Wednesday, 27 April 2016

Daripada Siapa Kamu Ambil Agama Kamu?

Daripada Siapa Kamu Mengambil Agama Kamu?

Credit to Dr Zaharuddin Abd Rahman

Beberapa displin menerima kandungan ceramah dan tulisan ilmuan itu adalah :-

1)      Semak latar belakang penceramah dan kenali bidang apakah kepakaran beliau. Imam Malik Bin Anas berkata :
إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون
Ertinya : " Sesungguhnya pengambilan ilmu ini adalah agama, maka telitilah dari mana kamu ambilinya (ilmu) agamamu "  ( Siyar A'lam An-Nubala, 5/343)

2) Dapatkan komen dari ilmuan lain yang tidak ‘memusuhi' penceramah yang anda ingin dengarinya.  Ia penting untuk mendapatkan gambaran akan siapakah ia dan sejauh manakah info yang disampaikannya boleh diterima pakai.

3) Mendengar dan membaca dengan faham penerangan sehingga habis dan tidak memotong separuh-separuh kerana ia mungkin sahaja akan menyebabkan perkataan penceramah difahami di luar konteksnya. Petikan-petikan di youtube biasanya kurang dari 10 minit, justeru kemungkinan ia di luar konteks adalah wujud dan pelru berhati-hati mengambilnya. Begitu juga petikan-petikan tulisan seseorang tokoh. Buatlah rujukan dan carilah sumber dan konteks penuh tulisan ilmuan yang berkenaan.

4) Jangan ambil serius sebarang cercaan yang dilontarkan oleh ilmuan kepada mana-mana tokoh dan individu lain. Kebanyakkannya dilontarkan secara tidak adil dan salah faham semata-mata.

5)  Mendengar satu ceramah dari mula sehingga habis dalam satu masa. Membaca satu tulisan juga hingga habis. Jika anda mendengar atau membaca sekerat dan sekerat, ia menjauhkan anda dari mendapat kefahaman bermanfaat dari ceramah dan tulisan tersebut.

6) Sebaiknya, dapatkan penceramah dan penulis yang mampu mengutarakan isi yang disertai dengan ayat dan hadis secara nasnya.  Ia adalah sebaik-baiknya kerana ia akan mendekatkan anda dengan sumber asas. Namun, mempunyai nas tidak semestinya intrepertasinya dan penggunaannya adalah betul dan tepat. Tidak dinafikan terdapat penceramah yang tidak membaca sebarang nas, tetapi semua kandungannya bertepatan dengan al-quran dan hadis. Kesimpulannya, kebijaksanaan anda dalam memilih adalah amat perlu dalam hal ini.

7) Setelah mendapat seusatu ilmu atau kesimpulan dari sesuatu ceramah penulisan, janganlah terlalu taksub atau ikut sehingga mengunci fikiran dan minda dari sebarang pandangan ilmuan lain yang berbeza.

8) Sampaikan ilmu yang diperolehi dengan amanah dan tidak mengubah suainya sesuka hati serta menisbahkannya kepada ilmuan asal. Ia dengan mudah boleh mengakibatkan salah faham dan kesan buruk kepada penceramah asal. Banyak terjadi, sesuatu dakwaan dinisbahkan kepadanya sedangkan ia adalah hasil ubahsuai pendengar atau anak muridnya.

#DrZaharuddinAbdRahman
Presiden MURSHID


No comments:

Post a Comment