𝐆𝐎𝐋𝐎𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐈𝐊 𝐃𝐀𝐍 𝐆𝐎𝐋𝐎𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐁𝐔𝐑𝐔𝐊
𝐆𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐭𝐚𝐦𝐚
Berkaitan amalan baik dan buruk, terdapat dua golongan manusia. Golongan pertama, mereka yang memenuhi kehidupan dengan perkara-perkara yang soleh. Mereka juga suka kepada kesolehan. Zahir pada cara hidup mereka ciri-ciri orang baik dan menyukai kebaikan. Zahir pada ucapan dan tindakan mereka kebaikan dan mencintai kebaikan. Golongan ini kita menilai sebagai golongan yang baik dan soleh. Ini tidaklah bererti tiada perkara negatif dan dosa dalam hidup mereka. Semua anak Adam itu pendosa. Namun, secara perbandingan yang zahir, kesolehan mendominasi hidup mereka dan mengatasi kejahatan.
Golongan ini, jika kita ketahui atau berpengalaman dengan kesalahan dan sifat negatif mereka, maka anggap itu kekurangan yang ada pada setiap insan. Diri kita juga sama, bahkan mungkin lebih buruk. Maka, ruang untuk bersangka baik dan memaafkan kesilapan mereka itu hendaklah begitu luas dan mudah. Ini kerana kita tahu, dosa bukanlah kecenderungan mereka. Janganlah kita besar-besarkan kesilapan yang jarang berlaku itu seakan mereka itu golongan yang jahat.
𝐆𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐝𝐮𝐚
Golongan kedua pula merupakan golongan yang telah menghiasi kehidupan mereka dengan keburukan dan kezaliman. Perkara-perkara negatif itu membanjiri kehidupan mereka dan mengatasi nilai-nilai baik seorang insan. Golongan ini merupakan golongan fussaq atau orang yang jahat. Ini tidak menafikan untuk kadang-kala terjadi perkara positif yang bukan hasrat asal mereka. Golongan ini kita perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap mereka. Ruang kemaafan atas kesalahan jika diberikan, hendaklah juga dinilai dengan hukuman pengajaran agar tidak berulang. Janganlah kita biarkan orangramai tertipu dengan kebaikan yang janggal itu sehingga ada yang menjadi mangsa kezaliman yang sering menguasai mereka.
Pun begitu, kita hendaklah sentiasa sedar bahawa rahmat ALLAH itu sentiasa luas. Pintu taubat dan kembali kepada keampunanNYA sentiasa terbuka untuk semua. Boleh jadi orang yang buruk semalam baik pada hari ini. Boleh jadi juga sebaliknya. Namun, ketika berurusan sesama manusia di dunia ini, faktor dominasi baik dan buruk dan realiti yang disaksikan hendaklah diambil kira sebagai langkah berjaga-jaga.
Kredit
#drmaza
#NotaIlmuPilihan
#MalaysiaMembaca
Join Channel Telegram 👇
t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme
t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme
No comments:
Post a Comment