SALAH FAHAM HADIS MEMBUNUH PEROMPAK YANG MENGANCAM NYAWA
------------------------------------------------------------
Berikutan kes semasa yang dihadapi oleh seorang saudara (semoga
beliau mendapat pembelaan sewajarnya) yang dicerobohi rumahnya oleh
perompak, tersebar banyak di media-media sosial suatu hadis sahih
riwayat Muslim yang berbunyi:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: "جاء
رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن جاء
رجل يريد أخذ مالي؟ قال: فلا تعطه مالك، قال: أرأيت إن قاتلني؟ قال: قاتله،
قال: أرأيت إن قتلني؟ قال: فأنت شهيد، قال: أرأيت إن قتلته؟ قال: هو في
النار" (رواه مسلم).
Hadis tersebut telah diterjemahkan seperti berikut:
Dari Abu Hurayrah RA berkata: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah
SAW lalu bertanya: Wahai Rasulallah, bagaimana pendapatmu jika ada
seorang lelaki mahu merampas harta bendaku? Baginda menjawab: Jangan
serahkan hartamu padanya! Lelaki tersebut bertanya lagi: Bagaimana jika
dia mahu MEMBUNUHKU? Baginda jawab: Bunuhlah dia! Lelaki tersebut
bertanya lagi: Bagaimana pendapatmu kalau dia berjaya membunuhku?
Baginda menjawab: Maka kamu syahid. Lelaki tersebut bertanya lagi:
Bagaimana jika aku yang membunuhnya? Baginda menjawab: Dia yang akan
dimasukkan ke dalam api neraka” (riwayat Muslim).
MASALAH PENTERJEMAHAN:
Perkataan “قاتل” pada jumlah: “أرأيت إن قاتلني؟ قال: قاتله” telah
diterjemahkan sebagai BUNUH, walhal yang lebih tepat ialah MEMERANGI.
IMPLIKASI KESILAPAN TERJEMAHAN:
Hadis tersebut disalah erti sebagai menggalakkan pembunuhan pada
mereka yang diancam nyawanya secara total. Maka skop maknanya telah
disempitkan kepada keharusan untuk terus membunuh bagi yang terasa
perompak tersebut mahu mengambil nyawanya, walhal maksud memerangi itu
lebih luas dan lebih tepat dengan bahasa arab.
ULASAN RINGKAS:
Perkataan “قاتل” (qaatala-dibaca panjang huruf qaf) “مقاتلة”
bermaksud: Memerangi/peperangan. “قتل” (qatala-dibaca pendek) pula
bermaksud: Bunuh.
Memerangi tidak semestinya melibatkan kehilangan
nyawa. Dalam peperangan ada yang terselamat dan ada yang terbunuh.
Konsep memerangi lebih luas ertinya, ada yang melibatkan kematian jika
perlu dan ada yang tidak. Misal peperangan yang tidak melibatkan
kematian: Memerangi rasuah yang tidak bererti membunuh pelaku rasuah.
Manakala pembunuhan pula lebih sempit dan spesifik mafhumnya iaitu yang
melibatkan kehilangan nyawa, justeru ia hanya dibolehkan dengan
syarat-syarat tertentu. Ini dari sudut makna lafaz "qaatala"
(memerangi).
Maka dari sudut fiqh hadis, katakan perompak
tersebut menyerang anda dengan parang misalnya dan anda mampu
menumpaskannya tanpa membunuhnya atau berhasil menakutkannya sehingga
perompak lari, perbuatan itu juga termasuk dalam konteks memerangi yang
tidak memerlukan pembunuhan.
Namun boleh jadi juga ketika
“memeranginya” dalam pergelutan, anda terbunuh perompak tersebut atau
anda pantas menetak lehernya terlebih dahulu tatkala perompak tersebut
mengacukan pistol ke kepala anak anda, maka itu juga sebahagian dari
makna hadis tersebut yang diterjemahkan pada jumlah akhir hadis, kerana
dalam proses penentangan boleh jadi berlaku kehilangan nyawa sama ada
pada pihak yang mempertahankan diri atau perompak. Oleh itu hadis
menyebut status kematian yang berlaku pada kedua-dua pihak.
Mafhum hadis tersebut ialah supaya kita melawan (memerangi) perompak
tersebut, mempertahankan nyawa diri, keluarga dan harta dengan pelbagai
wasilah yang termampu sama ada boleh menyebabkan pertumpahan darah
ataupun tidak, bukan terhad semata-semata untuk terus membunuhnya ketika
mempertahankan diri dan harta.
Wallahu a'lam...
Kamilin Jamilin - Seni Hadith
No comments:
Post a Comment