Peringatan Buat Para Motivator Islamik, Penceramah,Pengkuliah-kuliah Agama,Pendakwah-Pendakwah
Pesanan Khas daripada Imam Ibnul Jauzi didalam kitabnya "Putarbelit Iblis"
- Berkata Imam Ibnu al-Jauzi : Motivator-motivator,penceramah-penceramah di zaman salaf, mereka terdiri dari golongan ulama' yang faqih,
diceritakan Abdullah bin Umar Radiyallahu anhu selalu menghadiri majlis Ubaid bin Umair (seorang penceramah), begitu juga Umar bin Abd Aziz selalu menghadiri majlis ceramah-ceramah ini.
Kami (Pengarang kitab ini) telah sebutkan kesilapan-kesilapan mereka didalam kitab "al-Qussas Wal Muzakkirin" dan disini akan menyebutkan secara keseluruhan:
- Para Qussas ini ada yang mereka-reka hadith yang bertujuan untuk memberi targhib (galakan beramal) dan tarhib ( ancaman azab) dan mereka telah tertipu dengan belitan iblis.Mereka menyangka bahawa tujuan utama mereka ialah untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah mereka ( pendengar) dari kejahatan, tetapi pada hakikatnya, mereka telah menokok tambah syariah sehingga menganggap bahawa didalam agama itu terdapat kekurangan lalu mereka menyempurnakannya sedangkan dalam masa yang sama mereka telah terlupa satu hadith Nabi yang Mutawatir :
"Sesiapa yang berdusta keatasku secara sengaja, maka dia telah disediakan untuknya satu tempat didalam neraka"
- Mereka berkeinginan untuk menggetarkan jiwa-jiwa dan menggoncangkan hati-hati pendengar, lantas mereka melalaikan para pendengar dengan mendendangkan syair-syair atau bait-bait lagu yang menjadikan para pendengar mereka tenggelam dalam lautan keasyikan.Hakikatnya mereka telah ditipu dengan permainan licik Iblis kerana mereka menyangka bahawa tujuan mereka ingin membawa audiens kearah mencintai Allah dan RasulNya dan kebanyakan para audiens mereka terdiri daripada orang awam yang mana didalam hati-hati mereka menyukai nafsu dan syahwat, maka mereka telah disesatkan oleh para Qussas dan juga tersesat.
- Ada kalangan mereka yang mempunyai kemampuan untuk berlakon menangis, mahupun berlakon khusyu' semata-mata bertujuan untuk menarik para audiens dan memukau mereka sehingga mereka (audiens) turut terpengaruh dengannya. Sesiapa dari kalangan mereka berbuat demikian dengan bertujuan berdusta, maka rugilah dia diakhirat, dan sesiapa dikalangan mereka memang benar- benar ( iaitu tidak berlakon) berbuat sedemikian , dia sama sekali tidak akan terselamat dari panahan riya' terhadap perbuatannya tersebut.
- Dikalangan mereka, ialah para qari yang melagu-lagukan bacaannya secara melampau-lampau yang disebut (لحن) . Lagu-lagu bacaan mereka pada ketika ini lebih menyerupai nyanyian.Tujuannya supaya para audiens tertarik dan menyentap jiwa pendengar, manakala si qari melagu-lagukan bacaan menjadi seumpama nyanyian, para qussas pula mendendangkan syair-syair sambil menepuk-nepuk tangan dan menggerak-gerakkan kedua kakinya umpama seorang yang tenggelam dalam kemabukan, dan mewajibkan para audiens mengikuti gerakan mereka disusuli dengan siulan, jeritan bercampur lelaki dan wanita sambil mengoyak-ngoyakkan baju akibat dirasuk emosi dan setelah itu mereka keluar lalu berkata: program-program seperti ini amat baik sekali.sedangkan yang sebenarnya ianya program yang tidak diharuskan.
- Dikalangan mereka seperti yang diatas tetapi yang versi ini lebih khusus untuk dendangan syair ratapan buat si mati serta mereka menyifatkan bahawa ianya lebih kepada bala buat mereka, dan mereka menyebut bahawa mereka dalam keterasingan, dan menjadikan tempat mereka umpama tempat berkabung sedangkan apa yang sepatutnya di perintah oleh Allah ialah menyuruh bersabar atas kehilangan yang tersayang dan bukan menjadikannya sebagai dukacita.
Antara mereka, ialah yang membicarakan tentang hakikat-hakikat zuhud, mencintai Allah Subhanahu Wataala dengan sebenar-benarnya.Lalu mereka diperdaya oleh Iblis yang berbisik: Engkau termasuk dari kalangan mereka itu ( para zuhhad, para ubbad) kerana engkau tidak sesekali mampu mencapai maqam mereka sehingga engkau mengenal apa yang engkau sifatkan dan engkau mengikuti jalannya ( jadilah seorang salik), sedangkan "suluk" itu bukan ilmu, dan yang ilmu itu ialah sebenarnya apa yang engkau bicarakan.
- Dikalangan mereka ialah orang-orang yang bercakap pada perkara yang hebat-hebat, perkara yang dalam-dalam serta mengiringi bukti tersebut dengan syair-syair yang mengasyikkan yang sebenarnya tidak ada kepentingan dalam syara' seperti menyelidiki kisah nabi Musa dengan gunung (yang hancur lebur -kisah ketika Musa ingin meminta izin melihat Allah), kisah Nabi Yusuf dengan Zulaikha dll dan tujuan utamanya ialah supaya di majlisnya terdapat banyak perdebatan walaupun disusuli dengan kata-kata yang merosakkan.Dalam masa yang sama memandang sepi dalam membicara tentang ilmu-ilmu syara seperti faraid, ataupun tegahan daripada membuat dosa, penggunaan riba dan yang sewaktu dengannya.
- Dikalangan mereka, ialah mereka yang termotivasi dengan berzuhud, memperbanyakkan ibadah malam, menyendiri di zawiyah-zawiyah ( tempat berkhalwat) dan tidak mempedulikan nasib keluarganya sedikitpun.
- Dikalangan mereka, yang berbicara tentang ar-Raja'( harapan kepada Allah) dan tamak ( galakan untuk beramal ) tanpa disebut tentang khauf ( kepentingan takut akan Allah) dan ancaman Allah (kepada pelaku maksiat) yang memudahkan orang awam untuk melakukan maksiat dan kejahatan.Dalam masa yang sama, hatinya cenderung kearah dunia dengan berkenderaan mewah dan memakai pakaian yang mahal-mahal.Maka perkataan yang diucapkannya bertentangan dengan perbuatan yang dilakukan olehnya.
(Dipetik dari Talbis Iblis oleh Ibnul Jauzi (136-138) cetakan Dar al-Minhaj
SEMOGA ALLAH MENYELAMATKAN KITA DARIPADA TIPU DAYA IBLIS INI.
- Ustaz Huzaifah Hadis
Saturday, 16 April 2016
Peringatan Ibnul Jauzi buat penceramah Agama
Location:
Ketereh, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment