Friday, 20 January 2023

Jangan Ceritakan Kesilapan, Keburukan Dan Kelemahan Kita Kepada Orang Lain


Jangan ceritakan kesilapan, keburukan dan kelemahan kita kepada orang lain.
  

Kalau nak luahkan sebagai tanda penyesalan, luahkan sahaja kepada ALLAH.  DIA memang tahu dah.  Kerana DIA Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.  Memang patut kita menghina diri kepada ALLAH.  Sebab kita ini adalah hamba.  Setiap hamba ada tuannya.  Dan tuan kita ialah ALLAH.  ALLAH adalah tuan dan tuhan kita.  Dengan mengakui kesilapan, kelemahan dan keburukan kita kepada ALLAH akan membuatkan kita berasa makin hina kepadaNYA.  Lalu menjadilah kita hamba yang sedar diri yang kita ini mesti tunduk berserah diri kepada ALLAH.  Rahsia diri kita memang sudah diketahui ALLAH walau kita tak menceritakannya.  Akui dan minta ampunlah dengan ALLAH.  ALLAH itu Maha Pengampun, Maha Menerima Taubat, Maha Pengasih dan Maha Menutup rahsia kita.


Adapun jika kita ceritakan rahsia kesilapan kita, keburukan kita dan dosa-dosa lampau kita kepada manusia; itu adalah perbuatan yang merbahaya.  Walaupun kita rasakan dia seseorang yang baik dan dipercayai boleh menyimpan rahsia, elakkanlah.  Kerana manusia mempunyai banyak kelemahan.  Kalau dia bukan dengan sengaja dedah rahsia kita, dia mungkin tercerita secara tak sengaja kepada orang lain.  Kadang-kadang rahsia kita boleh dijadikan senjata atau hujah untuk menjatuhkan kita.  Buat apa cerita hal peribadi kelemahan, kesilapan dan dosa kita kepada orang lain?  Bukan sahaja sia-sia, bahkan boleh mengundang rasa tak hormat orang lain kepada kita dan malah merbahaya boleh menjejaskan maruah kita.


Dalam doa dan munajat kita, adukanlah segala kelemahan kita kepada ALLAH.  Hanya kita dengan ALLAH.  Rahsia kita hanya dengan ALLAH.  Sangat melegakan dan sangat seronok kerana kita mengadu kepada yang berhak diadu dan diminta pertolongan, iaitu ALLAH Tuhan Yang Memiliki Seluruh Alam.


Setiap kita ada dosa dan salah.  Mintalah ampun kepada ALLAH.  Bertaubatlah kepadaNYA.  Azamlah nak jadi manusia yang baik dan hamba yang taat kepadaNYA.


Jangan dosa-dosa lepas menyekat kita dari melangkah ke hadapan menjadi seseorang yang lebih baik.  Jangan dikenang dosa lama.  Jangan diceritakan kepada orang lain.  Minta ampun kepada ALLAH.  Taubat.  Dan jalan terus dengan bersemangat menuju redho, kasih sayang dan perhatian ALLAH.


Ingat!  Kita ada ALLAH!


KepadaNYA kita mengadu dan harap.


Kredit 

#ShahmuzirNordzahir

#NotaIlmuPilihan 

#MalaysiaMembaca 


Join Channel Telegram 👇 

t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme

t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme

No comments:

Post a Comment