TIGA PERKARA YANG KEKAL PAHALANYA PERLU DIUSAHAKAN SEMASA HIDUP.
Dalam hadisnya, Nabi s.a.w menyebutkan ada 3 perkara yang menyebabkan seseorang akan mendapat manfaat daripadanya meskipun dia telah meninggal dunia (Sahih Muslim, No: 4310, Sunan Abu Daud, No: 2882 dan lain-lain).
Tiga perkara tersebut adalah:
(1) Sedekah jariah, iaitu sedekah yang manfaatnya berpanjangan.
(2) Ilmu yang dimanfaatkan, iaitu ilmu yang berguna kepada orang lain sama ada berkaitan urusan duniawi mahupun ukhrawi.
(3) Doa daripada anak yang soleh / solehah.
Walau bagaimanapun, semua ini perlulah diusahakan semasa seseorang itu masih hidup. Ia tidak wujud secara serta merta atau percuma begitu sahaja.
Penjelasannya begini:
(1) Tidak mungkin seseorang itu mampu bersedekah jariah melainkan dia perlulah terlebih dahulu bekerja mencari rezeki / wang yang halal yang dapat digunakan untuk tujuan sedekah tersebut.
(2) Tidak mungkin seseorang itu mampu memberikan ilmu yang berguna kepada orang lain melainkan dia perlulah terlebih dahulu berusaha mencari ilmu, memahami ilmu itu dengan baik dan menyampaikannya pula pada orang lain baik secara lisan mahupun tulisan.
(3) Tidak mungkin seseorang itu mampu melahirkan anak yang soleh melainkan dia perlulah terlebih dahulu bernikah, kemudian melahirkan zuriat dan mendidik anak itu dengan ajaran agama yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.
Ringkasnya, tiada isitilah pahala free dalam ajaran Islam. Setiap orang mestilah beramal semaksima yang mungkin. Sebagaimana di dunia setiap orang perlu berusaha mencari bekalan hidup masing-masing, maka demikianlah juga akhirat. Firman Allah s.w.t:
الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ ۚ لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
"Pada hari ini, tiap-tiap jiwa diberi balasan (sesuai) dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya." (Surah al- Mu’min ayat 17)
Sunday, 23 December 2018
Apa Tiga Perkara Kekal Pahala Setelah Meninggal?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment