Terdapat
beberapa sebab yang perlu umat Islam menjadikan manhaj generasi
al-Salaf al-Shalih sebagai manhaj yang perlu diikuti di dalam memahami
dan mempraktikkan ajaran agama Islam. Antara sebab yang utama adalah
seperti berikut:
PERTAMA
Perbezaan kefahaman dan tafsiran terhadap sumber hukum Islam iaitu
al-Qur’an dan al-Sunnah yang wujud di kalangan pelbagai aliran dalam
Islam hari ini menuntut agar umat Islam perlu mencari satu rujukan yang
‘standard’ yang bertindak sebagai garis pemisah antara tafsiran yang
benar dengan tafsiran yang salah terhadap kedua-dua sumber wahyu itu.
Maka dalam menghadapi suasana ini, manhaj generasi al-Salaf al-Shalih
dilihat sebagai satu ‘petanda ukur’ terbaik yang bertindak sebagai tirai
pemisah antara kefahaman yang haq dengan yang batil terhadap ajaran
al-Qur’an dan al-Sunnah. Perkara ini telah pun diisyaratkan oleh Allah
Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya menerusi banyak ayat al-Qur’an dan
al-Hadis, antaranya seperti berikut:
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:[1]
Maksudnya: Maka jika mereka beriman sebagaimana kamu beriman, maka
sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk. Dan jika mereka berpaling
(serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya
mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan
kamu). Oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah
akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka. Dan Dialah jua
Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Di dalam kitabnya
yang berjudul Tafsir al-Qayyim, hlmn. 14, Ibnu al-Qayyim rahimahullah
(751H) berkata ketika mentafsirkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala
sebagaimana yang tertera di atas:[2]
Pada ayat ini Allah
menjadikan iman para sahabat Nabi sebagai timbangan (pengukur) bagi
membezakan antara petunjuk dan kesesatan, antara kebenaran dan
kebatilan. Apabila Ahl al-Kitab beriman sebagaimana berimannya para
sahabat, maka sungguh mereka mendapat hidayah (petunjuk) yang mutlak dan
sempurna. Jika mereka (Ahl al-Kitab) berpaling (tidak beriman)
sebagaimana imannya para sahabat, maka mereka jatuh ke dalam perpecahan,
perselisihan dan kesesatan yang sangat jauh.
Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:[3]
فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا،
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ
الرَّاشِدِينَ.
Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yang hidup
selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu
berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’ al-Rasyidin
al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia
dengan geraham.
Menjelaskan maksud hadis ini, Syeikh al-Albani rahimahullah berkata:[4]
Dalam hadis ini terdapat dua sunnah, (iaitu yang pertama adalah) sunnah
Rasulullah dan (yang kedua adalah) sunnah para Khalifah pengganti
Rasulullah yang berada di atas petunjuk. Kita generasi terkemudian mesti
merujuk kepada kitab Allah, sunnah Rasulullah dan jalan orang beriman.
Kita tidak boleh bebas berleluasa memahami al-Qur’an dan al-Sunnah tanpa
merujuk kepada kefahaman (generasi) Salaf pendahulu kita….
Atas dasar itu, menjadi suatu hakikat yang tiada tempat (untuk kita)
lari darinya bahawa tidak cukup dengan hanya bersandar kepada al-Qur’an
dan al-Sunnah tanpa disertai metod (manhaj) Salaf yang menjelaskan
kedua-duanya dalam pemahaman ilmu dan amal serta dakwah dan jihad.
Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas hafizhahullah juga memiliki komentar yang amat baik mengenai hadis ini. Beliau berkata:[5]
Nabi mengkhabarkan akan terjadinya perpecahan dan perselisihan pada
umatnya, kemudian Rasulullah memberikan jalan keluar untuk selamat di
dunia dan akhirat, iaitu dengan mengikuti sunnahnya dan sunnah para
sahabat. Hal ini menunjukkan tentang wajibnya mengikuti sunnahnya (Nabi)
dan sunnah para sahabatnya.
Perhatikan pula firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Fatihah, ayat ke-7 seperti berikut:
Maksudnya: Tunjukilah kami ke jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka…
Penulis kitab Sittu Durar min Ushul Ahl al-Atsar, ‘Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani ketika menerangkan ayat di atas berkata:[6]
Ayat ini mencakupi pemahaman (generasi) Salaf terhadap jalan yang lurus
itu, padahal tiada seorang pun merasa ragu bahawa orang yang berpegang
teguh pada al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah, ia benar-benar berada di
atas petunjuk yang membawanya kepada jalan-jalan yang lurus.
Namun, manakala pemahaman manusia terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah
Rasulullah tidak memiliki kesamaan, ada yang benar dan ada pula yang
salah, maka untuk memahami keduanya, diperlukan pokok yang ketiga bagi
menghilangkan perbezaan tersebut, iaitu pemahaman Khalaf harus dikaitkan
dengan pemahaman Salaf.
KEDUA
Sesungguhnya kemuliaan
dan keutamaan generasi ini telah pun dipersaksikan dan diperakui sendiri
oleh nas-nas al-Qur’an dan al-Hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam yang sahih, antaranya ialah sebagaimana firman Allah Subhanahu
wa Ta’ala dalam surah at-Taubah, ayat 117:
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin
dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah
hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut
Nabi untuk berjuang), kemudian Allah menerima taubat mereka.
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka.
Kemudian dalam surah yang sama di atas, ayat 100, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Maksudnya: Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang mula-mula (masuk
Islam) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang
mengikuti (jejak langkah) mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka
dan mereka pula redha kepada-Nya. Dan Dia menyediakan untuk mereka
syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka kekal di
dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.
Imam
Malik rahimahullah berkata mengenai ayat di atas sebagaimana disebut di
dalam kitab I’lam al-Muwaqqi’in jilid 4, hlmn. 129:[7]
Sesungguhnya ayat ini mengandungi pujian terhadap para sahabat dan
sanjungan ke atas mereka. Mereka berhak menjadi contoh ikutan, diambil
kata-katanya dan layak menerima sanjungan bagi sesiapa yang mengikuti
keseluruhan mereka atau mengikuti setiap perbuatan mereka selagi mereka
tidak menyalahi nas.
Hakikat ini diperkukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:[8]
خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.
Maksudnya: Sebaik-baik umatku ialah kurunku (iaitu para sahabat)
kemudian kurun selepas mereka (tabi’in) kemudian kurun selepas mereka
(tabi’ut tabi’in).
Kemuliaan, keistimewaan dan keutamaan para
sahabat juga turut dirakamkan oleh ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu
melalui kata-katanya:[9]
إِنَّ اللهَ نَظَرَ إِلَى قُلُوْبِ
الْعِبَادِ، فَوَ جَدَ قَلْبَ مُحَمَّدٍ خَيْرَ قُلُوبِ الْعِبَادِ،
فَاصْطَفَاهُ لِنَفْسِهِ، فِاَبْتَعَثَهُ بِرِسَالَتِهِ، ثُمَّ نَظَرَ فِي
قُلُوْبِ الْعِبَادِ، بَعْدَ قَلْبِ مُحَمَّدٍ، فَوَجَدَ قُلُوْبَ
أَصْحَابِهِ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ، فَجَعَلَهُمْ وُزَرَاءَ
نَبِيِّهِ، يُقَاتِلُوْنَ عَلَى دِيْنِهِ، فَمَا رَأَى الْمُسْلِمُوْنَ
حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ حَسَنٌ، وَمَا رَأَوْا سَيِّئًا فَهُوَ عِنْدَ
اللهِ سَيِّءٌ.
Maksudnya: Sesungguhnya Allah melihat hati
hamba-hamba-Nya dan Allah mendapati hati Nabi Muhammad shallallahu
‘alaihi wasallam adalah sebaik-baik hati manusia, maka Allah memberikan
risalah kepadanya, kemudian Allah melihat dari seluruh hati
hamba-hamba-Nya setelah Nabi-Nya, maka didapati bahawa hati para sahabat
merupakan hati yang paling baik sesudahnya. Maka Allah jadikan mereka
sebagai pendamping Nabi-Nya yang mereka berperang untuk agama-Nya. Apa
yang dipandang kaum Muslimin (para sahabat) itu sebagai baik maka itu
baik pula di sisi Allah dan apa yang mereka pandang sebagai buruk, maka
di sisi Allah itu adalah buruk.
KETIGA
Termasuk dalam
perkara yang disepakati di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ialah
berpegang kepada manhaj generasi al-Salaf al-Shalih yang terdiri dari
kalangan para sahabat (iaitu golongan Muhajirin dan Ansar secara umum
dan Khulafa’ al-Rasyidin secara khusus), generasi tabi’in serta generasi
tabi’ut tabi’in. Oleh kerana itu, ketika menghuraikan pengertian
‘ash-Shirath al-Mustaqim’, al-Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah
rahimahullah menulis di dalam kitabnya, Madarijus Salikin jilid 1, hlmn.
72-73:[10]
Setiap orang yang lebih mengenal al-Haq (kebenaran)
dan paling banyak mengikutinya, mereka lebih utama memperoleh jalan
yang lurus itu. Dan tiada keraguan bahawasanya para sahabat Rasulullah
lebih utama dan lebih pantas untuk memiliki sifat ini daripada Syi’ah
Rafidhah. Oleh sebab itu, para Salaf menafsirkan “ash-Shirath
al-Mustaqim wa Ahluhu” (jalan yang lurus dan penempuhnya) adalah Abu
Bakar ash-Shidiq, ‘Umar al-Khaththab dan para sahabat Rasulullah.
Berkata al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:[11]
أُصُوْلُ السُنَّةِ عِنْدِنَا التَّمَسُّكُ بِمَا كَانَ عَلَيْهِ أَصْحَابُ رَسُولَ اللهِ وَالاِقْتِدَاءُبِهِمْ
Maksudnya: Asas-asas sunnah menurut pandangan kami (ialah) berpegang
teguh pada apa yang menjadi pijakan para sahabat Rasulullah dan
mengikuti jejak mereka.
KEEMPAT
Mengikuti manhaj
generasi al-Salaf al-Shalih, secara khususnya para sahabat adalah
termasuk dalam perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ini
sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nisa’, ayat 115 seperti berikut:
Maksudnya: Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah
terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula
mengikut jalan yang lain dari jalannya orang-orang mukmin, Kami akan
memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan
(pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka
jahanam. Dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Setelah membawakan keterangan Syeikh al-Islam mengenai tafsir ayat di
atas bahawa yang dimaksudkan dengan jalan orang-orang mukmin ialah
merujuk kepada golongan para sahabat, Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat
hafizhahullah mengulas di dalam kitabnya, Lau Kaana Khairan Lasabaquunaa
Ilaihi:[12]
Bahawa Allah telah menegaskan sesiapa yang
memusuhi Rasul dan mengikuti selain jalannya para sahabat sesudah nyata
baginya kebenaran, maka Allah akan menyesatkannya ke mana dia tersesat.
Kemudian Allah mengancamnya dengan (neraka) janaham seburuk-buruk tempat
kembali. Ayat yang mulia ini merupakan sebesar-besar ayat dan dalil
yang paling tegas dan terang, bahawa wajib bagi kita mengikuti
perjalanan para sahabat iaitu cara beragamanya para sahabat atau manhaj
mereka di dalam beragama secara ilmu, amal dan dakwah.
Serentak dengan itu, Syeikh al-Albani rahimahullah menjelaskan:[13]
Sesungguhnya Allah Maha Suci daripada perbuatan sia-sia, maka tidak
diragukan lagi bahawa penyebutan sabilil mukmin itu tentunya untuk suatu
hikmah dan manfaat yang besar ertinya. Disebut oleh-Nya untuk
menunjukkan kepada kita bahawa dalam mengikuti kitab Allah (al-Qur’an)
dan al-Sunnah Nabi-Nya, ada lagi satu kewajipan yang sangat penting
iaitu ia haruslah sesuai dengan apa yang difahami oleh generasi kaum
muslimin yang terawal, yang terdiri daripada para sahabat Rasulullah dan
kemudiaannya diikuti oleh generasi sesudah mereka. Allah berfirman
(maksudnya): Dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.
Sedangkan orang yang meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah di satu sisi dan
kefahaman salaf pada sisi yang lain bukanlah dia seorang yang benar dan
jujur sama sekali.
Dalam kenyataannya yang lain, beliau menjelaskan maksud surah al-Nisa’, ayat 115 di atas:[14]
Allah telah menyebutkan dalam ayat ini sebuah peringatan keras tentang
menyelisihi Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam dan menentang baginda.
Kemudian Allah menghubungkan hal ini dengan firman-Nya, dan mengikuti
jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin. Tidak diragukan lagi bahawa
orang-orang mukmin yang mana Allah mengingatkan kaum muslimin supaya
tidak menyelisihi jalan mereka, tidak diragukan lagi bahawa mereka
adalah orang-orang yang disebutkan dalam ayat yang telah lalu: Iaitu
orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka
dengan baik. Sesungguhnya Allah telah meredai mereka dan mereka pun
telah reda kepada-Nya.
