Saturday, 20 August 2016

Perkara yang perlu dilakukan jika berlaku kemalangan

Apa yang perlu anda lakukan jika berlaku kemalangan?

1) Perkara pertama yang mesti anda lakukan adalah kawal diri anda. Bertenang dan jangan cemas. Redakan perasaan marah, takut atau cemas dalam diri anda dahulu. Pastikan orang yang anda langgar atau melanggar anda tidak agresif. Jika semuanya dalam keadaan terkawal, baru keluar dari kereta.

2) Periksa kenderaan anda dan pastikan tiada orang yang tercedera.

a) Jika ada yang cedera teruk, hubungi ambulans di talian 999 untuk bantuan. Dinasihatkan anda ke hospital kerajaan dahulu kerana mereka ada semua peralatan jika berlaku kes-kes kritikal.

b) Jika tiada kecederaan, alihkan kereta anda untuk keselesaan orang lain dan untuk elakkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

3) Ambil nama penuh, no kad pengenalan, nombor telefon, nombor kenderaan, jenis kenderaan, warna kenderaan, ambil gambar kemalangan yang berkaitan, syarikat insurans dan (jenis kerosakan-jika sempat) pihak-pihak yang terlibat. Jika ada saksi awam, jangan lupa minta nombor telefon, nama penuh, alamat dan kad pengenalan mereka. Ini akan memudahkan anda ketika proses perbicaraan.

4) Jangan bergaduh di jalan raya. Sebaik-baiknya, terus ke balai polis dan buat laporan polis dengan segera. Kemudian, bawa salinan report polis tersebut ke syarikat insurans anda. Anda perlu mengisi borang yang disediakan di sana.

5) Jika kenderaan perlu ditunda, pastikan kenderaan anda ditunda ke bengkel tunda yang sah. Pastikan anda membawa salinan kad pengenalan, cover note, geran kereta, lesen memandu dan laporan polis. Biasanya, jika kita memperbaharui insurans, mereka akan berikan sticker yang mempunyai nombor “hotline” yang perlu dihubungi ketika kemalangan.

6) Jangan terus turunkan tandatangan anda jika ada ejen yang mengaku mereka daripada pejabat peguam dan akan bantu anda dengan sebaik mungkin. Sebaik-baiknya, siasat dahulu mereka dari firma mana dan siapa peguam mereka. Minta berjumpa dengan peguam dahulu dan tanya apa yang anda tidak pasti sebelum menandatangani borang untuk bertindak.

- Fadil Mohd Yusof


No comments:

Post a Comment