MAS, Tudung dan Arak
Malam ini jiwa saya agak tersentuh. Dalam
penerbangan MAS malam ini, seorang pramugari datang mengadu dan
menangis di hadapan saya mengenai nasibnya. Jiwanya menderita kerana
terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung. Dia
bekerja untuk menyara anak-anaknya. Ini bukan kali pertama saya
mendengar aduan seperti ini.
Saya sangat simpati dan tersentuh.
Lebih sedih lagi memikirkan MAS merupakan sebuah syarikat penerbangan
negara yang majoriti penduduknya muslim.
Sesetengah orang melayu
jika diberitahu ada syarikat tertentu halang wanita muslimah memakai
tudung ataupun memaksa mereka menghidangkan arak, tentu akan mengamuk
sakan. Segala dalil dan semangat akan dihamburkan. Malangnya kita lupa
bahawa syarikat penerbangan negara yang merupakan imej dan identiti
Malaysia itu sendiri tidak membenarkan pramugarinya memakai tudung dan
terpaksa menghidangkan arak.
Retorik-retorik politik berbaur
agama yang kita dengar di media dan bicara ahli-ahli siasat itu,
tidaklah setakat mana jika kita lihat kepada nasib pekerja-pekerja MAS
yang beragama Islam itu.
Saya dengan ini, mengajak rakyat
Malaysia memohon kepada pihak kerajaan agar wanita muslimah yang
bertugas sebagai stewardess MAS diberikan keizinan untuk memakai pakaian
yang memenuhi sifat pakaian seorang wanita muslimah. Juga pekerja
muslim dan muslimah tidak ditugaskan untuk menghilangkan arak. Terimalah
itu sebagai hak mengamalkan agama mereka iaitu Islam. Bahkan MAS tidak
wajar menghidangkan arak. Banyak penerbangan yang tidak menghidangkan
arak, mengapa perlu kita menghidangkannya?!!
Marilah kita
menyokong permohonan ini kepada sebuah kerajaan yang sering melaungkan
nama Islam dalam pelbagai slogannya. Mohon mencadangkan.
drmaza.com
No comments:
Post a Comment