[PUNCA UMAT ISLAM BERPECAH BELAH]
Masyhur dikatakan bahawa antara faktor utama yang membawa kepada perpecahan umat Islam di Malaysia adalah disebabkan oleh fahaman Wahhabi yang kian menular dewasa ini. Sering kali ada pihak yang membicarakan mengenai fahaman ini, lazimnya ia akan dikaitkan dengan isu perpecahan di kalangan umat Islam.
Senario ini telah menimbulkan beberapa persoalan kepada kita semua, apakah punca utama yang menyebabkan fahaman ini sering sahaja dilabelkan sebagai “pemecah belah” umat Islam?
Adakah prinsip atau ajaran yang dibawa dan cuba diterapkan oleh fahaman Wahhabi ke dalam masyarakat Islam di Malaysia selama ini bercanggah dengan ajaran Islam yang dibawa oleh al-Qur’an, al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih dan ajaran Imam al-Syafie rahimahullah?
Peringatan Rasulullah mengenai suasana perpecahan yang melanda umat Islam.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
ﺃَﻻَ ﺇِﻥَّ ﻣَﻦْ ﻗَﺒْﻠَﻜُﻢْ ﻣِﻦْ ﺃَﻫْﻞِ ﺍﻟْﻜِﺘَﺎﺏِ ﺍِﻓْﺘَﺮَﻗُﻮْﺍ ﻋَﻠَﻰ ﺛِﻨْﺘَﻴْﻦِ ﻭَﺳَﺒْﻌِﻴْﻦَ ﻣِﻠَّﺔً، ﻭَﺇِﻥَّ ﻫَﺬِﻩِ ﺍﻟْﻤِﻠَّﺔَ ﺳَﺘَﻔْﺘَﺮِﻕُ ﻋَﻠَﻰ ﺛَﻼَﺙٍ ﻭَﺳَﺒْﻌِﻴْﻦَ : ﺛﻨْﺘَﺎﻥِ ﻭَﺳَﺒْﻌُﻮْﻥَ ﻓِﻲْ ﺍﻟﻨَّﺎﺭِ ﻭَﻭَﺍﺣِﺪَﺓٌ ﻓِﻲْ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔِ ﻭَﻫِﻲَ ﺍﻟْﺠَﻤَﺎﻋَﺔُ .
Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga iaitu al-Jamaah. [1]
Sejak awal-awal lagi, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengkhabarkan kepada umatnya bahawa selepas kewafatan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam umat Islam akan berpecah kepada beberapa kumpulan. Ternyata apa yang diungkapkan oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi hadis di atas benar-benar berlaku ketika ini di mana umat Islam telah pun berpecah belah kepada pelbagai aliran, jamaah, parti, kumpulan atau golongan sebagaimana yang dapat kita saksikan bersama.
[Mengapakah umat Islam saling berpecah belah?]
Terdapat banyak faktor yang menjadi penyebab kepada tercetusnya perselisihan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Walau bagaimanapun, di antara sekian banyak faktor tersebut, terdapat dua faktor utama yang dilihat sebagai punca terbesar yang menyemarakkan api perpecahan dalam kalangan umat Islam. Dua faktor yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
[PERTAMA] : Mengubah suai ajaran agama (bid’ah).
Tidak syak lagi bahawa punca utama dan pertama yang mencetuskan perselisihan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam adalah disebabkan oleh faktor bid'ah di dalam agama. Bid'ah secara umumnya merujuk kepada tindakan mengubahsuai ajaran agama sama ada dengan cara menokok tambah sesuatu yang “baru” ke dalam urusan agama mahupun dengan cara yang sebaliknya, iaitu mengurangkan apa-apa yang telah disyariatkan oleh ajaran agama. Ini berlaku sama ada dalam bentuk amalan (ibadah khususiyyah) mahupun dalam bentuk keyakinan (iktikad).
Hal ini sebagaimana yang diisyaratkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menerusi salah sebuah hadisnya:
ﻓﺈﻧﻪ ﻣﻦ ﻳﻌﺶ ﻣﻨﻜﻢ ﺑﻌﺪﻱ ﻓﺴﻴﺮﻯ ﺍﺧﺘﻼﻓﺎ ﻛﺜﻴﺮﺍ ﻓﻌﻠﻴﻜﻢ ﺑﺴﻨﺘﻲ ﻭﺳﻨﺔ ﺍﻟﺨﻠﻔﺎﺀ ﺍﻟﺮﺍﺷﺪﻳﻦ ﺗﻤﺴﻜﻮﺍ ﺑﻬﺎ ﻭﻋﻀﻮﺍ ﻋﻠﻴﻬﺎ ﺑﺎﻟﻨﻮﺍﺟﺬ ﻭﺇﻳﺎﻛﻢ ﻭﻣﺤﺪﺛﺎﺕ ﺍﻷﻣﻮﺭ ﻓﺈﻥ ﻛﻞ ﻣﺤﺪﺛﺔ ﺑﺪﻋﺔ ﻭﻛﻞ ﺑﺪﻋﺔ ﺿﻼﻟﺔ.
Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepas (kewafatan) aku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa' Rasyidin Mahdiyin selepasku, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham (kamu) dan jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama ini) kerana ia adalah bid'ah sedangkan setiap bid'ah itu (adalah) sesat. [2]
Khutbah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini dilihat mengandungi mukjizat ilmiah yang besar kerana ia menggambarkan suasana perselisihan yang akan berlaku kepada umat Islam disebabkan oleh amalan bid'ah yang mereka lakukan selepas kewafatan baginda shalallahu ‘alaihi wasallam. Justeru, baginda shalallahu ‘alaihi wasallam dengan tegas mengingatkan kepada sesiapa yang hidup pada zaman perselisihan itu supaya menghadapinya dengan cara berpegang teguh kepada sunnah dan juga sunnah para khalifah yang menggantinya.
Selain daripada menggambarkan suasana perselisihan, khutbah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itu juga mengisyaratkan kepada bahaya pemikiran dan amalan bid'ah sebagai faktor yang menyebabkan berlakunya perselisihan tersebut.
Kenyataan di atas juga disokong oleh sebuah hadis di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan bahawa di antara punca berlakunya porak peranda dalam kalangan umat Islam adalah disebabkan oleh perbuatan bid’ah yang diada-adakan oleh mereka di dalam urusan agama. Perhatikan hadis di bawah ini:
ﻋﻦ ﺃﻧﺲ ﺭﺿﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ ﻗﺎﻝ : ﻗﺎﻝ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ : ﻣﻦ ﻏﺸﺚ ﺃﻣﺘﻲ ﻓﻌﻠﻴﻪ ﻟﻌﻨﺖ ﺍﻟﻠﻪ ﻭﺍﻟﻤﻼﺋﻜﺔ ﻭﺍﻟﻨﺎﺱ ﺃﺟﻤﻌﻴﻦ، ﻗﻴﻞ : ﻳﺎ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ، ﻭﻣﺎ ﺍﻟﻐﺶ؟ ﻗﺎﻝ : ﺃﻥ ﻳﺒﺘﺪﻉ ﻟﻬﻢ ﺑﺪﻋﺔ ﻓﻴﻌﻤﻞ ﺑﻬﺎ .
Daripada Anas radhiallahu’anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda: Barangsiapa yang memporak perandakan umatku, maka Allah akan murka kepadanya dan murkalah malaikat dan murkalah segenap manusia. Baginda ditanya (oleh para sahabat): Wahai Rasulullah, apakah yang dinamakan dengan memporak perandakan itu? Baginda menjawab: Bahawa ia berbuat bid’ah kepada mereka suatu bid’ah lalu dikerjakan.
(Hadis riwayat al-Daruquthni bersumberkan daripada Anas bin Malik radhiallahu’anh) [3]
KEDUA: Keengganan pihak yang saling berselisih untuk kembali kepada petunjuk al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih.
