SIAPA LEBIH UTAMA? SUAMI/ISTERI, IBU BAPA, ATAU MERTUA?
Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa kita, tidak kira kita sudah berkahwin atau masih bujang.
Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab kepada pasangan kita.
Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab kepada anak-anak kita.
Ramai akan mempersoalkan isu keutamaan; siapakah yang lebih utama?
1- Nafkah: Isteri, Anak-Anak VS Ibu Bapa.
Bagi seorang suami, apakah keutamaan dalam memberi nafkah? Adakah ibu bapa, atau kepada isteri dan anak-anaknya.
Secara umumnya, yang utama ialah isteri dan anak-anak. Sama ada isteri kaya atau tidak, suami wajib menafkahi isteri.
Untuk ibu bapa pula, hanya wajib menafkahi jika ibu bapa itu memerlukan.
Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا فَإِنْ فَضَلَ شَىْءٌ فَلأَهْلِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَىْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَىْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا
Mulakan dengan bersedekah (iaitu memberi nafkah) kepada diri kamu sendiri, seandainya ada lebihan, berikan kepada kaum keluarga kamu. Seandainya ada lebihan, berikan kepada kepada kaum kerabat kamu. Seandainya ada lebihan, maka begitu begini. [Sahih Muslim, Kitab az-Zakat, hadis no: 997]
Imam an-Nawawi menyebutkan dalam Raudhatut Thalibin:
فإذا اجتمع على الشخص الواحد محتاجون ممن تلزمه نفقتهم ، نظر ؛ إن وفى ماله أو كسبه بنفقتهم ، فعليه نفقة الجميع ، قريبهم وبعيدهم ، وإن لم يفضل عن كفاية نفسه إلا نفقة واحد ، قدم نفقة الزوجة على نفقة الأقارب
Apabila berkumpulnya ramai yang memerlukan nafkah daripada seseorang yang wajib memberi nafkah, maka ia bergantung kepada keadaan. Seandainya hartanya cukup menafkahi kesemua mereka, hendaklah dia memberi nafkah kepada kesemuanya, sama ada kerabat yang dekat atau pun jauh. Seandainya harta tidak cukup dan dia hanya mampu memberikan nafkah kepada satu orang sahaja, maka diutamakan memberi nafkah kepada isteri berbanding nafkah kepada kaum kerabat.
Jadi adakah seorang suami, boleh menjadikan alasan mengutamakan isteri dan anak-anak untuk tidak menafkahi ibu bapa dengan alasan TIDAK MAMPU? Benar, jika tidak mampu, maka dia tidak dibebankan. Tetapi periksalah maksud tidak mampu kita itu.
Benarkah tiada lebihan langsung daripada harta untuk dinafkahi ibu bapa yang tiada pendapatan? Sudahkah diperiksa perbelanjaan kehidupan selama ini, benarkah kita sedang memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, atau ada perbelanjaan yang tidak perlu?
Di sinilah perlu seorang suami memahami aspek keutamaan, dan pentingnya mempunyai isteri solehah yang tidak gila kepada kemewahan dunia, dan akan menegur apabila si suami mengabaikan ibu bapanya.
2- Siapa yang lebih utama ditaati oleh isteri: Suami atau ibu bapa?
Secara umumnya adalah suami. Akan tetapi batas ketaatan perlu difahami.
A- Wajib taat dalam perkara kebaikan.
B- Suami tiada hak memaksa isteri melakukan perkara yang bukan kewajipannya: Contoh memaksa isteri keluar bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Atau memaksa isteri untuk menjaga ibu bapa suami.
C- Tidak perlu taat dalam maksiat.
Selalu timbul isu Suami VS Ibu Bapa.
Sehingga ada yang berkata bahawa jika ibu bapa sakit, hatta ibu bapa meninggal dunia, jika suami tidak izinkan menjaga ibu bapa atau menziarahi ibu bapa, maka wajib ditaati.
Hal ini telah ditolak oleh Imam an-Nawawi, dan ulama-ulama mazhab Hanafi dan Maliki kerana ia bertentangan dengan arahan menyuruh berbuat baik kepada ibu bapa. Bahkan arahan suami itu adalah maksiat kerana tidak berbuat baik kepada ibu bapa adalah satu maksiat kepada Allah. Baca tulisan Ust. Firanda di sini --> https://www.firanda.com/index.php/konsultasi/keluarga/270-bila-suami-melarang-mengunjungi-kedua-orang-tua
Jika ada isteri yang mengabaikan ibu bapa atas alasan sibuk menjadi isteri, dia kena faham benarkah benar-benar sibuk? Bukanlah menjaga ibu bapa maksudnya perlu duduk dengan ibu bapa serumah. Semua itu bergantung kepada keadaan. Ibu bapa sihat, lain keadaannya. Ibu bapa sakit, lain keadaannya.
Jika ada suami yang menghalang isteri menjaga ibu bapanya, maka si suami kena tahu bahawa isteri ada tanggungjawab sebagai anak sebagaimana suami juga ada tanggungjawab sebagai anak.
Oleh kerana itu, sangat penting seorang wanita solehah mempunyai suami yang soleh. Suami yang soleh tidak akan memaksa isteri melakukan benda yang bukan kewajipannya, dan tidak akan menghalang isteri berbuat baik kepada ibu bapa.
Kesimpulan:
Apabila bercakap soal rumah tangga, kita perlu ada ehsan dan belas kasihan. Kita juga perlu ada ilmu.
Jangan hidup sekadar menuntut hak, tetapi hak orang lain kita abaikan. Sudahlah yang kita kata itu hak kita sebenarnya bukan hak kita.
#MMMR
- Ust Mohd Masri Mohd Ramli
Saturday, 9 April 2016
Siapa lebih Utama? Suami/Isteri, Ibu Bapa, atau Mertua?
Location:
Kota Bharu, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment