul tu,dia belum jumpa guru mursyid yang bertaraf wali macam habib,suara pun lunak masa menyanyi malam cinta rasul.
Akhirnya Si Jahil,Si Dungu,Si Bebal tidak dapat lagi menonton ceramah Ustaz D dan Z di Youtube secara bersanad.
May 24 at 6:48am · Public
-Nur Puteri Dayana