Thursday, 3 August 2017

Pelajari Bahasa Arab

Pelajari Bahasa Arab.....

Jika kita berasa malu dan kerdil kerana tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mampu membaca buku, akhbar, mendengar berita dalam Bahasa Inggeris, kenapa kita tidak merasa malu dan kerdil kerana tidak mampu memahami Bahasa Arab, bahasa Nabi kita -sallahu alaihi wasallam-, bahasa Al-Quran, bahasa solat, bahasa zikir...

Apakah ertinya solat yang kita lakukan lima kali sehari semalam, jika bacaan-bacaan dalam solat hanyalah sekadar pergerakan lidah dan bibir tanpa difahami maksudnya di dalam hati. Sedangkan solat adalah ibadah terbesar bagi seorang Muslim dan tiang agama dalam Islam. Solat disifatkan dalam hadis sebagai MUNAJAT (bisikan) antara hamba dengan Tuhannya. Bagaimana mungkin seorang hamba bermunajat kepada Tuhannya, sedang dia tidak faham apa yang dimunajatkan oleh lidahnya....

Hakikatnya, solat fardhu bukanlah sekadar pergerakan anggota zahir, ungkapan bacaan-bacaan wajib dan niat pada permulaan takbiratul ihram. Itu hanyalah solat dari sudut fiqah yang boleh melepaskan kewajipan seseorang muslim.

Tetapi solat yang sebenar ialah solat yang dilakukan dengan menghadirkan bacaan Quran, zikir dan doa di dalam hati. Apabila lidah menyebut doa, hati turut bersungguh-sungguh bermohon dengan penuh rajaa', apabila lidah menyebut istighfar, hati turut merasa insaf dan takut terhadap dosa-dosa lalu. Ketika lidah membacakan ayat tentang syurga, hati membuak-buak kerana terlalu ingin mengecapinya. Ketika lidah membacakan ayat neraka, hati turut merasa gerun dan gementar, takut dijamah oleh api neraka. Apabila lidah menyebut ayat-ayat tentang sifat Allah, hati turut merasakan kebesaran dan kehebatan Tuhannya.

Jika seseorang mendirikan dan memelihara solat fardhu lima waktu dengan ertikata solat yang sebenar, dengan penuh penghayatan zahir dan batinnya, sudah pasti hubungannya dengan Tuhannya semakin rapat.

Untuk itu, mempelajari Bahasa Arab adalah satu kewajipan. Sepatutnya Bahasa Arab diberikan prioriti yang lebih berbanding dengan bahasa-bahasa asing lain. Sebagaimana tingginya kedudukan al-Quran berbanding buku-buku dan majalah-majalah duniawi, begitulah tingginya kedudukan Bahasa Arab berbanding bahasa-bahasa lain. Sebagaimana besarnya kedudukan Solat Fardhu berbanding amalan-amalan lain, begitulah pentingnya Bahasa Arab berbanding bahasa lain.

Justeru, belajarlah Bahasa Arab.... Sekurang-kurangnya kita faham maksud setiap kalimat yang kita baca, samada bacaan Quran, zikir, atau doa, sama ada dalam solat ataupun zikir-zikir selepas selesai solat.

-Ustaz Lokmanulhakim Hussain


No comments:

Post a Comment