5 Tips Untuk Menanam Sikap Suka Membaca
Saya kongsikan di sini 5 tips untuk menanam sikap suka membaca :
1- Cuba kenal dengan ulat buku, penjual buku, penulis buku
Bila kita ada kawan-kawan yang minat buku, satu kelebihan untuk mendengar celoteh mereka berbicara tentang buku-buku yang dibaca, boleh pinjam buku-buku daripada mereka. Buat-buat dengar pun tidak mengapa, lama-lama kena tempiasnya juga. Kenal dengan penjual buku memudahkan akses kita untuk mendapatkan buku-buku secara online mahupun bersemuka. Musim wabak sekarang, peranan penjual buku ataupun dropship sangatlah ditagih. Boleh jadi, dengan mengenal siapa itu penulis buku akan membuatkan hati kita terdetik membeli buku-buku penulisan mereka.
2- Cuba pergi ke perpustakaan.
Seandainya kita ingin berjimat-cermat, maka rajin-rajinkanlah diri untuk datang ke perpustakaan, buat kad keahlian dan pinjam mana-mana buku di sini. Kelebihan lain, suasana di perpustakaan sangatlah sesuai untuk lebih fokus dalam pembacaan.
3- Cuba pergi ke kedai buku
Kita berpeluang untuk memilih buku secara sendiri. Membaca isi-isi kandungan, sinopsis sebelum membeli buku tersebut. Ada orang yang lebih suka membeli buku secara fizikal berbanding online, maka ini adalah pilihan terbaik. Melihat susunan buku, menyentuh semua buku, menghidu bau buku malah berjumpa dengan para pencinta buku yang lain. Sekalipun pada waktu itu, anda tidak punya wang tetapi sebagai kepuasan ia memadai dengan hanya pergi ke kedai buku. Kinokuniya, Jejak Tarbiah, Imanshoppe atau mana-mana MPH antara kedai buku yang dicadangkan.
4- Cuba untuk memilih buku yang laris di pasaran
Buku yang laris di pasaran selalunya mendapat ulasan yang baik dari segi kandungan dan bahasanya. Tidak salah untuk kita cuba membacanya. Seandainya kita suka maka itu adalah hal yang positif untuk kita terus membaca, sekiranya tidak suka maka boleh dikritik atau paling mudah, tinggalkan sahaja dan baca buku lain pula. Antara buku yang menarik adalah karya-karya Pak Hamka, Sasterawan Negara (SN), Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Tere Liye, Andrea Hirata, The Patriot, dan semua buku Jejak Tarbiah.
5- Cuba membaca dengan kadar yang perlahan.
Ada dua maksud di sini, buat pemula dan tidak tergesa-gesa. Bagi individu yang baru mula membaca, maka bacalah dengan kadar yang perlahan. Sekalipun begitu, bagi yang sudah terbiasa dengan rutin pembacaan, tetap ada masanya tidak perlu tergesa-gesa dengan kuantiti bacaan. Tujuannya agar lebih memahami kandungan buku yang dibaca, seterusnya menjadi pembaca yang lebih kritis.
Bahkan, inputnya akan lebih difahami dengan cara mencatat, menulis isi-isi penting atau quotes yang menarik.
Semoga bermanfaat.
Kredit
#AdaApaDenganBuku
#NotaIlmuPilihan
#MalaysiaMembaca
Join Channel Telegram 👇
t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme
t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme
No comments:
Post a Comment