Islam Adalah Agama Ilmu Dan Bukan Hanya Agama Sentimen Atau Semangat!
BUANG DUNIA...CARI AKHIRAT SAHAJA?
Pernah anak saudara (Budak Sains) masuk Matrikulasi Sains lepas SPM. Semasa di sana dia mengikuti satu usrah dakwah. Lepas balik cuti dia jadi pening dan mahu meninggalkan dunia kerana abang2 usrah dakwahnya mengatakan YANG PENTING CUMA ILMU AGAMA. Ilmu dunia seperti SAINS, MATEMATIK tak penting. Saya andaikan beberapa perkara untuk berbaik sangka:
1) Abang usrahnya cakap benda benar, cuma cara penyampaiannya kurang tepat sehingga anak saudara saya silap faham. Atau anak saudara saya salah faham maksud abang2 usrahnya.
2) Abang usrahnya begitu bersemangat dengan penghayatan Islam tapi kurang bimbingan yang benar daripada ilmuwan Islam. Lalu dibakulkan semua ilmu selain ilmu agama sebagai sekular dan perlu dipinggirkan.
Apa jawapan saya pada anak saudara? Ini beberapa contohnya;
1) Agaknya macamana nak bahagi Faraidh kalau tak belajar matematik. Ayat matematik sungguh banyak dalam al-Quran seperti ayat Faraidh (al-Nisa' 4:11, 12 & 176). Bahkan untuk menyedarkan orang Mekah yang perasan kuat dengan kuasa ekonominya, Allah menggunakan "perumpamaan matematik" bagi membayangkan nisbah kekuatan mereka sangat kecil berbanding banyak empayar dunia sebelum mereka yang dimusnahkan Allah:
وَكَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَمَا بَلَغُوا مِعْشَارَ مَا آتَيْنَاهُمْ فَكَذَّبُوا رُسُلِي فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ
Ertinya: Dan (ketahuilah bahawa) umat yang terdahulu sebelum mereka telah mendustakan (para Rasulnya), sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak: mencapai "SATU PER-SEPULUH" pun (daripada kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri kepada umat yang terdahulu itu; setelah umat itu mendustakan Rasul-Ku (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaan-Ku (menimpa mereka) (Saba' 34:45).
Sama juga, macamana agaknya kita mahu mengukur waktu solat tanpa ilmu matematik dan geometri?
2) Kalau tak belajar engineering, macamana agaknya nak buat masjid? Kena tahu berapa simen dan besinya. Tanpa ilmu civil engineering, surau masjid pun tak mampu dibina kukuh.
3) Kalau tak belajar ilmu perubatan, bagaimana agaknya nak merawat orang sakit? Tak kan kalau jumpa orang sakit, kita suruh mereka sabar dan redha dengan ujian sakit?
4) Kalau tak belajar Farmasi, bagaimana agaknya nak mencari ubat untuk orang sakit? Lalu yang sakit boleh sihat dan meneruskan ibadah. Agaknya jika mereka mampu meneruskan ibadah kerana ilmu kita, adakah pahalanya sampai pada kita?
Dan banyak lagi logiknya yang sepatutnya orang yang SEMANGAT DENGAN ISLAM fahami. Islam adalah agama ilmu dan bukan hanya agama sentimen atau SEMANGAT! Tambah semangat Islam itu dengan mendalami berbagai ILMU YANG SEMUANYA BERLUBUK DARI ALLAH TUHAN YANG MAHA MENGETAHUI...bukan nafikan sesetengah sistem pendidikan kerana semangat kita yang tak cukup bimbingan.
Saya wajibkan semua anak saya masuk kelas Sains kerana saya tak mahu mereka terlepas peluang itu seperti saya. Sekolah kami dahulu tiada aliran sains. Setelah lama mengajar tafsir al-Quran, saya dapati Ilmu Sains adalah ILMU ALLAH YANG SANGAT BERGUNA untuk lebih memahami al-Quran dan menjana berbagai pahala.
Soalan terakhir! Bagaimana agaknya kita nak fahami surah al-Fil dengan sudut yang lebih luas TANPA ADANYA ILMU FIZIK?
Abdullah Bukhari al-Hafiz
23 Februari 2021
Kredit
#UstazAbdullahBukhari
#NotaIlmuPilihan
#MalaysiaMembaca
Join Channel Telegram 👇
t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme
t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme
No comments:
Post a Comment