Friday 8 April 2016

Hujah menghalalkan Pelaburan ASB

Di antara hujah menghalalkan pelaburan ASB ialah umat Islam perlu menguasai kepentingan strategik negara, pelaburan halal lebih banyak daripada pelaburan haram dan pelabur tiada kuasa menentukan tempat pelaburan. Pelabur pula wajib membersihkan dividen yang diperolehi daripada peratusan benda haram.

Hujah yang dikemukakan tidaklah begitu kuat dan ia lebih kepada mencari justifikasi membenarkan ASB. Akad pelaburan ASB sehingga kini masih samar dan diragui. Mekanisme 'jaminan modal' masih di awangan daripada konsep syariah. Hujah yang menghalalkan ASB ini sama seperti hujah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan ASB. Mereka melihat daripada aspek maslahah dan mengangkat maslahah sebagai penentu hukum yang utama.

Persoalannya ialah adakah ASB halal atau tidak? Kebanyakan pakar-pakar Syariah yang terlibat dalam industri kewangan mengatakan ASB ini tidak mematuhi garis panduan untuk disenaraikan sebagai pelaburan patuh syariah. Dengan kata lain, ASB adalah pelaburan tidak patuh syariah. Inilah adalah pandangan yang paling kuat berdasarkan hujah-hujah yang diberikan.

Pada masa kini kita mempunyai banyak pilihan dana pelaburan yang dilaburkan 100% ke dalam pelaburan patuh Syariah. Kita boleh melabur terus ke kaunter saham patuh syariah atau melabur melalui amanah saham syariah. Kesemua pelaburan patuh syariah ini dipantau oleh Penasihat Syariah dan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Bahkan sesetengah amanah saham patuh syariah ini memberikan pulangan yang lagi besar daripada ASB.

Pelbagai bentuk pelaburan patuh syariah ada di hadapan kita. Melaburlah dalam pelaburan yang membuatkan jiwa kita tenang agar kita membawa pulang rezeki yang diberkati dan diredhai Allah taala.

Senarai patuh shariah dikeluarkan dua kali setahun iaitu pada bulan Mei dan November. Boleh rujuk di website SC. English version.

-Abdel Rahmanov


No comments:

Post a Comment