Thursday, 4 February 2021

Diterimakah Taubat Dosa Yang Berulang-Ulang?


Diterimakah Taubat Dosa Yang Berulang-Ulang?

DOSA YANG BERULANG-ULANG 

Imam Muslim r.h di dalam Sahihnya membawakan satu bab bertajuk : 

بابُ قَبولِ التوبة من الذنوب وإن تكررت الذنوب والتوبة 

“ Bab : Penerimaan Taubat Kerana Melakukan Dosa Walaupun Dosa Itu Dilakukan Berulang-Ulang dan Bertaubat juga Berulang-Ulang “ 

وعن أبي هريرة رضي الله عن النَّبِيِّ ﷺ فِيمَا يَحْكِي عَن ربِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالى قَالَ: أَذنَب عبْدٌ ذَنْبًا فقالَ: اللَّهُمَّ اغفِرْ لِي ذَنْبِي، فَقَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعالى: أَذْنَبَ عبدِي ذَنْبًا، فَعَلِم أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ، وَيَأْخُذُ بِالذَّنبِ، ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ، فَقَالَ: أَيْ ربِّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي، فَقَالَ تبارك وتعالى: أَذْنَبَ عبدِي ذَنْبًا، فَعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغفِرُ الذَّنبَ، وَيَأخُذُ بِالذَّنْبِ، ثُمَّ عَادَ فَأَذْنَبَ، فَقَالَ: أَي رَبِّ اغفِرْ لِي ذَنبي، فَقَالَ تَبَارَكَ وَتَعَالى: أَذْنَبَ عَبدِي ذَنبًا، فعَلِمَ أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ، وَيَأْخُذُ بِالذَّنبِ، قد غَفَرْتُ لِعَبْدِي فَلْيَفْعَلْ مَا شَاءَ. 

“ Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW ketika Baginda menceritakan satu hadith dari Tuhannya. 

Kata Allah SWT : Ada seorang hambaku melakukan dosa, kemudian dia mengucapkan : Ya Allah, ampunilah dosaku. 

Lalu Allah SWT menjawab : Hambaku itu telah melakukan dosa, dan dia sedar bahawa dia mempunyai Tuhan yang dapat mengampunkan dosa. Dia sedar bahawa dia punya Tuhan yang menghukum manusia dengan sebab dosanya. 

Kemudian orang itu kembali mengulangi dosanya. Dia berdoa lagi : Ya Allah, ampunilah dosaku. 

Lalu Allah SWT menjawab : Hambaku itu telah melakukan dosa lagi, dan dia sedar bahawa dia mempunyai Tuhan yang dapat mengampunkan dosa. Dia sedar bahawa dia punya Tuhan yang menghukum manusia dengan sebab dosanya itu. 

Kemudian orang itu sekali lagi kembali mengulangi dosanya. Lalu dia berdoa lagi : Ya Allah, ampunilah dosaku. 

Allah SWT menjawab lagi : Hambaku itu telah melakukan dosa lagi, dan dia sedar bahawa dia mempunyai Tuhan yang dapat mengampunkan dosa. Dia sedar bahawa dia punya Tuhan yang menghukum manusia dengan sebab dosanya itu. Buatlah apa yang engkau suka, Aku telah mengampunkan engkau. 

——————————————

Begitulah sifat Maha Pengampunnya Allah SWT kepada hamba-hambanya yang berdosa. Walaupun berulang-ulang kali melakukan dosa, selagimana dia menyedari akan dosanya, walau dia tetap tergelincir, Allah SWT masih juga mengampunkan. 

Berbeza dengan manusia, jika seseorang melakukan kesalahan padanya walaupun sekali, pasti akan dibenci dan dicemuhnya. Usahkan sepuluh kali buat salah, sekali kesalahan pun sudah diungkitnya sepanjang hidup. 

Tapi tidak Allah SWT, Maha Luas PengampunanNya. 

Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini, katanya : 

هذه المسألة تقدمت في أول كتاب التوبة , وهذه الأحاديث ظاهرة في الدلالة لها , وأنه لو تكرر الذنب مائة مرة أو ألف مرة أو أكثر , وتاب في كل مرة : قبلت توبته , وسقطت ذنوبه , ولو تاب عن الجميع توبة واحدة بعد جميعها : صحت توبته 

“ Masalah ini sudah pun berlalu pada awal kitab at-Taubah. Hadith-hadith tersebut jelas menunjukkan bahawa sekiranya seseorang itu mengulangi dosanya sebanyak 100 kali ataupun 1000 kali ataupun lebih lagi, kemudian dia tetap bertaubat setiap kali dia melakukan dosa, maka diterima taubatnya, digugurkan dosanya. Malah sekiranya dia bertaubat atas kesemua dosanya sekaligus, maka tetap juga diterima taubatnya “ 

Kepada mereka yang hati-hatinya sedang serabut memikirkan dosa, bertenanglah, bertaubatlah kerana Allah SWT mengampunkan segala dosa.

Kredit 

#AmirFathy 

#NotaIlmuPilihan 

#MalaysiaMembaca 

Join Channel Telegram 👇 

t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme

t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme

No comments:

Post a Comment