Pemuda Yang Mencari Erti Sebenar Kehidupan : Buku The Alchemist
Tidak ingat bila kali pertama membaca karya Paulo Coelho, tapi yang pastinya saya tidak memulakan bacaan karyanya dengan The Alchemist.
Ternyata The Alchemist memberikan satu pengalaman yang cukup berbeza buat saya selaku pembaca yang jarang sekali membaca fiksyen bahasa Inggeris.
Dan, saya berani mengatakan karya ini memberi tamparan yang hebat kepada saya dalam usaha mencari makna diri.
Teringat pesan saudara Kiridaren Jayakumar apabila beliau mencadangkan buku ini untuk dibaca,
“Baca The Alchemist akan membuatkan anda jatuh cinta untuk terus mencari dan membaca karya-karya Paulo Coelho.”
Saya mengaku. Saya tak sabar “bertemu” dengan karya Paulo Coelho yang lain.
Baiklah,
Karya ini menceritakan tentang perjalanan seorang pemuda yang sedang mencari erti sebenar kehidupan.
Sepanjang perjalanannya, dia merasai pelbagai pengalaman seperti menjadi pengembala kambing, pembantu kedai kristal, pengembara dan sebagainya.
Pengalaman yang dilaluinya ini tidaklah sekadar berjalan kosong saja, tetapi penuh dengan penaakulan mengenal diri dan alam.
Santiago yang diceritakan oleh Paulo Coelho digambarkan sebagai seorang pemuda yang berfikir dan berani menempuh cabaran.
Cabaran-cabaran yang dilalui Santiago inilah yang membuatkan dia mengenal potensi dirinya dalam usaha mengejar “mutiara” yang disebut-sebut oleh orang tua yang ditemuinya di Tangier.
Bermulalah bibit-bibit kepercayaan terhadap usaha keras pastinya membuahkan hasil.
Saya tertarik dengan pesan-pesan orang tua kepada Santiago ketika duduk di bangku panjang sambil melihat suasana di pekan Tangier,
“When you one something, all the universe conspires in helping you to achieve it.”
“People learn early in their lives, what is their reason for being.”
“If you start out by promising what you don’t have yet, you’ll lose your desire to work toward getting it.”
Sangat membekas!
Saya merasakan, setiap masam manis yang dilalui oleh Santiago sepanjang pengembaraannya merupakan refleksi bagaimanakah sepatutnya kita benar-benar menilai tujuan hidup kita di atas muka bumi ini.
Adakah sekadar untuk menghalalkan kemahuan yang sementara?
Atau, ada sesuatu yang hendak ditinggalkan buat generasi juga diri sendiri ketika kembalinya kita ke alam akhirat sana?
Itu jalan yang kita pilih.
Seperti Santiago, dia pada mulanya tidak tahu pun apakah sebenarnya harta yang dicari-cari selama ini. Yang hanya dia tahu, harta itu merupakan sesuatu yang sangat berharga.
Kerana itulah, segala cabaran dirintangi dengan sepenuh hati sehinggalah dia menemui harta yang paling berharga daripada harta yang sering disebutkan.
Potensi diri.
Dengan potensi itulah, dia percaya segala gerak bagi mencapai tujuan diiringi dengan satu tekad dan kepercayaan.
Bahawa ada kuasa yang lebih besar bersama dengan kita dalam merealisasikan impian tersebut.
Dalam konteks peribadi Muslim, kita perlu percaya dalam segala tindak dan kelakuan seorang hamba, pastinya ada Tuhan yang sentiasa mengiringkan dengan rahmat dan berkat.
Tuhan sentiasa bersama dengan kita.
——————
Terlalu banyak yang ingin dinukilkan intipati-intipati penting daripada karya ini. Tapi, cukup sekadar ini dahulu.
Saya akan ceritakan dengan lebih lanjut nanti ya! Insya-Allah.
Apa-apa pun, buku ini MEMANG PATUT dibaca. Tanpa sebarang ragu mahupun penyesalan.
Selamat membaca!
#MalaysiaMembaca
#KLWBC2020
#syuninbaca
#kitabukuwan
#bacabuku
Kredit
#SyuhadahAinin
#NotaIlmuPilihan
#MalaysiaMembaca
Join Channel Telegram 👇
t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme
t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme
No comments:
Post a Comment