Saturday 9 January 2021

Bangkit


Kita dapat apa yang kita mahu. Ia bermula dengan mengenal pasti apakah yang kita mahu dalam hidup ini. 

Semasa saya duduk dalam fasa kejatuhan dahulu, seperti orang lain, saya juga banyak habiskan masa menangis di bucu katil. 

Banyak merenung kembali masa-masa silam semasa di ambang kejayaan.

Banyak menyesali keputusan-keputusan salah yang diambil hingga menyebabkan terduduk kerugian. 

Banyak melihat orang sekeliling yang berjaya,  kaya-raya dan bertanya diri sendiri apa rahsia mereka? Kenapa takdir kita tidak secantik takdir mereka? Alangkah seronoknya jika berada di tempat mereka. Tiada masalah. Tiada tekanan hidup. Setiap malam tidur lena.

Memanglah saya tahu, setiap kejayaan diperolehi dengan usaha dan kerja keras. Namun masih ada rasa tersisa, sedih kerana bekerja keras pun, tetap alami kegagalan juga.

Satu pagi, saya terfikir, buat apa mahu menyesali perkara silam. Sesal bagaimanapun, tetap tidak boleh kembalikan masa tersebut. 

Yang ada hanya masa hadapan. Menunggu untuk dicorakkan. 

Maka saya letakkan redha atas apa yang berlaku. Melihat semua kerosakkan dan berdamai dengan diri. 

Apa yang berlaku, telah berlaku. 

Ambil pengajaran, dan jadikan pengalaman.

Tutup pintu masa lalu. 

Dan mulakan hari baru. 

Usah lagi memikir, merenung, menangismeratap hiba, apatah lagi asyik berulang ulang bercerita mengenai kekesalan yang tidak sudah sudah. 

Kita kena dapatkan apa yang kita mahu.

Maka ambil pen, tulis di kertas, impian apakah yang mahu capai. Kenapa mahu mencapai impian tersebut. Letakkan ruang masa mahu mencapainya. 

Kemudian mula susun cara dan bagaimana mahu mencapai impian itu. Di setiap persoalan, segera rujuk mereka yang pernah melakukannya. 

Selepas jelas, ambil tanggungjawab untuk melakukannya. Jika tidak ia hanyalah satu angan-angan mat jenin sahaja. 

Fokus kepada apa yang mahu di capai. Setiap kali datang krik krik dalam diri meragui bakat dan kebolehan, segera tarik nafas panjang. Pusatkan semula fokus mahu berjaya, dan hembus nafas keluar perlahan-lahan. 

Kata pada diri sendiri, Allah sentiasa ada di sisi untuk bantu kita.Doa dilorongkan ilham untuk melakukannya. 

Sentiasa ingatkan diri sendiri. Setiap perbuatan ada kesannya. Duduk termenung sahaja, kesannya hanya membuang masa. Asyik meragui diri sendiri, kesannya kita tenggelam kelemasan menjadi mangsa dalam dalam  pusaran energy negatif yang dicipta sendiri. 

Setiap perbuatan ada kesannya. Mahu capai apa pagi ini? Nah, bangun dan buat. Laksanakan segera apa yang telah dirancang semalam. Kesannya kita akan bekerja, dan dapat hasilkan apa yang kita mahu. 

Mahu sihat, jaga makan dan buat gerakan badan. Mahu rasa cantik, senyum sentiasa. Mahu kaya, usaha dan bekerja. 

Buatlah, kerana dengan buat baru kita dapat hasilnya. 

Usah di renung renung pintu yang telah tertutup. Kerana di hadapan masih banyak pintu menanti untuk dibuka.

Kita dapat apa yang kita mahu. 

Kita hanya perlu bangun, usaha tanpa henti, buat tanpa nanti. 

🖋

Mahanom Mohammad

Kredit 

#MahanomMohammad 

#NotaIlmuPilihan 

#MalaysiaMembaca 

Join Channel Telegram 👇 

t.me/NotaIlmuPilihanAdleazme

t.me/NotaIlmuBisnesPilihanAdleazme

No comments:

Post a Comment