Dosa ke syurga?
Jangan hairan bahawa jika nanti di akhirat ada dalam kalangan mereka yang kelihatan pernah melakukan dosa di dunia ini menuju ke syurga. Bagaimana?
Ya, terdapat insan yang apabila dia melakukan dosa, dia tersangat menyesal. Dia bertaubat dan sentiasa merasa hina diri di hadapan Allah Yang Maha Agung. Terasa kesalahan itu mengikuti setiap langkahnya. Malu kepada Allah meliputi perasaannya. Segala ibadah yang dia lakukan dirasakan kerdil dan kecil. Dia bertungkus lumus membaiki diri lebih dari keadaannya sebelum terjatuh ke dalam dosa tersebut.
Timbul rasa tawaduk dalam jiwanya. Apabila dia melihat orang lain, dia merasa betapa mereka lebih mulia daripadanya di sisi Allah kerana dia seorang yang berdosa. Segala kesombongan dalam jiwanya dikikis apabila dia mengenangkan dosa-dosanya itu. Mungkin orang lain tidak tahu tentang dosanya, namun dia sendiri tahu dan Allah Maha Mengetahui. Betapa dia bersyukur kerana Allah menutupkan keaibannya, ataupun memberikan ruang untuk dia terus hidup sekalipun dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Maka kalau demikianlah keadaan, dosa-dosanya itu membawanya ke syurga dengan izin Allah.
Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya Miftah Dar al-Sa’adah:
“Antaranya, bahawa sesungguhnya Allah apabila mengkehendaki kebaikan untuk seseorang hambaNYA, DIA jadikan hamba itu lupa gambaran ketaatan-ketaatan yang telah dia lakukan. Diangkat itu semua dari jantung hati dan lidahnya (tidak membangkit-bangkitkannya). Apabila dia diuji dengan dosa, Allah jadikan dosa itu memenuhi ruang matanya, dia lupa segala amalan baiknya dan dia jadikan segala ingatan dukanya terhadap dosanya. Sentiasa dosanya itu berada di hadapannya, semasa dia berdiri, duduk ataupun berjalan. Maka inilah sumber rahmat pada dirinya. Ini seperti kata sebahagian Salaf Soleh: “Sesungguhnya ada hamba Allah melakukan dosa, lantas dengan dosa itu dia masuk syurga. Ada pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka”. Bagaimana demikian? Sebabnya, dia melakukan dosa lalu sentiasa dosa itu memenuhi matanya, setiap kali dia ingat dia akan menangis, menyesal, beristighfar, merendah diri kepada Allah, kembali kepadaNYA, merasa hina dan pasrah. Lantas dia beramal dengan amalan-amalan soleh maka itu menjadi sebab kerahmatan untuk dirinya” (1/445-446. Beirut: Muassasah Fuaad).
-Dr Maza
May 23 at 11:33pm
Monday, 30 May 2016
Dosa ke Syurga?
Location:
Kota Bharu, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment