Dalam diskusi bid'ah hasanah pada 9 Januari 2016, Dr. Rozaimi ada membawakan kalam-kalam ulama mazhab Syafie yang membid'ahkan beberapa amalan.
Akan tetapi terdapat sedikit persoalan apabila ada yang menyatakan bahawa bid'ah yang dimaksudkan oleh ulama-ulama mazhab Syafie itu adalah bid'ah hasanah.
Di sini kami sertakan teks-teks kata-kata ulama tersebut, dan kami serahkan kepada pembaca untuk menilai, adakah yang dimaksudkan oleh ulama-ulama tersebut adalah bid'ah hasanah atau bid'ah yang tercela.
1- Berdiri ketika maulid.
Al-Imam Ibn Hajar Al-Haitami Al-Makki (974H) menyebutkan dalam Al-Fatawa Al-Hadithiyyah:
ﻣﻄﻠﺐ ﻓﻲ ﺃﻥ ﺍﻟﻘﻴﺎﻡ ﺃﺛﻨﺎﺀ ﻣﻮﻟﺪﻩ ﺍﻟﺸﺮﻳﻒ ﺑﺪﻋﺔ ﻻ ﻳﻨﺒﻐﻲ ﻓﻌﻠﻬﺎ
Bab Berdirinya Ketika Maulid Adalah Bid'ah Yang Tidak Patut Dilakukan
ﻭﻧﻈﻴﺮ ﺫﻟﻚ ﻓﻌﻞ ﻛﺜﻴﺮ ﻋﻨﺪ ﻣﻮﻟﺪﻩ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻭﻭﺿﻊ ﺃﻣﻪ ﻟﻪ ﻣﻦ ﺍﻟﻘﻴﺎﻡ ﻭﻫﻮ ﺃﻳﻀﺎ ﺑﺪﻋﺔ ﻟﻢ ﻳﺮﺩ ﻓﻴﻪ ﺷﻴﺊ ﻋﻠﻰ ﺃﻥ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﺇﻧﻤﺎ ﻳﻔﻌﻠﻮﻥ ﺫﻟﻚ ﺗﻌﻈﻴﻤﺎ ﻟﻪ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻓﺎﻟﻌﻮﺍﻡ ﻣﻌﺬﺭﻭﻥ ﻟﺬﻟﻚ ﺑﺨﻼﻑ ﺍﻟﺨﻮﺍﺹ ﻭﺍﻟﻠﻪ ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭﺗﻌﺎﻟﻰ ﺃﻋﻠﻢ ﺑﺎﻟﺼﻮﺍﺏ
Dan sama seperti itu adalah perbuatan berdirinya ramai manusia ketika mengingati maulid baginda SAW dan peristiwa baginda dilahirkan bondanya dan ini juga bid’ah yang tidak diriwayatkan sesuatu pun mengenainya. Namun, disebabkan orang ramai melakukannya sebagai menghormati baginda SAW, maka orang awam dimaafkan tetapi tidak bagi orang-orang tertentu (iaitu orang-orang yang berilmu). Dan Allah SWT jualah yang lebih tahu apa yang benar.
[Al-Fatawa al-Hadithiyyah (t.t); Beirut: Dar al-Ma’rifah; h. 80]
2- Kenduri arwah.
Di dalam Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Imam An-Nawawi menukilkan:
ﻗﺎﻝ ﺻﺎﺣﺐ ﺍﻟﺸﺎﻣﻞ ﻭﻏﻴﺮﻩ : ﻭﺃﻣﺎ ﺍﺻﻼﺡ ﺍﻫﻞ ﺍﻟﻤﻴﺖ ﻃﻌﺎﻣﺎ ﻭﺟﻤﻊ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﻋﻠﻴﻪ ﻓﻠﻢ ﻳﻨﻘﻞ ﻓﻴﻪ ﺷﺊ ﻭﻫﻮ ﺑﺪﻋﺔ ﻏﻴﺮ ﻣﺴﺘﺤﺒﺔ ﻫﺬﺍ ﻛﻼﻡ ﺻﺎﺣﺐ ﺍﻟﺸﺎﻣﻞ ﻭﻳﺴﺘﺪﻝ ﻟﻬﺬﺍ ﺑﺤﺪﻳﺚ ﺟﺮﻳﺮ ﺑﻦ ﻋﺒﺪ ﺍﻟﻠﻪ
Penulis kitab al-Syamil dan selainnya berkata: Perbuatan menyediakan jamuan makan oleh keluarga si mati dan mengumpulkan manusia padanya, maka tidak terdapat apa-apa (dalil) padanya. Ia merupakan bid’ah yang tidak disukai. Ini merupakan perkataan penulis Al-Syamil. Beliau berhujah dengan hadis Jarir bin ‘Abdullah (yang telah kita sebutkan di atas).
[Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, jilid 5, m/s 320 (Al-Syamilah)]
Di dalam Al-Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafie susunan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugho dan Shaikh Ali al-Syarbahi disebutkan dalam bab bid’ah jenazah:
ﺍﻧﺸﻐﺎﻝ ﺃﻫﻞ ﺍﻟﻤﻴﺖ ﺑﺼﻨﻊ ﺍﻟﻄﻌﺎﻡ ﻭﺟﻤﻊ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﻋﻠﻴﻪ، ﻛﻤﺎ ﻫﻮ ﺍﻟﻤﻌﺘﺎﺩ ﻓﻲ ﻫﺬﺍ ﺍﻟﻌﺼﺮ، ﺑﺪﻋﺔ ﺗﻨﺎﻗﺾ ﺍﻟﺴﻨﺔ ﻭﺗﺨﺎﻟﻔﻬﺎ ﻣﺨﺎﻟﻔﺔ ﺷﺪﻳﺪﺓ .
Sibuknya ahli keluarga si mati dengan menyediakan makanan dan mengumpulkan manusia padanya. Sebagaimana yang biasa berlaku di zaman kini. Ini merupakan bid’ah yang menyalahi sunnah yang sangat berat.
[Al-Fiqh Al-Manhaji, jilid 1, m/s 263 (Al-Syamilah)]
3- Solat Sunat Raghaib.
Al-Imam An-Nawawi berkata:
ﺍﻟﺼﻼﺓ ﺍﻟﻤﻌﺮﻭﻓﺔ ﺑﺼﻼﺓ ﺍﻟﺮﻏﺎﺋﺐ ، ﻭﻫﻲ ﺛﻨﺘﺎ ﻋﺸﺮﺓ ﺭﻛﻌﺔ ﺗﺼﻠﻰ ﺑﻴﻦ ﺍﻟﻤﻐﺮﺏ ﻭﺍﻟﻌﺸﺎﺀ ﻟﻴﻠﺔ ﺃﻭﻝ ﺟﻤﻌﺔ ﻓﻲ ﺭﺟﺐ ، ﻭﺻﻼﺓ ﻟﻴﻠﺔ ﻧﺼﻒ ﺷﻌﺒﺎﻥ ﻣﺎﺋﺔ ﺭﻛﻌﺔ ﻭﻫﺎﺗﺎﻥ ﺍﻟﺼﻼﺗﺎﻥ ﺑﺪﻋﺘﺎﻥ ﻭﻣﻨﻜﺮﺍﻥ ﻗﺒﻴﺤﺘﺎﻥ
Solat yang dikenali sebagai solat Raghaib. Ia merupakan solat sebanyak 12 rakaat yang didirikan di antara waktu Maghrib dan Isya' pada malam Jumaat yang pertama di bulan Rejab. Begitu juga solat malam Nisfu Sya'ban sebanyak 100 rakat. Kedua-dua solat ini adalah bid'ah munkar yang buruk. [Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, jilid 4, m/s 56 (Al-Syamilah)]
Kami serahkan kembali kepada pembaca, adakah ulama-ulama di atas menyatakan amalan tersebut bid'ah hasanah atau bid'ah yang tercela.
Wallahua'lam.
- Dr Rozaimi Ramle
No comments:
Post a Comment