Saturday, 26 March 2016

Bangga buat Maksiat

KENAPA BERBANGGA DENGAN MAKSIAT?

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Setiap orang daripada umat ku dimaafkan kecuali golongan yang melakukan maksiat secara terbuka. Sesungguhnya antara sifat tidak malu ialah apabila seseorang melakukan amal (maksiat) di waktu malam, kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan Allah telah menutupi (aib)nya, lalu dia berkata: Ya fulan, malam tadi aku telah melakukan itu dan ini. Dia telah tidur dalam keadaan Allah menutupi aibnya, dan pada waktu pagi dia membuka aib yang Allah telah tutup itu. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no: 6069]

Pengajaran:

- Hadis ini menunjukkan sifat keji seorang manusia yang melakukan maksiat secara terbuka, dan lebih teruk lagi orang yang dengan sengaja menceritakan maksiat yang pada asalnya tiada seorang pun tahu.

-Ulama yang mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa maksud ‘tidak dimaafkan’ dalam hadis ini ialah:

Manusia yang dengan sengaja menzahirkan maksiatnya, Allah tidak akan menutup keaibannya.
Manusia yang dengan sengaja menzahirkan maksiatnya, maka tidak dilarang daripada orang ramai mengumpat tentang dirinya.
Manusia yang dengan sengaja menzahirkan maksiatnya, maka dia tidak akan terlepas daripada hukuman hudud atau takzir oleh pemerintah.
Manusia yang dengan sengaja menzahirkan maksiatnya, maka dia akan termasuk orang yang mengajak manusia lain melakukan maksiat. Dia akan berdosa di atas setiap dosa orang yang termotivasi melakukan maksiat di atas perlakuannya itu.
- ‘Tidak dimaafkan’ dalam hadis ini bukan bermaksud tidak akan diampuni dosa. Ini kerana selagi mana seseorang bertaubat, Allah pasti akan mengampuni dosanya.

Firman Allah mengenai orang yang bertaubat:

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ ]الشورى:25[

Dial ah yang menerima taubat hamba-hambaNya, dan memaafkan kesalahan-kesalahan mereka, dan Dia mengetahui apa yang kalian lakukan. [Al-Syura : 25]

Bahkan jika seseorang itu tidak bertaubat, tetapi dia masih mentauhidkan Allah, dosa-dosanya masih bergantung kepada kehendak Allah, sama ada mahu diampuni atau dihukumi.

Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا ]النساء:48[

Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik kepadanya. Allah mengampuni apa-apa yang selain daripada itu untuk mereka yang Dia kehendaki. Sesiapa yang mensyirikkan Allah, sungguh dia telah melakukan dosa yang besar. [An-Nisa’ : 48]

Antara perkara yang sudah menjadi normal di zaman kini, ialah mengupload gambar-gambar tidak menutup aurat di laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram. Begitu juga dengan menceritakan maksiat-maksiat yang dilakukan tanpa segan silu. Akhirnya, disebabkan tiada sifat malu, sebahagian orang yang geram melihat fenomena ini, telah menyebarkan gambar-gambar tersebut sebagai ‘pengajaran’ kepada si pelaku.

Tulisan ini bukanlah untuk membela tindakan penyebaran gambar-gambar tersebut, bahkan, dalam melakukan dakwah, seboleh mungkin kita perlu menjauhi daripada mengaibkan manusia. Akan tetapi, tidakkah kita sedar, apabila gambar-gambar atau status-status maksiat kita tersebar, hakikatnya itu satu hukuman daripada Allah, yang telah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri janjikan. Ini kerana kita sendiri tanpa malu menzahirkan maksiat kita, maka, Nah! Sekarang rasakan perasaan malu bertimpa-timpa atas sifat tidak tahu malu tersebut.

Sumber: http://alkahfi.com.my/bangga-buat-maksiat/


No comments:

Post a Comment