Ini kisah semalam. Saya menggantikan kuliah maghrib rakan saya. Saya memilih untuk berkongsi tafsir Surah Al-Masad atau lebih dikenali sebagai Surah Tabbat Yada. Saya merujuk Tafsir Kabir, Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Qurtubi dan Tafsir Munir. Surah ini pendek sahaja dan mengisahkan Allah mencelakakan Abu Lahab dan isterinya kerana permusuhan dan kebencian terhadap ajaran Islam dan menyakiti dan mencerca Rasulullah s.a.w.
Mengikut riwayat, Abu Lahab terkena satu penyakit yang berjangkit yang amat ditakuti oleh orang Arab. Selama 7 hari dia menderita dan ditinggalkan bersendirian oleh keluarganya. Akhirnya dia mati dan mayatnya dibiarkan busuk selama 3 hari. Kemudian digali lubang kubur dan mayatnya ditolak ke dalam lubang dengan kayu yang panjang. Kemudian dilemparkan batu-batu daripada jauh sehingga menutupi lubang kuburnya. Abu Lahab adalah pembesar Quraisy tetapi mati dengan penuh kehinaan di dunia.
Betapa celakanya hidup Abu Lahab dan isterinya di dunia dan akhirat sehingga doa kecelakaan ke atas mereka ini dibaca sejak zaman Rasulullah s.a.w. hingga kini. Doa kecelakaan ini tidak akan berhenti hingga berlakunya hari akhirat. Bayangkan betapa ramai manusia yang mendoakan kecelakaan kepada Abu Lahab dan isterinya. Abu Lahab menjadi simbol manusia keras kepala yang ingkar dan menentang seruan Rasulullah s.a.w. agar beriman kepada Allah Yang Maha Esa.
Surah ini bukan hanya sebuah cerita tentang Abu Lahab dan isterinya. Jika surah ini turun untuk Abu Lahab dan isterinya sahaja maka tidak perlu surah ini diturunkan. Surah ini adalah pengajaran kepada manusia bahawa golongan yang membenci dan memusuhi ajaran Islam dan Rasulullah s.a.w. bahawa hidupnya di dunia dan akhirat akan mengalami kecelakaan. Tiada yang lebih celaka dalam hidup apabila mati dalam kehinaan dan menjadi penghuni api neraka. Moga Allah menjauhkan kita daripada perkara berkenaan.
Abdél Rahmanov
20 Ogos 2017
Sunday, 20 August 2017
Surah Al-Masad: Doa Celaka untuk musuh Islam
Thursday, 17 August 2017
Kelebihan Doakan Saudaramu Tanpa Pengetahuannya
ANTARA DOA YANG MUSTAJAB.
Antara doa yang mustajab bilamana seorang muslim mendoakan kepada orang lain tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيْهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ. كُلَّمَا دَعَا ِلأَخِيْهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِيْنَ. وَلَكَ بِمِثْلٍ.
"Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan TANPA pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada Malaikat yang menjadi wakil baginya. Setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka Malaikat tersebut berkata: ‘Aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan." (HR Muslim)
Walaupun orang yang didoakannya berada di hadapan orang yang mendoakannya, seperti berdoa dengan hatinya atau dengan lisan tetapi tidak terdengar oleh orang yang didoakan. Asalkan doa itu TIDAK DIDENGARI oleh orang yang kita doakan. Ajaibkan doa. Wallahua'lam.
#admin Page Dr Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith
Wednesday, 16 August 2017
Syarah Sahih Bukhari dalam Bahasa Melayu
(Admin) Sudah terbit Syarah Sahih al-Bukhari dalam Bahasa Melayu. Mungkin yang pertama seumpamanya. Juga boleh dilayari dari web darulkautsar
(disertai video & indeks tajuk perbincangan) -
http://tinyurl.com/ze4u957
atau
www.darulkautsar.net/menu
[Jumlah hadis terkini yang disyarah mungkin belum sampai suku daripada hadis hadis yang terkumpul dalam Sahih al-Bukhari. 2 jilid ini merupakan tulisan yang terkini.
Doakan ada sambungan lagi. Mungkin memakan berbelas jilid kesemuanya]
Boleh hubungi Ust. Muawiyah di no 017 941 9475 untuk tempahan
-Maulana Asri Yusoff
Salafi terlalu tegas dalam hal Agama?
Walaupun ramai tak suka salafi kerana sikap mereka yang terlalu tegas dalam hal agama, namun saya sangat berterima kasih dengan pandangan² mereka. Semuanya ada sandaran nas. Cara memahami nas mungkin berbeza di antara satu golongan dengan golongan yang lain. Dan perbezaan tersebut tidaklah besar mana. Terpulang pada masing² dan berlapang dada, asalkan tidak jauh tersasar dari maksud agama.
Kenapa saya berterima kasih dengan mereka? Kerana hari ini terlalu banyak perkara agama kita ambil ringan dan bermudah-mudah dengannya. Terlalu longgar. Bukan sahaja kalangan masyarakat awam. Bahkan para ilmuan agama. Khuatir kalau terlalu longgar, nanti terlondeh terus. Tercabut agama dari tubuh kita. Hilang harga diri di sisi ALLAH. Jadi, kena dengar juga pandangan² yang tegas yang mungkin berbeza dari amalan kita dalam masyarakat. Sekadar nak bagi ketat mana² yang dah longgar.
Apa yang para Sahabat radhiAllahu `anhum pandang berat, kita pada hari ini telah anggap ia sebagai ringan dan tidak ada apa². Bahkan pada zaman tabiin lagi sudah berlaku. Apatah lagi kita yang sangat jauh dari zaman Sahabat Nabi radhiAllahu `anhum ajma`in. Justeru, kita mesti rujuk kembali cara beragama para salafussoleh terutama para Sahabat kerana mereka hidup pada zaman turunnya wahyu dan faham sebab hadith. Mereka hidup dan berjuang bersama Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.
Walaupun mungkin sebahagian kita tak setuju dengan pembawaan salafi, namun dengarlah. Mereka adalah saudara seIslam kita. Kerana sebagai orang yang sederhana, matang dan beriman, kita mesti buka pancaindera kita untuk mendengar dari pelbagai pihak. Mungkin ada yang disampaikan, menjadikan kita lebih dekat dengan ajaran Nabi yang sebenar dan lebih menjadikan kita takut kepada ALLAH.
Yang dijamin mulia ialah salafussoleh. Bukan salafi. Tapi mungkin kita boleh tumpang sedikit sebanyak ilmu mengenai salafussoleh yang mulia itu dari salafi. Juga dari tablighi, haraki dan lain-lain.
-Shahmuzir Nordzahir
Thursday, 3 August 2017
Fitnah Terhadap Syeikh Hussain Yee
[FITNAH TERHADAP SHEIKH HUSSAIN YEE OLEH PAGE AHLUSUNNAH WALJAMAAH KELANTAN]
Seorang individu menghubungi kami melalui 'Private Message' di Page kami bertanyakan adakah betul dakwaan dari page 'Ahlusunnah Waljamaah Kelantan' (ASWAJA Kelantan) ini. Maka kami mengambil langkah menghubungi Sheikh Hussain Yee sendiri bagi mendapatkan kepastian. Apa jua berita yang kami terima kami akan siasat sebelum dikongsikan.
1. Gambar yang digunakan oleh ASWAJA Kelantan ini merupakan gambar 3 tahun lepas semasa pengebumian ayah kepada salah seorang jemaah Al-Khaadem iaitu Amiruddin yang berdiri di sebelah kiri Sheikh Hussain Yee di dalam gambar. FITNAH dari ASWAJA Kelantan.
2. Pada tarikh yang disebut oleh ASWAJA Kelantan, Sheikh Hussain Yee tiada di Melaka tetapi berada di pejabatnya sepanjang pagi dan berkuliah pada sebelah malam. Jelas ianya adalah fitnah dari pihak ASWAJA Kelantan.
3. Sheikh Hussain Yee bukannya baru memeluk Islam tetapi beliau telah memeluk Islam lebih dari 40 tahun. Barangkali ada di kalangan admin ASWAJA Kelantan yang lebih muallaf dari Sheikh Hussain Yee dari segi usia Islamnya.
4. Seruan oleh ASWAJA Kelantan agar Non Muslim yang ingin memeluk Islam untuk memeluk Islam sebagaimana yang dibawa oleh Nabi Sallalahu Alaihi Wa Salam. Alhamdulilah, beribu individu telah memeluk Islam melalui usaha dakwah Sheikh Hussain Yee di seluruh dunia. Apa pula usaha ASWAJA Kelantan dalam berdakwah kepada Non Muslim selain dari menyebarkan fitnah terhadap sesama Muslim?
Hanya dengan menggunakan nama Ahlusunnah Waljamaah tetapi akhlak buruk mengfitnah itu sudah tentunya bukan akhlak ajaran Ahlul Sunnah yang sebenar.
Kami tidak akan bercakap bagi pihak Sheikh Hussain Yee tetapi barangkali beliau akan mengfailkan saman malu terhadap para Admin page ASWAJA Kelantan yang berniat buruk merosakkan imej beliau. Akhir kalam, Sheikh Hussain Yee mendoakan agar Allah membinasakan mereka yang suka mengfitnah dan semoga doa Sheikh Hussain Yee dimakbulkan kerana tiada hijab bagi doa orang yang ditindas. Allahuma Ameen.
Admin
Sumber: Page Bro Firdaus Wong
Pelajari Bahasa Arab
Pelajari Bahasa Arab.....
Jika kita berasa malu dan kerdil kerana tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mampu membaca buku, akhbar, mendengar berita dalam Bahasa Inggeris, kenapa kita tidak merasa malu dan kerdil kerana tidak mampu memahami Bahasa Arab, bahasa Nabi kita -sallahu alaihi wasallam-, bahasa Al-Quran, bahasa solat, bahasa zikir...
Apakah ertinya solat yang kita lakukan lima kali sehari semalam, jika bacaan-bacaan dalam solat hanyalah sekadar pergerakan lidah dan bibir tanpa difahami maksudnya di dalam hati. Sedangkan solat adalah ibadah terbesar bagi seorang Muslim dan tiang agama dalam Islam. Solat disifatkan dalam hadis sebagai MUNAJAT (bisikan) antara hamba dengan Tuhannya. Bagaimana mungkin seorang hamba bermunajat kepada Tuhannya, sedang dia tidak faham apa yang dimunajatkan oleh lidahnya....
Hakikatnya, solat fardhu bukanlah sekadar pergerakan anggota zahir, ungkapan bacaan-bacaan wajib dan niat pada permulaan takbiratul ihram. Itu hanyalah solat dari sudut fiqah yang boleh melepaskan kewajipan seseorang muslim.
Tetapi solat yang sebenar ialah solat yang dilakukan dengan menghadirkan bacaan Quran, zikir dan doa di dalam hati. Apabila lidah menyebut doa, hati turut bersungguh-sungguh bermohon dengan penuh rajaa', apabila lidah menyebut istighfar, hati turut merasa insaf dan takut terhadap dosa-dosa lalu. Ketika lidah membacakan ayat tentang syurga, hati membuak-buak kerana terlalu ingin mengecapinya. Ketika lidah membacakan ayat neraka, hati turut merasa gerun dan gementar, takut dijamah oleh api neraka. Apabila lidah menyebut ayat-ayat tentang sifat Allah, hati turut merasakan kebesaran dan kehebatan Tuhannya.
Jika seseorang mendirikan dan memelihara solat fardhu lima waktu dengan ertikata solat yang sebenar, dengan penuh penghayatan zahir dan batinnya, sudah pasti hubungannya dengan Tuhannya semakin rapat.
Untuk itu, mempelajari Bahasa Arab adalah satu kewajipan. Sepatutnya Bahasa Arab diberikan prioriti yang lebih berbanding dengan bahasa-bahasa asing lain. Sebagaimana tingginya kedudukan al-Quran berbanding buku-buku dan majalah-majalah duniawi, begitulah tingginya kedudukan Bahasa Arab berbanding bahasa-bahasa lain. Sebagaimana besarnya kedudukan Solat Fardhu berbanding amalan-amalan lain, begitulah pentingnya Bahasa Arab berbanding bahasa lain.
Justeru, belajarlah Bahasa Arab.... Sekurang-kurangnya kita faham maksud setiap kalimat yang kita baca, samada bacaan Quran, zikir, atau doa, sama ada dalam solat ataupun zikir-zikir selepas selesai solat.
-Ustaz Lokmanulhakim Hussain
Sunday, 11 June 2017
Puisi Lalu Aku Dipanggil Wahabi
WAHABI ADALAH WAHABI
Aku nasihatkan, rujukan kita adalah al-Qur'an dan sunnah Nabi Lalu aku dipanggil Wahabi Aku katakan, hadis hendaklah dipastikan sahih dari Nabi Lalu aku dipanggil Wahabi Aku cuba amalkan ibadatku mengikut cara Nabi Lalu aku dipanggil Wahabi
Aku cuba amalkan solat mengikut cara Nabi Lalu aku dipanggil Wahabi Aku nasihatkan bahawa amalan itu dan ini bukan dari Nabi Lalu aku dipanggil Wahabi
