Wednesday 30 August 2017

7 Persoalan "Rare" Tentang Korban

[7 PERSOALAN “RARE” TENTANG KORBAN]

SOALAN 1:
Saya tidak cukup bajet untuk beli kambing atau sebahagian lembu untuk dijadikan korban pada hari raya haji tahun ini…Bolehkan saya korbankan ayam seekor atau lebih?
JAWAPAN:
Ibadah korban hanya melibatkan haiwan berkategori “بهيمة الأنعام” iaitu: Unta, lembu (termasuk kerbau), dan kambing yang cukup syaratnya…
Boleh untuk sembelih ayam sebagai ibadah jamuan, bukan ibadah korban…

SOALAN 2:
Kambing jantan yang saya beli untuk dikorbankan tiada telur (testis)…Adakah ia dianggap sebagai kecacatan yang menghalang?
JAWAPAN:
Sebahagian haiwan dimandulkan demi mendapatkan kualiti daging yang lebih baik, kerana haiwan yang mandul lebih gemar makan dan tidur kerana tidak “memikirkan” soal mengawan, dan hormonnya juga akan berubah, maka kebiasaannya ia akan lebih cepat dan mudah gemuk…
Jantan akan dibuang testis dalam kantung, kemudian diikat serta dijahit, manakala betina akan diikat saluran peranakannya…
Mandul bukanlah kecacatan bagi haiwan, sebaliknya ia membantu kualiti haiwan tersebut…Nabi SAW sendiri pernah mengorbankan 2 ekor kambing yang mandul [Riwayat Ahmad]…
Namun bukanlah yang mandul itu sentiasa yang terbaik untuk dijadikan korban, kerana “pemandulan” hanya wasilah untuk mendapatkan daging yang lebih banyak…
Jika pilihan yang ada, yang tidak mandul itu lebih baik kualitinya dan banyak kuantiti dagingnya, maka ia lebih baik dari yang mandul namun kurus…Nabi SAW juga pernah mengorbankan kambing yang tidak mandul [Riwayat Abu Dawud & al-Tirmidziy]…

SOALAN 3:
Bajet saya ada RM 1200…Mana lebih baik, membeli kambing dengan nilai tersebut untuk dijadikan ibadah korban, atau saya membeli daging sahaja (tanpa korban) dari pembekal (sebagai contoh: Daging beku) untuk disedekahkan, yang saya mampu beli dengan bajet tersebut kuantiti daging yang lebih banyak berbanding dengan melakukan korban seekor kambing?
JAWAPAN:
Melaksanakan ibadah korban lebih afdal, walaupun dengan nilai bajet tersebut kita mampu membeli kuantiti daging yang lebih banyak untuk disedekahkan…
Kerana tujuan utama kita melaksanakan ibadah korban ialah demi memenuhi tuntutan syariat Allah pada hari kebesaran umat Islam iaitu ‘Eid al-Adha, bukan kerana dagingnya semata-mata…Allah berfirman:
لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡ‌ۚ
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu...” [al-Haj: 37].

SOALAN 4:
Saya sangat teringin untuk melaksanakan ibadah korban, akan tetapi saya kurang mampu…Bolehkan saya melaksanakannya dengan hasil duit pinjaman dari sahabat saya?
JAWAPAN:
Tidak digalakkan meminjam demi tujuan murni tersebut, melainkan jika kita yakin dan mudah untuk melunaskannya…
Jika kita tidak pasti kita mampu atau tidak melunaskan pinjaman tersebut dan bila kita mampu melunaskannya, maka jangan jebakkan diri dalam daerah yang akan membawa konflik kepada kita dan sahabat kita pada masa akan datang…
Moga Allah kurniakan rezeki yang luas dan diberkati buat kita semua…

SOALAN 5:
Raya haji kali ini saya ada rezeki lebih…Bolehkah saya menyembelih untuk diri saya 3 ekor kambing?
JAWAPAN:
Sebaiknya seseorang itu hanya menyembelih seekor buat dirinya, kerana Nabi SAW hanya menyembelih seekor kambing bagi pihak dirinya dan keluarganya walaupun baginda SAW merupakan insan yang paling pemurah dan paling bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT…
Jika ada rezeki lebih, peruntukan itu boleh disedekah atau diinfaqkan kepada pihak lain yang lebih memerlukan…

SOALAN 6:
Bolehkah kambing yang khunsa dijadikan korban?
JAWAPAN:
Jika kambing tersebut tiada kecacatan dan baik kondisi serta fizikalnya, maka tiada halangan untuk ia dijadikan korban…Kerana jantina bukanlah penentu faktor dalam penerimaan atau penolakan suatu korban itu…
Melainkan jika pada sesetengah baka itu, jantan lebih besar saiznya dan banyak dagingnya, maka untuk jenis itu kita boleh katakan jantan lebih baik, namun bukan kerana faktor jantinanya, bahkan kerana faktor kualitinya…

SOALAN 7:
Saya sedang memikirkan pilihan antara membeli dua ekor kambing bersaiz kecik berharga RM 900 setiap satu, atau seekor kambing baka besar berharga RM 1600/1700…
Untuk pengetahuan, walaupun 2 ekor kambing kecil lebih mahal RM 100/200 dari seekor kambing baka besar, namun dari segi kuantiti daging bersih, seekor kambing baka besar lebih banyak dagingnya dari 2 ekor yang kecil…Soalan saya, pilihan mana yang lebih utama?
JAWAPAN:
Isu ini melibatkan dua sudut:
Pertama: Sudut manfaat…Tidak dinafikan daging yang lebih banyak lebih baik, kerana ia dapat disedekah atau dimanfaatkan kepada lebih ramai orang…
Kedua: Sudut kualiti ibadahnya kepada Allah…Jika dilihat dari sudut ini, kelihatan 2 ekor kambing itu lebih baik walaupun sedikit kurang daging bersihnya selepas disembelih, kerana ia melibatkan dua nyawa berbanding 1 nyawa…Malah kesanggupan seseorang itu membelanjakan lebih wangnya menunjukkan keikhlasan dan kesungguhannya dalam melaksanakan ibadah tersebut demi mendapat keredhaan Allah…
Saya cadangkan: Lihat apa yang terbaik buat diri kita dan masyarakat di sekeliling, kerana kedua-dua pilihan ada maslahatnya…
Boleh jadi jika ramai yang gemar daging-daging dari jenis baka tertentu, maka boleh didahulukan jenis itu walaupun kuantitinya lebih sedikit…
Jika lebih memerlukan kuantiti dagingnya pula, maka buatlah pilihan yang membantu situasi tersebut…
Apapun, pilihlah pilihan yang mampu meningkatkan iman kita dan kualiti ibadah kita kepada Allah dan memberi lebih manfaat pada masyarakat sekeliling…

-Ustaz Kamilin Jamilin


No comments:

Post a Comment