SIFAT SAHUR NABI DAN PARA SAHABAT
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh dua orang sahabat Nabi saw iaitu Zayid bin Thabit ra dan Anas bin Malik ra, kadar masa diantara waktu sahur dan azan ialah bacaan 50 ayat al-Quran. Setelah mendengar syarahan Kitab Umdatul Ahkam oleh Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar as-Syanqiti saya ingin kongsikan beberapa point yang disyarahkan oleh syeikh hafizahullah wa ra'aahu.
1. Hukum bersahur tidak wajib bagi orang yang berpuasa samada puasa fardhu atau puasa sunat tetapi ia adalah sunnah yang sangat diambil berat oleh para sahabat Nabi sallahu alayhi wasallam.
Berkata Qadhi bin Iyadh: Lebih sempurna dan baik bagi mereka yang bersahur iaitu makan pada waktu sebelum azan subuh dan tidaklah wajib bersahur bagi mereka yang berpuasa walaupun meninggalkannya dalam keadaan mampu.
2. Terdapat keberkatan yang besar bagi mereka yang bersahur kerana Allah memberi kelebihan pada waktu ini bagi mereka yang bangun untuk memohon keampunanan kepada Allah
3. Pertanyaan Anas bin Malik ra kepada Zayid bin Thabit ra tentang bagaimana sifat sahur iaitu had waktu sahur adalah menunjukkan kemulian (fadhal) sahabat, iaitu menunjukkan mereka sangat mengambil berat tentang sifat sahur yang diajarkan Nabi sallahu alayhi wasallam
4. Begitu juga dengan jawapan yang diberikan oleh Zayid bin Thabit ra, itu menunjukkan beliau sangat menjaga masa dan berjaga-jaga dalam ibadat kerana mereka iaitu para sahabat jika duduk bersama Nabi sallahu alayhi wasallam mereka akan menjaga amal ibadat kesemuanya dengan baik sehingga Zaid tidak lalai dari menghargai waktunya.
5. Zaid bin Thabit adalah antara sahabat yang sangat menjaga kitabullah iaitu al-Quran dan telah menghafal kesemuanya sebelum kewafatan Nabi sallahu alayhi wasallam. Mengetahui tentang halal dan haram, nasikh dan mansukh, mujmal dan mubayyanah sehingga telah dianggap seorang Imam mufassir yang dirujuki dalam kalangan sahabat.
6. Abu Hurairah ra menangis ketika mendapat khabar kematian Zayid bin Thabit dan berkata, hari ini telah pergi seorang yang mempunyai ilmu yang sangat banyak.
7. Zayid bin Thabit adalah seorang yang sangat mulazamah dengan al-Quran dan ketika Anas bertanya apakah kadar masa diantara sahur dan azan, beliau telah mengkadarkan tempoh itu dengan kadar bacaan al-Quran iaitu 50 ayat.
8. Ini menunjukkan bahawa pada ketika itu mereka telah menyibukkan diri dengan tilawah al-Quran, ibadat dan zikir.
9. Berkaitan kadar 50 ayat sebahagian ulama mengatakan ia adalah dari ayat yang sederhana panjang dan pendek iaitu mutawasith al-Quran. Ayat al-Quran terbahagi kepada 3 bahagian, yang pertama ayat yang panjang iaitu dari sifat Madaniyyah, yang kedua ayat yang pendek iaitu dari sifat makkiyyah. dan yang ketiga diantara keduanya iaitu tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.`
10. Hadis ini menunjukkan bahawa sahur itu adalah waktu yang singkat kerana para sahabat sangat menghargai waktu dengan ibadat sehinga dikinayahkan dengan kadar memerah susu unta ﻗﺪﺭ ﺣﻠﺐ ﻧﺎﻗﺔ .
11. Allah subhanahu wata'ala teleh memberikan nikmat kepada kita pada zaman ini dengan alat-alat seperti jam atau pelbagai wasilah lain untuk mengetahui waktu azan dan kadar waktu habis bersahur maka wajarlah hamba-hamba Nya bersyukur atas nikmat ini.
Kesimpulan saya berdasarkan syarahan ringkas ini:
1. Sifat sahur itu memang afdhal dilewatkan
2. Melewatkan bersahur tidaklah sampai menyebabkan kita bangun lewat dan bangun semata-mata untuk makan sahaja tetapi jika sempat bersahur walaupun seteguk air maka ia tetap mendapat keberkatan
3. Perlu melihat 'ruh' sahur Nabi saw dan para sahabat kerana mereka sangat bersederhana dalam bersahur iaiatu makanan yang sangat mudah dan tidak berat
4. Makanan mereka yang mudah itu menjadikan mereka boleh makan dengan cepat dan terus bersiap sedia mengerjakan ibadat setelah itu seperti menunggu waktu azan dengan membaca quran dan berzikir.
5. Bagi rakyat Malaysia khususnya kita biasanya makan dengan makanan yang berat, kadang kala perlu bangun lebih awal untuk dimasak. Makanan yang berat seperti nasi dan berlauk-lauk itu tidak sesuai dimakan dengan kadar masa yang singkat.
6. Terdapat ulama' menyatakan kadar bacaan 50 ayat itu dengan kadar masa 15 minit, maka perlu melihat jenis makanan dan dengan siapa kita makan, kerana jika dengan anak-anak kadang kala ibubapa perlu bersedia lebih awal kerana sedang mendidik anak-anak untuk bangun bersahur apatah lagi jika bersama tetamu yang berbeza-beza keperluan yang perlu disediakan makanan.
7. Jika terlewat dan melihat waktu subuh belum masuk maka masih boleh makan sehinggalah masuk waktu subuh atau mendengar azan.
8. Imsak bukan waktu berhenti makan sahur tapi anggaplah ia waktu berjaga-jaga agar tidak terlajak makan. Bukankah berjaga-jaga atau yang disebut ihtiyath itu baik. Begitulah sikap para sahabat,
9. Saya mencadangkan makan lebih awal sedikit sebelum imsak untuk persiapan ke Masjid bagi lelaki dan solat awal waktu bagi wanita, adapun hanya air kosong tidaklah membebankan jika dilewatkan sehingga waktu azan keran tidak perlu kepada membersihkan mulut, berwudhuk jika batal dan lain-lain urusan. Apa-apa pun ia hanya sekadar cadangan bukan mesti diikuti.
10. Disamping kita mengajar masyarakat untuk melewatkan sahur iaitu seperti kadar yang disebutkan Zayid bin Thabit itu perlu juga mendidik masyarakat agar menjaga waktu sahur seperti yang ditunjuki Anas bin Malik dan tidak bermudah-mudah seperti makan bersahur berlebih-lebihan lewatnya sehingga lupa ibadat setelah itu iaitu solat subuh berjemaah. Wallahu ta'ala alam bissawab.
-Mohd Danial Madani
May 24 at 3:07am
Sunday, 29 May 2016
Sifat Sahur Nabi dan Para Sahabat
Location:
Kota Bharu, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment