Thursday, 14 January 2016

Biar letih di DUNIA asal selesa di AKHIRAT

BIAR LETIH DI DUNIA ASAL SELESA DI AKHIRAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Fatir [34:34-35]) pada 17 April 2015. Antara isunya adalah kegembiraan ahli syurga setelah bangkit di padang mahsyar.
Benar kata Rasulullah SAW:

ﺍﻟﺪُّﻧْﻴَﺎ ﺳِﺠْﻦُ ﺍﻟْﻤُﺆْﻣِﻦِ ﻭَﺟَﻨَّﺔُ ﺍﻟْﻜَﺎﻓِﺮِ

Ertinya: Dunia adalah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi si kafir (Sahih Muslim).”

Dalam penjara kebebasan banyak terhalang, begitulah perihalnya hidup orang beriman. Segala gerak mereka dikekang “sifat hamba” pada Tuhan Pencipta Alam. Lain halnya dengan orang tidak beriman, dunia ini syurga bagi mereka. Barang dihajat terus dilaksana tanpa fikir. Bagi mereka dosa pahala itu barang rapuh kerana tidak zahir di depan mata seperti harta atau takhta. Mata mereka “rabun akhirat” dan kerabunan ini kelak akan menjerumuskan mereka ke dalam lubang neraka.

Penjara dunia orang beriman pula akan bertukar menjadi syurga hakiki setelah mereka bangkit di akhirat kelak. Bangun sahaja dari kubur mereka membuka mata seraya mengucap syukur panjang:

ﻭَﻗَﺎﻟُﻮﺍ ﺍﻟْﺤَﻤْﺪُ ﻟِﻠَّﻪِ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺃَﺫْﻫَﺐَ ﻋَﻨَّﺎ ﺍﻟْﺤَﺰَﻥَ ﺇِﻥَّ ﺭَﺑَّﻨَﺎ ﻟَﻐَﻔُﻮﺭٌ ﺷَﻜُﻮﺭٌ ‏( 34 ‏) ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺃَﺣَﻠَّﻨَﺎ ﺩَﺍﺭَ ﺍﻟْﻤُﻘَﺎﻣَﺔِ ﻣِﻦْ ﻓَﻀْﻠِﻪِ ﻟَﺎ ﻳَﻤَﺴُّﻨَﺎ ﻓِﻴﻬَﺎ ﻧَﺼَﺐٌ ﻭَﻟَﺎ ﻳَﻤَﺴُّﻨَﺎ ﻓِﻴﻬَﺎ ﻟُﻐُﻮﺏٌ ‏( 35 )

Ertinya: Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: "SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH, YANG TELAH MENGHAPUSKAN PERASAAN DUKACITA DARI KAMI; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat); Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. KAMI TIDAK AKAN MERASA PENAT LELAH DI SITU, DAN KAMI JUGA DI SITU TIDAK AKAN MERASA LETIH LESU" (Fatir [35:34-35]).

Firman Allah pada lafaz “TUHAN YANG TELAH MENEMPATKAN KAMI DI TEMPAT TINGGAL YANG KEKAL, DENGAN LIMPAH KURNIANYA SEMATA-MATA” adalah dalil bahawa kemasukan manusia ke syurga berdasarkan Rahmat Allah dan bukan kerana banyaknya amalan. Pun begitu, amalan sangat penting bagi mengundang RAHMAT ALLAH. Jangan pula sedap hati berharap rahmat Allah jika malas beramal.
Kelegaan dan syukur mereka setelah bangkit di padang mahsyar kelak sangat menakjubkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

ﻟَﻴْﺲَ ﻋَﻠَﻰ ﺃَﻫْﻞِ ﻻ ﺇِﻟَﻪَ ﺇِﻻ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻭَﺣْﺸَﺔٌ ﻓِﻲ ﻗُﺒُﻮﺭِﻫِﻢْ ، ﻭَﻻ ﻣَﻨْﺸَﺮِﻫِﻢْ ، ﻭَﻛَﺄَﻧِّﻲ ﺃَﻧْﻈُﺮُ ﺇِﻟَﻰ ﺃَﻫْﻞِ ﻻ ﺇِﻟَﻪَ ﺇِﻻ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻭَﻫُﻢْ ﻳَﻨْﻔُﻀُﻮﻥَ ﺍﻟﺘُّﺮَﺍﺏَ ﻋَﻦْ ﺭُﺀُﻭﺳِﻬِﻢْ ، ﻭَﻳَﻘُﻮﻟُﻮﻥَ : ﺍﻟْﺤَﻤْﺪُ ﻟِﻠَّﻪِ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺃَﺫْﻫَﺐَ ﻋَﻨَّﺎ ﺍﻟْﺤَﺰَﻥَ

Ertinya: Tiada kepada ahli Tawhid kehilangan atau kerinduan dalam kubur mereka, tidak juga pada saat kebangkitan mereka. Seakan-akan aku melihat kepada ahli Tawhid sedang mereka menyapu tanah yang melekat pada kepala mereka (sejurus selepas bangun dari kubur). Mereka juga mengucapkan syukur dengan berkata: "SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH, YANG TELAH MENGHAPUSKAN PERASAAN DUKACITA DARI KAMI (Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani & Sya’b al-Iman Imam al-Bayhaqi).

Hidup dalam syurga bukan sahaja tiada letih atau lesu, bahkan tiada lapar, tiada bogel dan tiada panas sebagaimana peringatan Allah kepada Adam dan Hawwa’ selepas penciptaan mereka berdua:

ﺇِﻥَّ ﻟَﻚَ ﺃَﻟَّﺎ ﺗَﺠُﻮﻉَ ﻓِﻴﻬَﺎ ﻭَﻟَﺎ ﺗَﻌْﺮَﻯ ‏( 118 ‏) ﻭَﺃَﻧَّﻚَ ﻟَﺎ ﺗَﻈْﻤَﺄُ ﻓِﻴﻬَﺎ ﻭَﻟَﺎ ﺗَﻀْﺤَﻰ ‏( 119 )

Ertinya: "Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau “TIDAK AKAN LAPAR” dalam Syurga itu dan “TIDAK AKAN BERTELANJANG.”
"Dan sesungguhnya engkau juga “TIDAK AKAN DAHAGA” dalam Syurga itu, dan “TIDAK AKAN MERASA PANAS MATAHARI" (Taha [20:118-119]).

Ayuhlah kita semua bersusah, berletih dan berpanas dalam penjara dunia kerana menurut arahan Allah. Sebaik menginjak kaki ke akhirat, kita bakal bebas sebebas-bebasnya bak burung lepas terbang di udara. Itulah tanda manusia cerdik, bersusah dahulu barang seketika di dunia untuk mendapat kesenangan abadi di akhirat.


No comments:

Post a Comment