Soalan: Dato’ Dr MAZA, telah timbul bantahan sesetengah pihak
terhadap bacaan kuat selain azan yang dilaungkan di masjid. Ia dikatakan
mengganggu mereka yang berdekatan. Isu ini membawa kemarahan sesetengah
umat Islam atas nama mempertahankan masjid. Apakah pandangan Dr MAZA
tentang hal ini? – Nasir, Penang.
Jawapan: Saya sememangnya
ingin mengulas sedikit tentang isu bacaan-bacaan –selain azan- yang
menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai ini. Bacaan
ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia
azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan
ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka
sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan
Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;
1. Apa yang
Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari
itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu
orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi
dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada
pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
2. Walaupun
bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh dipaksa
orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya
sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit
atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat
seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.
3.
Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain
azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka
bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka
bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu
mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari
lima minit.
4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang
orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah
lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
اعْتَكَفَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ،
فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ:
«أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ
بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda
mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu
Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat
langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya,
jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu
angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud
dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang
mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain
yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang
berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak
dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi
mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara
sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu
mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.
5. Ulama
besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas
hadis tadi dengan katanya: “Realiti hari ini menyaksikan apa yang
disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal
ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid).
Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka
mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang
pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan
mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam
masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya
para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah
solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu
dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim
panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara.
Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga
mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang
tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang
tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim.
Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.
6. Ulama silam
juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di
menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang
ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah
berkata:“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan
dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya
lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada
azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan
peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang
membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang
ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu
adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut:
Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Ini adalah larangan ulama pada zaman
yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana,
bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?
7. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang
dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam
masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu
arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang
dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya
menimbulkan salahfaham banyak pihak.
Sumber
No comments:
Post a Comment