Friday, 27 January 2023

Ada Apa Dengan Buku Setia Dengan Kebenaran

Ada Apa Dengan Buku Setia Dengan Kebenaran


RESENSI BUKU BERTULIS : SETIA DENGAN KEBENARAN, tulisan Hasrizal Abdul Jamil.


Nama Hasrizal Abdul Jamil telah beberapa kali terlintas di gegendang telinga saya dan pernah saya baca ulasan dari sahabat-sahabat tentang tulisan dan ketokohan beliau. Sebahagian sahabat saya yang juga merupakan asatizah, mencadangkan saya membaca buku baru beliau iaitu Seni Berfikir Yang Hilang. Terbaru, beliau mengeluarkan buku bertajuk Erti Beragama Yang Hilang, yang sememangnya dinantikan dan sudah ditempah ramai orang. Sehingga ke satu tahap, saya rasakan menulis resensi ini bukanlah untuk tujuan mempromosi karya-karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, tetapi lebih kepada menyedarkan kita sekali lagi bahawa masih terdapat penulis yang berkualiti dalam kalangan kita rakyat Malaysia dan kita masih mempunyai sosok tubuh seorang Ustaz yang sebenarnya mempunyai asas pengajian Islam dan pada masa yang sama, beliau menghormati disiplin ilmu sains sosial. Kerana belakangan ini, kita gusar melihat beberapa ikon Da’I, Pencetus Ummah dan Ustaz yang memberi imej buruk kepada agama Islam. Tidak kurang ada beberapa orang ustaz yang menolak ideologi asing dengan mudah dan dilihat tanpa penelitian dan ilmu yang mendalam melainkan hanya menolak segala jenis ‘-ism’ serta merangkum semua ‘-ism’ sebagai serangan pemikiran tanpa berhujah dengan kaedah yang tepat.


Di halaman 266, penulis mengetengahkan satu contoh kata-kata naqib usrah yang secara simplistik menolak Sekularisme dan mengaitkan dengan riddah, kata-kata selepas itu membuka perbincangan tentang kepentingan mendalami ideologi tertentu sebelum berteriak dan bertempik menolaknya.


“Idea-idea sebegini segera menyebabkan pelajar sains sosial dalam bidang sejarah dan sains politik rasa terganggu. Mereka segera merasakan bahawa kefahaman tentang sekularisme yang sedemikian rupa adalah terlalu dangkal dan tidak keterlaluan boleh dikatakan sebagai sampah!”


Jangan salah faham. Beliau tidaklah menolak pengajian Islam secara keseluruhan apabila beliau mengajak supaya sebelum mengkritik sekularisme, kita perlu mengkaji ideologi itu terlebih dahulu. Bahkan, penulis mempunyai latar belakang pengajian Islam yang mantap.


Merujuk kepada halaman 81 dan 82, penulis mendedahkan senarai 46 subjek yang beliau pelajari dalam pembelajaran Ijazah Sarjana Muda Syariah.


“Di samping 46 subjek yang disyaratkan untuk memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah, para pelajar juga dikehendaki menghafal enam juzuk daripada al-Quran bermula juzuk 25 hingga juzuk 30.”


Keseimbangan penulis dalam menitikberatkan kepentingan pembelajaran Pengajian Islam dan pada masa yang sama, mengkaji ideologi dan pengetahuan lain dalam Sains Sosial, adalah antara banyak hal yang mempesonakan saya secara peribadi.


Selain itu, penulis mengetengahkan nama tokoh yang saya tak pernah temui apatah lagi membaca karyanya iaitu Imam Birgivi dan Katip Celebi. Halaman 40 dan 41 adalah antara halaman yang menonjolkan kebijaksanaan Katip Celebi melalui soalan-soalannya yang melibatkan beberapa disiplin. Sudah tentu hal ini menarik minat saya untuk terus membaca buku penulis.


Dari satu sudut yang lain, penulis mengkritik dengan tegas ahli-ahli sufi sesat dengan membawakan kalam Imam Birgivi. Hal ini dapat dilihat pada halaman 50 dan 51. Hal yang dikritik itu dekat dengan jiwa saya secara peribadi kerana saya sedang cuba mengkaji dan mungkin saya pernah terserempak dengan orang yang terpalit dengan ajaran sufi sesat seperti yang disebut dalam buku ini.


Banyak kata-kata yang ditulis penulis dapat dipetik dan dijadikan pegangan dan panduan. Jika pengikut Book Surgeon perasan, ada beberapa poster kata-kata dari buku ini yang kami kumpulkan dan jadikan poster berlatarbelakang yang cantik lalu kami kongsikan di halaman media sosial kami.


Sungguhpun begitu, antara hal yang saya ingin tanyakan secara langsung kepada penulis adalah tentang pegangan beliau terhadap budaya sarcasm kerana setakat pengetahuan saya, terdapat satu video lama beliau yang beliau mengkritik sindiran dan cara cakap yang sarkastik, tetapi, dalam buku ini, di halaman 6 dan 7 dimuatkan satu kisah yang menyindir dan pada saya, sindiran itu amat tajam. Persoalannya, adakah sewaktu menulis buku ini, penulis setuju dengan sarcasm? Kisah ini ada saya letakkan di poster, sila rujuk.


Kritikan penulis kepada jemaah Islam, pada saya, wajar dibaca oleh anak muda yang baru atau telah lama mengikuti “Perjuangan” dengan jemaah Islam yang mengkader mereka di universiti atau di kawasan perumahan terpencil mereka. Kritikan itu relevan terutamanya dalam kisah penulis mengikuti mesyuarat yang memakan masa yang sangat lama dan ianya tidak produktif. Kisah ini dapat dibaca bermula halaman 243.


Seperti yang sudah saya nyatakan dalam hantaran ringkas tentang buku ini di halaman Facebook Book Surgeon, saya ulang sekali lagi bahawa jika saya membaca buku ini lebih awal, mungkin saya tidak akan membaca semua karya Benz Ali yang juga mengkritik hal yang lebih kurang sama dengan Hasrizal Abdul Jamil, tinggal lagi kritikan penulis buku Setia Dengan Kebenaran ini tidak memaki hamun, tidak memberi contoh dengan gambaran tingkah laku lucah dan tidak bermungkinkan itu dan ini dalam memberi kritikan.


Buku yang sangat sesuai untuk dibaca oleh pembaca yang kritis dan sukakan kelunakan dalam pembacaan serta pada masa yang sama, bersedia meraikan ilmu yang berlainan disiplin. Terima kasih kepada individu yang menghadiahkan buku ini kepada saya.


Talhah Wasabi.

Salah Seorang Book Surgeon.


#BookSurgeon

#AnalyzeScrutinizeCriticize

#CreatingCriticalReaders

#Azam2021


Kredit 

#BookSurgeon

#NotaIlmuPilihan 

#MalaysiaMembaca 


Join Channel Telegram 👇 

t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme

t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme

 

No comments:

Post a Comment