Eksploitasi agama demi habuan dunia
DUNIA ini diciptakan untuk manusia. Namun, adakah manusia diciptakan untuk dunia? Tidak! Sama sekali tidak! Manusia diciptakan untuk akhirat. Dunia ini sebagai medan ujian bagi menentukan keputusan dan kedudukan manusia di akhirat.
SEBAGAI PANDUAN
ALLAH SWT berfirman: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya..." (Surah Al-Mulk: 2)
Jelas dinyatakan dalam ayat ini, kehidupan dunia adalah ujian bagi melihat siapakah yang lebih baik amalannya. Bagi menjalani ujian ini dengan berjaya, maka diturunkan agama sebagai pedoman buat manusia. Manusia yang menjadikan Islam sebagai panduan, mereka akan mampu menempuh rintangan, dugaan dan ujian dunia ini.
Apabila disebut ujian, bukan sahaja berbentuk kesusahan dan penderitaan. Kesenangan, keseronokan dan kemewahan juga adalah ujian.
Bahkan ujian kesenangan lebih sukar berbanding ditimpa ujian kesusahan. Lebih sukar lagi, apabila hakikat kehidupan dunia kebanyakannya dilingkari oleh pelbagai bentuk keindahan dan kenikmatan yang menarik jiwa manusia untuk cenderung kepadanya.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda yang bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang ternak serta kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi ALLAH ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)." (Surah Ali Imran: 14)
Wanita, anak pinak, pangkat, harta, jawatan, kedudukan dan semua kesenangan dunia yang digambarkan dalam ayat ini boleh menjadikan manusia cenderung dan alpa untuk mendapatkannya. Kadang-kadang manusia sanggup melakukan apa sahaja bagi memilikinya walaupun sehingga menggadai dan mengeksploitasi agama.
Seseorang yang meletakkan habuan dunia mengatasi agama, maka syariat agama bukan lagi pengawal bagi dirinya. Misalnya, untuk mendapatkan harta benda dan wang ringgit, tidak kisah jika ia diperoleh dengan cara yang salah sekali pun. Rasuah, menyeleweng harta, mengkhianati amanah, merompak, mencuri dan menipu, ini semua adalah perbuatan yang dilarang agama.
HABUAN SEMENTARA
Namun, larangan agama ini seolah-olah tiada nilai bagi mereka yang matanya dikelabui harta dan wang ringgit. Pemimpin yang menyeleweng harta negara untuk kepentingan peribadi, pegawai kerajaan yang mengkhianati amanah demi mendapat wang lebih, peniaga yang menipu dalam jualan, pihak berkuasa dan keselamatan yang sanggup meminta dan menerima duit rasuah dan sesiapa sahaja yang memperoleh wang ringgit, harta dan jawatan dengan cara yang salah, mereka mungkin tidak mengisytiharkan secara terang mahu melawan larangan agama, tetapi perbuatan tersebut jelas menggambarkan mereka tergamak menggadaikan agama demi habuan dunia.
Habuan dunia yang diidam-idamkan itu disangka akan terus melekat pada diri mereka. Padahal ia hanyalah kesenangan sementara. Sampai waktunya, ia akan binasa.
Nama Islam dan nilai iman yang didakwa berada dalam diri, seakan-akan lenyap dan langsung tidak membekaskan ketakutan dalam diri. Demi mendapat kesenangan yang sementara, bentang agama yang sepatutnya mampu menjadi pendinding dan pengawal buat diri, digadai, diroboh dan dihancurkan.
Rasulullah SAW mengingatkan akan datang suatu masa yang nilai iman dalam diri manusia menjadi begitu murah dan senang ditukar ganti dengan amal kekufuran. Semua itu berlaku kerana manusia tamak akan keuntungan dunia, lalu prinsip agama menjadi mangsa gadaiannya.
Rasulullah SAW bersabda: "Bergegaslah kalian untuk beramal, (kerana akan datang) ujian ibarat potongan malam yang gelap. (Disebabkan ujian tersebut) di pagi hari seseorang dalam keadaan beriman dan petang harinya dalam keadaan kafir, di petang hari dalam keadaan beriman dan keesokan harinya dalam keadaan kafir. Dia menjual agamanya dengan sesuatu dari (gemerlapnya) dunia ini." (Riwayat Muslim dari sahabat Abu Hurairah RA)
Imam Nawawi menghuraikan hadis ini menyebut: "Hadis ini memberi galakan agar bersegera melakukan amal soleh sebelum ia tidak mampu untuk dilakukan disebabkan ujian yang menyibukkan dan semakin banyak serta bertimbun-timbun seperti kegelapan yang memenuhi waktu malam yang telah sedia gelap tanpa disinari cahaya bulan.
"Rasulullah SAW menyifatkan salah satu jenis daripada suasana fitnah dan ujian yang dahsyat tersebut iaitu seseorang boleh hidup sebagai orang beriman pada waktu petang dan boleh berubah menjadi kufur pada pagi keesokannya atau pun sebaliknya. Hal ini disebabkan betapa besarnya ujian yang berlaku, boleh membolak-balikkan manusia dalam tempoh satu hari." (Al-Minhaj, Syarh Sahih Muslim, Dar al-Ma’rifah, 1/314)
Suasana digambarkan Rasulullah SAW ini adalah ujian yang dahsyat. Ia boleh terkena kepada sesiapa sahaja. Bagaimana boleh berlaku? Jawapannya ada di akhir hadis tersebut apabila Rasulullah SAW menyebut "Dia menjual agamanya dengan sesuatu dari (gemerlapnya) dunia ini."
Menjual agama demi kepentingan dunia ini adalah penyakit yang perlu dirawat dan dicegah. Bahkan, penyakit ini lebih parah apabila 'orang agama' sendiri yang mengeksploitasi agama demi kepentingan peribadi.
'Orang agama' apabila mengeksploitasi agama untuk mendapat habuan dunia, maka kesucian agama akan tercemar dengan cara yang kelihatan suci. Ya, kelihatan suci kerana di saat pencemaran itu dilakukan ia dilindungi dengan jubah, serban, tasbih, janggut, beberapa patah kalam Tuhan dan sebaris dua kata-kata Nabi SAW. Semuanya di atas nama agama.
Misalnya, sebotol air mineral yang dijual orang biasa harganya mungkin hanya RM1. Tetapi, air yang sama apabila berada di tangan sebahagian 'orang agama', ia boleh dijual dengan harga RM10. Mengapa? Sebab ada unsur agama yang ditambah seperti dakwaan ia dibacakan 30 puluh juzuk al-Quran, didoakan ustaz pada malam Jumaat, dititiskan dengan zamzam yang telah dibawa bertawaf, direndam bersama rambut Nabi SAW, dicampur air sarang anai-anai yang memakan mushaf al-Quran, dicampur dengan titisan air kolah dari tujuh buah masjid, dititis dengan embun yang terjadi pada malam 27 Ramadan atau pelbagai lagi strategi lain yang boleh dilakukan.
Justeru, hari ini kita sendiri dapat lihat pelbagai produk dijual dengan menggunakan 'unsur' agama sebagai nilai komersial dalam menjalankan pemasaran. Sebahagian dakwaan itu bersandarkan kepada hadis palsu dan perkara yang karut marut.
MEMEWAHKAN 'ORANG AGAMA'
Namun, semua eksploitasi ini kelihatan 'harus' kerana kelihatan Islamik tambahan pula dilakukan oleh 'orang agama'. Itu belum dikira lagi sebahagian 'orang agama' yang mengeksploitasi agama semata-mata ingin mencari pengaruh dan ingin diangkat sebagai syeikh atau tok guru dalam kalangan pengikutnya. Lalu, anak murid dan pengikut diminta 'berkorban dan sumbangkan harta untuk agama' dengan memberi wang dan harta kepada tok gurunya.
Sebab itu, ada sesetengah aliran sufi dan tarekat, tok-tok guru hidup begitu mewah sedangkan para pengikut dipesan supaya jangan gundah jika hidup susah. Lalu dibacalah ayat-ayat berkaitan zuhud, syukur, reda, sabar dan teruskan 'infaq kepada agama' melalui tok guru mereka.
Senjata agama ini bukan sahaja senang digunakan oleh sebahagian orang agama, tetapi kadang-kadang ia juga dimanfaatkan orang politik demi meraih kepentingan peribadi atau mengaburi kejahatan yang dilakukan. Contohnya, jika ada tokoh politik terpalit dengan skandal penyelewengan harta, itu semua dapat dialihkan dengan sekali sekala memakai jubah dan kopiah, hadir ke majlis selawat dan ceramah, luluskan sedikit peruntukan untuk program dakwah, selesailah masalah!
Agama ini akan terus dipergunakan jika habuan dunia dan kepentingan peribadi menjadi keutamaan mengatasi kepentingan agama. Semoga 'jenayah' ini dapat dibendung. Doakan kita dikurniakan keikhlasan dalam mengamalkan cara hidup Islam, ditetapkan pendirian dan tidak hanyut di kala ombak ujian dunia semakin kuat bergelora.
USTAZ ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah Jurulatih Kanan di Akademi Magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana
Muda dan Sarjana, (al-Quran & Sunnah), UIAM
Friday, 15 April 2016
Eksploitasi agama demi habuan dunia
Location:
Kota Bharu, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment