Khutbah Jumaat yang berdosa
1. Pada hari ini 19/2/2016, khatib di sebuah masjid di Taiping telah membacakan khutbah Jumaat yang menghentam Wahabi dan menyebutkan bahawa ajaran tersebut sebagai terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berdosa mengikutinya serta akan masuk neraka.
2. Khatib juga memerli Mufti Perlis, DR. MAZA di dalam khutbah Jumaat dan bersikap ekstrim di dalam menghukum Wahabi sebagai terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Menurut khatib hanya ajaran Asyairah dan Maturidiyyah sahaja Ahli Sunnah Wal Jamaah.
3. Saya tidak pasti apakah itu teks khutbah rasmi di negeri Perak atau sekadar teks khutbah persendirian namun ianya mengandungi banyak kesalahan fakta, tohmahan dan tuduhan yang melampau.
Al-jawab ;
1. Saya bukan Wahabi.
Tetapi diriwayatkan daripada Abu Darda RA bahawa baginda salallahualaihiwassalam bersabda;
من رد عن عِرض أخيه، رد الله عن وجهه النار يوم القيامة
Barangsiapa yang mempertahankan kehormatan saudaranya maka Allah akan memelihara wajahnya daripada api neraka di hari kiamat.
[Riwayat Al-Tirmidhi]
Jadi wajib saya memperbetulkan apa yang salah.
2. Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan hanya milik Asya'irah atau Maturidiyyah tetapi milik semua orang yang mengikuti al-Quran dan al-sunnah dan mengikuti jalan para sahabat dan tabien serta kaum salaf.
-> Imam Abu Hasan al-Asya'ari lahir pada tahun 260 Hijrah dan wafat pada tahun 324 hijrah demikian Imam Abu Mansor Al-Maturidi yang wafat pada 333 hijrah.
Sedangkan ahli sunnah wal jamaah telah wujud lama sebelum mereka ini.
/ Imam Abu Hanifah (Nu'man bin Tsabit) ialah ahli sunnah, beliau lahir pada tahun 80 hijrah dan wafat pada tahun 150 hijrah.
/ Imam Malik bin Anas ialah ahli sunnah, beliau lahir pada tahun 93 hijrah dan wafat 179 Hijrah.
/ Imam al-Syafie lahir pada 150 hijrah dan wafat pada 204 hijrah.
/ Imam Ahmad bin Hanbal juga ahli sunnah, lahir pada 164 hijrah dan wafat 241 hijrah.
Kesemua Imam-imam yang empat di atas, bukan hanya Imam dalam feqah, mereka juga adalah Imam dalam aqidah. Imam Ahmad pernah mempertahankan aqidah ahli sunnah daripada golongan Muktazilah.
Imam al-Syafie mempunyai pegangan aqidah, Imam Malik juga begitu dan hal yang sama berlaku kepada Imam Abu Hanifah yang dapat dilihat dalam kitab Fiqh Al-Akbar.
3. Ajaran Wahabi yang disandarkan kepada Syeikh Muhammad Abd Wahab yang lahir pada tahun 1111 Hijrah dan wafat pada 1206 hijrah bukanlah fahaman sesat yang menyalahi Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sebaliknya mereka ialah pengikut kepada Imam Ibn Taimiyyah yang lahir pada 661 hijrah dan wafat pada tanggal 728 Hijrah. Dan Imam Ibn Taimiyyah pula adalah pengikut kepada mazhab Hambali atau aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah.
4. Perbezaan Wahabi dan Asya'irah hanya sekitar soal sifat-sifat Allah, cara beramal dengan Al-Quran dan al-sunnah, sekitar isu tawasul, isu takwil dan permasalahan yang tidak besar berbanding perbezaan ahli sunnah Wal Jamaah dengan Syiah, Khawarij, Muktazilah dan juga fahaman Qadariyyah atau lain-lain.
Perbezaan ini boleh diselesaikan melalui meja rundingan, tidak taasub dan berlapang dada serta sikap saling menghormati dan kesungguhan mencari kebenaran atau keinginan untuk mencari pendapat yang lebih rojih.
5. Sikap suka menyesatkan dan menuduh orang yang berbeza dengan kita secara melulu tanpa mahu berdebat, berbincang atau berunding kemudian menggunakan saluran khutbah dan mimbar untuk mencela dan menghentam orang lain adalah satu kesalahan besar dan perbuatan yang berdosa serta tidak bertanggungjawab.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa baginda Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda ;
لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling membelakangi. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara
[Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Al-Tirmidzi serta Abu Daud]
-Ust Emran Ahmad
Sunday, 21 February 2016
Wahabi terkeluar dari Ahli Sunnah Wal Jamaah, Khutbah Jumaat yang berdosa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment