Wednesday 16 August 2017

Salafi terlalu tegas dalam hal Agama?

Walaupun ramai tak suka salafi kerana sikap mereka yang terlalu tegas dalam hal agama, namun saya sangat berterima kasih dengan pandangan² mereka.  Semuanya ada sandaran nas.  Cara memahami nas mungkin berbeza di antara satu golongan dengan golongan yang lain.  Dan perbezaan tersebut tidaklah besar mana.  Terpulang pada masing² dan berlapang dada, asalkan tidak jauh tersasar dari maksud agama.

Kenapa saya berterima kasih dengan mereka?  Kerana hari ini terlalu banyak perkara agama kita ambil ringan dan bermudah-mudah dengannya.  Terlalu longgar.  Bukan sahaja kalangan masyarakat awam.  Bahkan para ilmuan agama.  Khuatir kalau terlalu longgar, nanti terlondeh terus.  Tercabut agama dari tubuh kita.  Hilang harga diri di sisi ALLAH.  Jadi, kena dengar juga pandangan² yang tegas yang mungkin berbeza dari amalan kita dalam masyarakat.  Sekadar nak bagi ketat mana² yang dah longgar.

Apa yang para Sahabat radhiAllahu `anhum pandang berat, kita pada hari ini telah anggap ia sebagai ringan dan tidak ada apa².  Bahkan pada zaman tabiin lagi sudah berlaku.  Apatah lagi kita yang sangat jauh dari zaman Sahabat Nabi radhiAllahu `anhum ajma`in.  Justeru, kita mesti rujuk kembali cara beragama para salafussoleh terutama para Sahabat kerana mereka hidup pada zaman turunnya wahyu dan faham sebab hadith.  Mereka hidup dan berjuang bersama Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Walaupun mungkin sebahagian kita tak setuju dengan pembawaan salafi, namun dengarlah.  Mereka adalah saudara seIslam kita.  Kerana sebagai orang yang sederhana, matang dan beriman, kita mesti buka pancaindera kita untuk mendengar dari pelbagai pihak.  Mungkin ada yang disampaikan, menjadikan kita lebih dekat dengan ajaran Nabi yang sebenar dan lebih menjadikan kita takut kepada ALLAH.

Yang dijamin mulia ialah salafussoleh.  Bukan salafi.  Tapi mungkin kita boleh tumpang sedikit sebanyak ilmu mengenai salafussoleh yang mulia itu dari salafi.  Juga dari tablighi, haraki dan lain-lain.

-Shahmuzir Nordzahir


No comments:

Post a Comment