Ini kisah semalam. Saya menggantikan kuliah maghrib rakan saya. Saya memilih untuk berkongsi tafsir Surah Al-Masad atau lebih dikenali sebagai Surah Tabbat Yada. Saya merujuk Tafsir Kabir, Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Qurtubi dan Tafsir Munir. Surah ini pendek sahaja dan mengisahkan Allah mencelakakan Abu Lahab dan isterinya kerana permusuhan dan kebencian terhadap ajaran Islam dan menyakiti dan mencerca Rasulullah s.a.w.
Mengikut riwayat, Abu Lahab terkena satu penyakit yang berjangkit yang amat ditakuti oleh orang Arab. Selama 7 hari dia menderita dan ditinggalkan bersendirian oleh keluarganya. Akhirnya dia mati dan mayatnya dibiarkan busuk selama 3 hari. Kemudian digali lubang kubur dan mayatnya ditolak ke dalam lubang dengan kayu yang panjang. Kemudian dilemparkan batu-batu daripada jauh sehingga menutupi lubang kuburnya. Abu Lahab adalah pembesar Quraisy tetapi mati dengan penuh kehinaan di dunia.
Betapa celakanya hidup Abu Lahab dan isterinya di dunia dan akhirat sehingga doa kecelakaan ke atas mereka ini dibaca sejak zaman Rasulullah s.a.w. hingga kini. Doa kecelakaan ini tidak akan berhenti hingga berlakunya hari akhirat. Bayangkan betapa ramai manusia yang mendoakan kecelakaan kepada Abu Lahab dan isterinya. Abu Lahab menjadi simbol manusia keras kepala yang ingkar dan menentang seruan Rasulullah s.a.w. agar beriman kepada Allah Yang Maha Esa.
Surah ini bukan hanya sebuah cerita tentang Abu Lahab dan isterinya. Jika surah ini turun untuk Abu Lahab dan isterinya sahaja maka tidak perlu surah ini diturunkan. Surah ini adalah pengajaran kepada manusia bahawa golongan yang membenci dan memusuhi ajaran Islam dan Rasulullah s.a.w. bahawa hidupnya di dunia dan akhirat akan mengalami kecelakaan. Tiada yang lebih celaka dalam hidup apabila mati dalam kehinaan dan menjadi penghuni api neraka. Moga Allah menjauhkan kita daripada perkara berkenaan.
Abdél Rahmanov
20 Ogos 2017
Sunday, 20 August 2017
Surah Al-Masad: Doa Celaka untuk musuh Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment