Saturday, 30 April 2016

Besar Dosa Berbohong atas Nama Nabi

Besarnya dosa berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. ataupun Nabi-Nabi yang lain. Ini seperti menyandarkan sesuatu yang bukan hadis yang sabit kepada baginda. Mereka yang membantu menyebarkan hadis-hadis palsu termasuk dalam dosa besar ini.

Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang mutawatir:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Ini termasuk mereka pengeluar produk perubatan ataupun makanan tertentu yang mengaitkan nama Nabi s.a.w. Tujuan mereka melariskan jualan, sedangkan hakikat makanan Nabi s.a.w itu tidak seperti yang didakwa, ataupun rekaan semata seperti ‘kayu koka’, buah kismis dan seumpamanya.

Dosa menyebarkan hadis palsu ini terlalu besar dan pada hari ini melibatkan ramai pihak. Ini kerana kemudahan teknologi menyebabkan dengan mudah manusia menghantar ataupun menyebarkan maklumatkan yang diterima. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah:

Tidak halal meriwayatkan hadis palsu dalam apa perkara sekali pun, melainkan bersama keterangan tentang kepalsuannya. Ini sama ada berkaitan halal dan haram, atau fadail (kelebihan-kelebihan amalan), atau al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat) dan al-targhib (menggalakkan ibadah), atau kisah, atau sejarah atau selainnya. Sesiapa yang meriwayatkan tanpa keterangan bererti telah melakukan dosa yang besar dan termasuk dalam senarai pendusta. Ini berasaskan apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam mukadimah sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”. (Abu Syahbah, al- Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 321-322)

Guna Nama Tokoh Agama

Dosa pendustaan yang berikutnya yang besar ialah berdusta menggunakan nama sahabah, tabi’in, para ulama dan tokoh-tokoh umat yang dipercayai. Ini kerana pendustaan jenis ini mempunyai kesan yang berat terhadap masyarakat. Masyarakat akan mudah terikut apabila sesuatu perkataan ataupun perbuatan yang disandarkan kepada golongan ini. Contohnya dalam masyarakat kita menjelang bulan Ramadan ada yang mencari kesempatan mengumpulkan kekayaan dengan membuat ‘borang pahala’ yang kononnya sesiapa yang membelinya akan dapat mengirimkan pahala kepada si mati. Pahala dijadikan jualan dalam agama. Ini sama seperti amalan gereja yang ditentang oleh golongan pembaharuan seperti Martin Luther pengasas Protestan. Ia hanya kesempatan yang digunakan oleh golongan tertentu mengaut kekayaan atas nama agama. Malangnya, ada yang melakukan hal ini dalam masyarakat dan mendakwa kononnya ini amalan ataupun keizinan yang diberikan oleh al-Imam as-Syafie r.h. Sedangkan imam yang mulia itu hidup dalam penuh kewarakan dan kezuhudan. Sama sekali tidak memakan harta orang lain dengan menggunakan nama pahala Tuhan. Pendustaan seperti ini merupakan dosa yang besar.

- Dr Maza


No comments:

Post a Comment