Ikhtilaf atau perselisihan pendapat adalah merupakan satu fenomena biasa dan lumrah berlaku ke atas umat manusia. Tidak terkecuali dalam menghadapi fenomena ini ialah umat Islam sendiri. Hakikatnya tiada siapa jua di dunia ini yang dapat mengelakkan diri daripada menghadapi fenomena tersebut. Ini adalah kerana perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan manusia adalah merupakan salah satu sunnatullah yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas para hamba-Nya. Hakikat ini telah pun dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana firman-Nya menerusi ayat berikut (maksudnya):
Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisih. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan kerana itulah Dia menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu. Sesungguhnya Aku memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia. [Surah al-Hud: 118-119]
Sungguh pun fenomena perselisihan pendapat ini adalah suatu perkara yang lumrah berlaku ke atas umat manusia (dalam konteks perbincangan ini ialah umat Islam), namun ia tidak harus dijadikan alasan oleh umat manusia – khususnya umat Islam – untuk pasrah kepada ketentuan tersebut, lalu membiarkan sahaja perselisihan dan perpecahan berlaku dalam kalangan mereka. Sikap seperti ini amat menjauhi perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menggesa mereka agar sentiasa bersatu padu sebagai satu jamaah.
Atas dasar inilah Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan mereka supaya segera kembali kepada petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah Rasul-Nya tatkala tercetusnya perselisihan antara mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut menjadi rujukan (maksudnya):
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (al-Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.
Amat dukacita kerana terdapat dalam kalangan sebahagian umat Islam yang apabila tercetus perselisihan antara mereka maka akan ada salah satu pihak daripadanya yang enggan untuk kembali kepada seruan ayat di atas. Mereka tidak sudi menjadikan al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih sebagai penamat perselisihan yang timbul di antara mereka.
Sebaliknya apa yang berlaku adalah, mereka lebih cenderung mengambil sesuatu selain daripada kedua-dua sumber wahyu tersebut sama ada berupa kebiasaan-kebiasaan (adat) masyarakat, ajaran mazhab mahupun pandangan tokoh tertentu yang jelas menyelisihi petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih. Inilah sebabnya mengapa perselisihan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sentiasa berlaku dan terus berpanjangan.
[Langkah penyelesaian kepada masalah perpecahan umat Islam]
Mengakhiri perbincangan kita yang serba ringkas ini, berikut akan penulis kemukakan tiga langkah penting sebagai kaedah rawatan bagi mengatasi penyakit perpecahan yang kian kronik melanda umat Islam ketika ini. Diharapkan dengan adanya komitmen kita semua dalam mengambil langkah-langkah tersebut akan dapat menjadikan kita semua, umat Islam, sebagai satu umat yang bersatu padu dan saling berkasih sayang antara satu sama lain. Adapun tiga langkah yang penulis maksudkan adalah seperti berikut:
[PERTAMA]: Berpegang teguh kepada tali (agama) Allah.
Hendaklah umat Islam seluruhnya berjamaah iaitu bersatu padu dengan berpegang teguh kepada tali (agama) Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini sebagaimana firman-Nya dalam surah ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud:
... Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai ...
Hendaklah kita fahami bersama bahawa yang dimaksudkan dengan tali Allah di dalam ayat ini adalah merujuk kepada ajaran Islam yang bersumberkan kepada petunjuk al-Quran al-Karim dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.
