Sunday, 28 August 2016

Seorang Ayah yang berprinsip

SEORANG YANG BERNAMA AYAH

Oleh: IRJAI

1. Semalam, 27 Ogos 2016 menjadi saksi akan genapnya umur ayah 64 tahun. Ayah selalu kata,

"Nabi shalallahu'alaihi wa sallam wafat (sekitar) pada umur 63 tahun... Kalau sudah menjangkau 64 tahun, ini kira bonus.."

2. Ayah seorang yang tegas dalam mendidik anak-anaknya, tetapi tidak pernah pula kami adik-beradik dipukulnya jika melakukan sesuatu yang tidak disukainya. Cukup dengan hanya melihat kepada perubahan wajahnya dan tiba-tiba mendiamkan diri dalam jangka waktu tertentu sebagai 'pukulan' kepada kami. Bahkan kami tidak pula berani untuk bertindak bertentangan dengan prinsip ayah.

3. Antara semua adik-beradik, saya antara yang boleh dikatakan paling rapat dengan ayah. Keadaan ini mungkin kerana kami berkongsi minat yang sama atau mungkin juga kerana kami sering berbahas mengenai sesuatu isu. Sehingga ramai yang berkata, "Ini anak ayah ni.."

4. Mengenai kehidupan, ayah pernah berkata, "Waktu musim panas, ramai yang mengeluh 'panas... panas...' dan bila musim hujan, ramai juga yang mengeluh tak boleh nak buat apa disebabkan hujan... Kita hanya menumpang hidup diatas dunia ini untuk sementara. Hanya menumpang, bukannya 'tuan rumah'. Allah boleh bagi apa saja dan ambil apa saja kerana Dia 'tuan rumah' sedangkan kita hanya menumpang. Belajarlah untuk redha dengan Allah.."

5. Ayah seorang yang sangat sederhana. Meskipun tidak berharta, ayah tidak pernah meminta-minta. Ayah akan bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang dicita-citakan dan seringkali terlihat kepuasan di wajahnya tatkala apa yang dihajati diperolehinya. Pesan ayah,

"Jalanilah hidup ini dengan bermaruah dan berprinsip. Jangan sesekali mengharapkan apa yang ada ditangan orang lain sehingga kita terpaksa menghinakan diri menjadi hamba mereka, dan mengiakan apa sahaja yang dilakukan dan diperkatakan oleh mereka sekalipun salah."

- Ir Jai


No comments:

Post a Comment