Dengan kadar pengeluaran telefon pintar dengan pantas daripada para pengeluar, salah satu perkara yang turut bertambah adalah kadar pengguna yang menjual telefon pintar terpakai mereka kepada rakan-rakan dan pengguna lain.
Seperti semua sedia maklum, laman-laman seperti Mudah, Lelong, eBay dan sebagainya menjadi salah satu laman utama untuk pengguna menjual peranti mereka. Memandangkan anda ingin membeli telefon pintar terpakai, maka mungkin anda boleh mengajak penjual telefon tersebut untuk berjumpa di lokasi awam, dan menyemak beberapa perkara pada peranti yang anda ingin beli itu.
1. Keadaan Fizikal
Perkara paling awal yang mungkin anda perlu beri perhatian ketika membeli telefon pintar terpakai adalah keadaan fizikalnya. Pastikan anda menyemak bahagian tepi kerangka untuk sebarang kecacatan, dan tidak ketinggalan adalah calar pada skrin dan juga kerangka belakang. Sekiranya ia mempunyai beberapa ruangan penutup (seperti pada Galaxy S5, Xperia Z1 dan sebagainya), pastikan ia masih lagi dalam keadaan baik dan tidak hampir terputus.
2. Semak Kerosakkan Disebabkan Air
Sekiranya keadaan fizikal peranti dalam keadaan yang baik, maka perkara seterusnya untuk anda perlu ambil-tahu adalah sama ada peranti anda pernah mengalami kerosakkan disebabkan air ataupun sebaliknya.
Untuk menyemak perkara ini, terdapat beberapa ruangan yang boleh diperhatikan. Sekiranya anda menggunakan peranti dengan rekaan kerangka tidak boleh ditanggalkan, anda boleh menyemak pada bahagian mikro-USB dan juga ruangan kad-SIM. Selalunya terdapat sebuah pelekat berwarna putih. Sekiranya peranti tersebut pernah mengalami kerosakkan disebabkan air, maka ia mungkin berubah ke warna lain – seperti merah misalnya.
Untuk peranti dengan kerangka yang boleh ditanggalkan, anda turut boleh menyemak ruangan bateri, dimana kebiasaannya sebuah pelekat berwarna putih turut terdapat pada bahagian tersebut.
Kadang-kala peranti yang pernah mengalami kerosakkan disebabkan air akan berfungsi seperti biasa – tetapi berkemungkinan akan membawa kerosakkan pada masa jangka-panjang, mungkin disebabkan karat dan sebagainya. Maka, perkara ini adalah salah satu perkara yang perlu diambil-perhatian ketika anda ingin membeli peranti terpakai.
3. Semak Semua Port
Telefon pintar sering hadir dengan beberapa port utama, iaitu mikro-USB untuk pengecasan dan juga ruangan untuk audio. Anda mungkin perlu membawa fon-telinga anda dan juga powerbankketika ingin berjumpa, dan menyemak pengecasan dan juga sokongan audio apabila fon-telinga disambungkan.
Disamping itu, anda juga perlu menyemak ruangan mikro-SD dan juga mikro-SIM. Sekiranya ia menggunakan fungsi eject menggunakan spring, maka pastikan ianya berfungsi.
4. Semak Penggunaan Telefoni
Sebaik sahaja memasukkan kad-SIM, mungkin anda boleh membuat panggilan percubaan, dan menyemak sokongan panggilan, disamping audio ketika membuat panggilan. Perkara sama juga boleh dilakukan untuk SMS dan juga internet dan WiFi.
5. Semak Sensor
Untuk menyemak beberapa sensor lain pada peranti tersebut, ia boleh dikatakan agak sukar untuk melakukannya satu demi satu. Kebiasaan, untuk melakukan perkara tersebut, terdapat fungsi semakan sensor yang disertakan pada peranti tersebut – tetapi tersembunyi.
Sebagai contoh, untuk telefon pintar Samsung, anda boleh mengaktifkan ujian sensor ini dengan mendail *#0*#, sementara untuk Blackberry pula terdapat fungsi Blackberry Virtual Expert.
Melalui ujian tersebut juga, selain menyemak pelbagai jenis sensor, pengguna boleh turut melihat sebarang titik mati pada paparan skrin.
Lain-lain perkara yang perlu anda turut ambil perhatian sebelum membuat pembayaran adalah untuk mengambil tahu mengenai tempoh baki jaminan untuk peranti berkenaan, selain memastikan telefon pintar yang anda beli adalah versi asli dan bukannya klon. Sekiranya anda membeli telefon pintar iPhone atau iPad, pastikan peranti berkenaan tidak lagi dihubungkan dengan akaun iCloud pemilik asal.
No comments:
Post a Comment