Perintah untuk berpegang kepada tali Allah di dalam ayat ini bukanlah bererti kita diperintahkan untuk berpegang kepada manhaj jamaah atau parti sekian-sekian, kebiasaan-kebiasaan masyarakat tertentu, mazhab-mazhab tertentu, ajaran syeikh-syeikh tertentu atau apa jua selain daripada ajaran yang dibawa oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih kerana semua itu tidak akan berupaya menyatupadukan umat Islam untuk menjadi satu jamaah sebagaimana yang dikehendaki dan diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu ‘Abdullah ibn Mas’ud radhiallahu’anh ketika menjelaskan maksud tali Allah dalam ayat di atas menyebut:
ﺇﻥ ﻫﺬﺍ ﺍﻟﺼﺮﺍﻁ ﻣﺤﺘﻀﺮ، ﺗﺤﻀﺮﻩ ﺍﻟﺸﻴﺎﻃﻴﻦ، ﻳﻨﺎﺩﻭﻥ : ﻳﺎ ﻋﺒﺪ ﺍﻟﻠﻪ ﻫﻠﻢ ! ﻫﺬﺍ ﺍﻟﺼﺮﺍﻁ، ﻟﻴﺼﺪﻭﺍ ﻋﻦ ﺳﺒﻴﻞ ﺍﻟﻠﻪ ! ﻓﺎﻋﺘﺼﻤﻮﺍ ﺑﺤﺒﻞ ﺍﻟﻠﻪ، ﻓﺈﻥ ﺣﺒﻞ ﺍﻟﻠﻪ ﻫﻮ ﻛﺘﺎﺏ ﺍﻟﻠﻪ .
Sesungguhnya jalan ini dihadiri oleh para syaitan, mereka berseru: Wahai hamba Allah, kemarilah! Ini adalah jalan (yang benar)”, mereka lakukan itu untuk menghalang-halangi manusia dari jalan Allah . Maka, berpegang teguhlah kamu dengan “tali Allah” (kerana) sesungguhnya (yang dimaksudkan dengan) “tali Allah” itu adalah (berpegang teguh kepada) Kitabullah (al-Qur’an al-Karim). [4]
Apa yang diterangkan oleh ‘Abdullah ibn Mas’ud radhiallahu’anh di atas adalah tidak bercanggah dengan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana dalam hadisnya berikut:
ﺗﺮﻛﺖ ﻓﻴﻜﻢ ﻣﺎ ﺇﻥ ﺗﻤﺴﻜﺘﻢ ﺑﻪ ﻟﻦ ﺗﻀﻠﻮﺍ ﺑﻌﺪﻱ ﺃﺑﺪﺍ : ﻛﺘﺎﺏ ﺍﻟﻠﻪ ﻭ ﺳﻨﺘﻲ .
Aku tinggalkan kamu dua perkara (yang) jika kamu berpegang teguh kepada keduanya (maka) kamu tidak akan tersesat selama-lamanya (iaitu) Kitabullah (al-Qur’an) dan Sunnahku. [5]
Oleh yang demikian, umat islam hendaklah sentiasa mengunggulkan kedua-dua petunjuk wahyu tersebut di atas segala sesuatu yang lain serta menolak apa-apa yang bercanggah dengannya baik berupa pandangan peribadi, kebiasaan-kebiasaan (adat) tertentu, ajaran tok guru mahupun pandangan mazhab-mazhab tertentu.
KEDUA: Saling bertoleransi.
Hendaklah umat Islam saling bertoleransi dalam menghadapi suasana perbezaan pandangan yang berlaku sesama mereka. Sekali lagi ditegaskan bahawa perbezaan pandangan adalah suatu yang lumrah ke atas umat manusia. Oleh itu, sekiranya wujud perselisihan pendapat, maka hendaklah perselisihan itu segera dikembalikan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih untuk dinilai manakah pandangan yang mendekati petunjuk kedua-dua sumber wahyu tersebut.
Sekiranya masing-masing pihak memiliki dalil yang kukuh maka hendaklah mereka saling berlapang dada antara satu dengan yang lain. Tidak dibolehkan saling menghukum dalam perkara yang wujud padanya perselisihan yang dibenarkan syarak (ikhtilaf muktabar).
Hanya dengan sikap saling bertoleransi ini sahaja umat Islam akan sentiasa berada dalam satu jamaah. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
ﻣَﺎﺿَﻞَّ ﻗَﻮْﻡٌ ﺑَﻌْﺪَ ﻫُﺪًﻯ ﻛَﺎﻧُﻮﺍ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﺃُﻭﺗُﻮﺍ ﺍﻟْﺠَﺪَﻝَ .
Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mendapat petunjuk kecuali kerana melakukan perdebatan.[6]
KETIGA: Bersedia untuk kembali kepada kebenaran.
Umat Islam seluruhnya hendaklah sentiasa bersiap sedia dan berlapang dada dalam menerima sesuatu kebenaran yang bersumberkan daripada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini sekalipun kebenaran tersebut adalah sesuatu yang bercanggah dengan apa yang menjadi prinsip atau pegangan mereka selama ini.
Pada masa yang sama juga hendaklah umat Islam dengan penuh rela hati bersegera meninggalkan apa jua pandangan atau kebiasaan sedia ada yang jelas bercanggah dengan kebenaran tersebut. Sesungguhnya, kedegilan dan keegoan untuk tunduk dan kembali kepada kebenaran setelah ia tertegak di hadapan mata adalah di antara faktor terpenting yang menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam terus berlaku tanpa berkesudahan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):
Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. [Surah Ali ‘Imran: 105]
Nota kaki:
[1] Hadis riwayat Ahmad, al-Darimi, al-Thabrani, Ibn Majah, al-Tirmidzi, Ibn Hibban, al-Hakim dan lain-lain. Hadis ini disahihkan oleh al-Tirmidzi, al-Hakim, al-Dzahabi dan al-Juzani dalam kitab al-Abathil, jld. 1, ms. 302, al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah, jld. 1, ms. 213, al-Syathibi dalam al-I’tisham, jld. 2, ms. 698 (tahqiq Salim al-Hilali), Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa, jld. 3, ms. 345, Ibn Hibban Shahih Ibn Hibban, jld. 8, ms. 48, Ibn Katsir dalam Tafsir Ibn Katsir, jld. 1, ms. 390, Ibn Hajar dalam Takhrij al-Kasysyaf, ms. 63, al-Hafiz al-‘Iraqi dalam al-Mughni ‘an Hamli al-Asfar (no. 3240), al-Bushairi dalam Mishbah az-Zujajah, jld. 4, ms. 180, Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Shahihah (no. 203) dan lain-lain yang sangat banyak jumlahnya.
[2] Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud (no. 4607). Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah ash-Shahihah, jld. 6, ms. 526 (no. 2735).
[3] Hadis riwayat al-Daruquthni bersumberkan daripada Anas bin Malik radhiallahu’anh.
[4] Diriwayatkan oleh Abu’Ubaid dalam Fadhaail al-Qur’an, ms. 75, al-Darimi, jld. 2, ms. 433, Ibn Nashr dalam as-Sunnah (no. 22), Ibn Dhurais dalam Fadhaail al-Qur’an, ms. 74, Ibn Jarir dalam Tafsirnya (no. 7566) (tahqiq Ahmad Syakir), al-Thabrani, jld. 9, ms. 9031, al-Ajurri dalam asy-Syarii’ah, ms. 16 dan Ibn Baththah dalam al-Ibaanah (no. 135) dan riwayat ini sahih. Lihat keterangan ini dalam, Sittu Durar min Ushuuli Ahlil Atsar karya ‘Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani; dalam edisi terjemahan di bawah judul 6 Pilar Utama Dakwah Salafiyyah oleh Mubarak B.M Bamuallim Lc (Pustaka Imam asy-Syafi’i, Jakarta, 2005), ms. 112. Rujukan ini selanjutnya akan diringkaskan kepada Sittu Durar min Ushuuli Ahlil Atsar sahaja.
[5] Hadis riwayat Imam Malik dalam al-Mawaththa’, jld. 2, ms. 899. Hadis ini dinilai hasan (baik) oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam al-Misykat (no. 186).
[6] Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmidzi dan lain-lain. Hadis ini adalah hasan (baik). Lihat Shahih al-Jami’ (no. 5633).
- Ghuraba Media
Monday, 8 February 2016
Punca Umat Islam Berpecah-Belah & Cara Atasinya
Location:
Kota Bharu, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment