Friday 24 February 2017

Motivasi Anak Muda Dalam Bisnes (12 Strategi Bisnes Barnes)


Surat terbuka dari Dato' Roslan Ab Hamid....


SURAT KEPADA PUAN GURU AINON MOHD.

Saya membaca catatan demi catatan dari ramai anak muda kepada Puan Guru yang meminta Mentoring dari Puan Guru. Saya mendoakan dengan khusyuk pada suboh hening ini, ramai anak muda akan berjaya semasa berada di makmal tersohor Ainon Mohd. Business School.

Berikut adalah catatan ringkas dari saya untuk dititipkan pesan pedoman kepada anak anak muda itu:

Edwin C Barnes, seorang anak muda tidak berduit dari Midwest. Miskinnya dia sehingga tidak mampu membeli tiket keretapi penumpang mahu ke West Orange, New Jersey. Dia mahu ke sana bertemu Pereka tersohor Thomas Alva Edison.

Pada suatu pagi 1905, dia menaiki keretapi barang. Yang dia ada hanya modal tekad diri. Dia mahu menjadi rakan kongsi Thomas A Edison. Rakan kongsi tanpa modal duit. Tanpa modal skill. (Yang dia ada hanya MTD - Modal Tekad Diri).

Apabila tiba di Makmal terkenal milik Edison, Barnes yang datang tanpa pakaian sopan bergaya ala orang kaya memperkenalkan dirinya sebagai bakal partner Edison. Hampir semua kakitangan Edison ketawa terbahak-bahak. Thomas Alva Edison tidak ketawa.

Dia menyuluh ke dalam diri anak muda itu dengan pandangan "tembus mata hati" betapa anak muda itu telah bersedia dengan tekad besi waja mahu membawa syarikat kumpulannya ke tahap yang luar biasa. Apa yang anak muda itu perlukan adalah BSB - "bateri sokongan bimbingan" untuk memacu dia kearah kejayaan.

Edison menawarkan Barnes kerja sebagai penyapu sampah di pejabatnya. Barnes menerima dengan senang hati. Barnes tahu masa untuk beliau akan tiba. Beliau telah dibukakan pintu untuk berada dipersada kejayaan - mengenal siapa jua yang melangkah ke makmal terkenal Edison.

Kata kunci dalam bisnes: NETWORKING


2 tahun lamanya Barnes bekerja di makmal Edison. Tekun dan Tabah. Tidak merungut jauh sekali mengeluh. Dia berkuli pada tahap paling rendah. Tidak boleh turun lagi. Hanya ada satu jalan sahaja. Menapak keatas.

2 tahun kemudian Edison mencipta Ediphone, mesin perakam suara. Pasukan Edison kurang yakin mesin ini akan diterima oleh pasaran. Melihat situasi ini Barnes datang menemui Edison dan menyerahkan Pelan Pemasaran untuk menjual mesin itu yang kemudianya dikenali sebagai, Ediphone. Selepas itu adalah sejarah. Barnes menjadi jutawan pada usia muda. Dia menjual ribuan Ediphone.

Berikut adalah 12 STRATEGI BISNES BARNES:

1. Dia tahu apa yang dia mahu sejak mula dari dia menaiki keretapi barang. (Menjadi rakan kongsi Edison.)

2. Dia menggunakan kuasa imiginasinya untuk melupakan kemiskinan dan kesukaran hidup sekarang sementara menunggu waktu senang tiba. (Berjagung jagung dulu sementara padi masak.)

3. Dia bersedia bermula dari bawah untuk mendapatkan cara bagaimana (know how) dan pendedahan bermakna (exposure).

4. Dia menyiapkan peta di tangan untuk merebut peluang yang bakal datang. Barnes sungguh optimis. Dia melihat masa depan dalam hening diri seorang juara.

5. Dia tabah, tekun dan bertekad menunggu masa untuk menjadikan matlamatnya satu realiti.

6. Dia sanggup bekerja lebih masa dengan tumpuan fokus yang tidak terkira bertahun lamanya bagi mendapatkan apa yang dia mahu.

7. Dia kurang bercakap, lebih banyak membuat.

8. Dia tidak takut diperbudak, dikritik, dipersenda dan dipermainkan. Dia punya semangat sekuat besi yang tidak mudah patah dengan olok-olokan manusia berjiwa kecil.

9. Dia mencipta idea bagaimana mahu berjaya dan menjadikannya nyata didepan mata sehingga menjadi inspirasi seluruh manusia.

10. Sejajar dengan usaha dia mahu berjaya, dia juga mencipta landasan untuk ramai lagi orang lain turut berjaya seumpama dia.

11. Dia menjadikan dirinya satu nilai yang tidak terbanding dalam pasaran terbuka. Dia adalah lagenda.

12. Dia memberikan khidmat pelanggan yang sungguh cemerlang. Tidak tertanding oleh sesiapa jua yang lain.

.
- Puan Ainon Mohd

No comments:

Post a Comment