Saturday, 9 January 2021

Had Tidak Tahu


 HAD TIDAK TAHU

Kebolehcapaian pengetahuan kita ada had, tahap kejahilan pun mesti ada had.

Seperti mana kita tidak boleh mendakwa tahu semua perkara tentang satu-satu isu, kita juga tidak boleh mendakwa tidak tahu tentang asas-asas isu yang mana kita dipertangjawabkan keatasnya. 

Bila berhadapan seseorang yang berotoriti dalam sesuatu bidang sekalipun kita tidak sepatutnya kosongkan cawan sepenuhnya.

Ini antara sebab kita terjebak dalam ajaran-ajaran yang salah, kerana tidak tahu beza "Aku tak tahu" dengan "Aku tak tahu apa-apa", yang pertama itu baik jika digunakan ditempat yang betul, yang kedua pula sebenarnya adalah penghinaan keatas aqal kurniaan Allah s.w.t, bukan tawadhu'.

Bila mengaku tak tahu apa-apa dan diri pula sedia menyerah kepada apa sahaja yang dibawa oleh guru berotoriti tersebut maka apa yang dapat menyelamatkan diri dari menelan juga kesalahannya? Bagaimana jika kesalahan itu besar pula?

Ini berbalik kepada permasalahan epistemologi, bagaimana kita tahu bahawa kita tahu? Tiada jalan lain kecuali dengan berfikir. Namun bagaimana nak tahu cara berfikir kita itu betul? Mula dengan asas peranan aqal itu sendiri, yaitu kemampuan asasi mengenal pasti adanya percanggahan atau tidak, ini antara kemampuan asasi aqal manusia yang waras. 

Namun bagaimana pula jika yang berkata-kata itu menggunakan bahasa yang kabur bagi anda? 

Perlu tahu, apakah had kekaburan itu? Jika ia tidak berhad sehingga boleh melanggar ilmu asasi semua orang tentang isu tersebut maka tinggalkan, kerana cara kekaburan itu sebenarnya sengaja digunakan untuk membawa masuk sesuatu yang batil.

Namun jika ia kabur bagi anda kerana anda tidak mahir akan istilah-istilahnya maka jalannya adalah dengan bertanya hingga faham. Kebanyakan istilah yang rumit sebenarnya boleh dirungkai ke tahap bahasa awam jika guru dan murid itu ada kesabaran dan kejujuran.

Apa sahaja yang kabur dan zahirnya menyanggahi asas kefahaman tadi maka tinggalkanlah, ini jalan yang paling selamat.

Manusia suka untuk tahu, tapi ada jenis manusia pula yang seronok tenggelam dalam lautan ketidakpastian, kejahilan dan misteri, dianggapnya pula itu tawadhu', kenapa? Kerana jika tidak tahu tidak lah perlu berfikir dan memilih, cukup dengan terapung-apung mengikut arah arus.

ﻋﻦ ﺣﺬﻳﻔﺔ ﻗﺎﻝ: ﻗﺎﻝ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ: " ﻻ ﺗﻜﻮﻧﻮا ﺇﻣﻌﺔ، ﺗﻘﻮﻟﻮﻥ: ﺇﻥ ﺃﺣﺴﻦ اﻟﻨﺎﺱ ﺃﺣﺴﻨﺎ، ﻭﺇﻥ ﻇﻠﻤﻮا ﻇﻠﻤﻨﺎ، ﻭﻟﻜﻦ ﻭﻃﻨﻮا ﺃﻧﻔﺴﻜﻢ، ﺇﻥ ﺃﺣﺴﻦ اﻟﻨﺎﺱ ﺃﻥ ﺗﺤﺴﻨﻮا، ﻭﺇﻥ ﺃﺳﺎءﻭا ﻓﻼ ﺗﻈﻠﻤﻮا " رواه الترمذي

Dari Hudzaifah, Nabi bersabda: "Janganlah kamu menjadi pak turut dan berkata 'Kalau manusia baik, maka kita akan berbuat baik, kalau mereka berbuat zalim, maka kita berbuat zalim'. Sebaliknya pasakkan dirimu, jika mereka berbuat baik maka kamu balaslah dengan kebaikan. Jika mereka berbuat buruk, maka kamu jangan berbuat zalim" - Tirmidzi.

Kredit 

#UstazNoorDeros 

#NotaIlmuPilihan 

#MalaysiaMembaca 

Join Channel Telegram 👇 

t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme

t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme

No comments:

Post a Comment