Syeikh al-Albani rahimahullah juga menegaskan:[15]
Kita tidak mempunyai jalan untuk mencapai sunnah tersebut dan
mengetahuinya melainkan melalui jalan (manhaj) para sahabat Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana itu, maka tidak ada jalan lain agar
seorang muslim menjadi bahagian golongan yang selamat kecuali dengan
mengikuti al-Kitab dan al-Sunnah serta berasarkan pemahaman para
al-Salaf al-Shalih.
KELIMA
Berpegang teguh kepada
manhaj generasi al-Salaf al-Shalih juga termasuk dalam perkara yang
diwasiatkan oleh para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Perhatikan
wasiat-wasiat mereka di bawah ini:
Hudzaifah bin al-Yaman berkata:[16]
كل عبادة لم يتعبد بها أصحاب رسول الله فلا تتعبدوا بها، فإن الاول لم يدع
للآخر مقالا، فاتقوا الله يا معشرالقراء خذوا طريق من كان قبلكم.
Maksudnya: Setiap ibadah yang tidak pernah dilakukan oleh sahabat
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, janganlah kamu melakukannya.
Sebab, sesungguhnya generasi pertama itu tidak memberikan kesempatan
kepada generasi berikutnya untuk berpendapat (dalam masalah agama).
Bertaqwalah kepada Allah wahai para qurra’ dan ambillah jalan
orang-orang sebelum kamu.
Berkata ‘Abdullah bin Mas’ud:[17]
من كان مستنا فليستن بمن قد مات، أولئك أصحاب محمد كانوا خير هذه الأمة،
وأبرها قلوبا، و أعمقها علما، وأقلها تكلفا، قوم اختارهم الله لصحبة نبيه
ونقل دينه فتشبهوا بأخلاقهم وطرا ئقهم فهم كانو على الهدي المستقيم.
Maksudnya: Barangsiapa mengikuti jejak (seseorang) maka ikutilah jejak
orang-orang yang telah wafat. Mereka adalah para sahabat Muhammad.
Mereka adalah sebaik-baik umat ini, paling baik hatinya, paling dalam
ilmunya, dan paling sedikit berpura-pura. Mereka adalah satu kaum yang
dipilih Allah untuk menjadi sahabat Nabi-Nya dan menyebarkan agama-Nya.
Maka dari itu, berusahalah untuk meniru akhlak dan cara mereka kerana
mereka telah berjalan di atas petunjuk yang lurus.
Khalifah yang adil, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz berkata:[18]
قف حيث وقف القوم فإنهم عن علم وقفوا، وببصر نافذ كفوا، و هم على كشفها كانوا أقوى، وبالفضل لو كان فيها أحرى.
Maksudnya: Berhentilah kamu seperti berhentinya para sahabat (dalam
memahami nas). Sebab mereka berhenti berdasarkan ilmu dan dengan
penglihatan yang tajam mereka menahan (diri). Mereka lebih mampu untuk
menyingkapnya dan lebih patut dengan keutamaan seandainya hal tersebut
ada di dalamnya.
al-Imam al-Auza’i berkata:[19]
عليك بآثار من سلف و إن رفضك الناس، إياك وآراء الرجال و إن زخرفوها لك بالقول، فإن الأمر ينجلي و أنت على طريق مستقيم.
Maksudnya: Hendaklah engkau berpegang kepada atsar para pendahulu
(Salaf) meskipun orang-orang menolakmu. Selain itu, jauhkanlah dirimu
dari pendapat para tokoh (kemudian yang bertentangan dengan pegangan
para Salaf) meskipun dia menghiasi pendapatnya dengan perkataan yang
indah. Sesungguhnya hal itu akan jelas, sedang kamu berada di atas jalan
yang lurus.
Seterusnya, perhatikan pula ucapan al-Imam Malik bin Anas berikut:[20]
لَنْ يُصْلِحَ آخِرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ إِلاَّ مَا أَصْلَحَ أَوَّلَهَا.
Maksudnya: Tidak akan dapat memperbaiki generasi akhir dari umat ini
kecuali apa yang telah dapat memperbaiki generasi terdahulu.
Demikian beberapa sebab penting mengapa umat Islam perlu menjadikan
manhaj generasi al-Salaf al-Shalih sebagai manhaj yang ‘standard’ yang
perlu diikuti di dalam memahami dan mempraktikkan ajaran agama ini.
Nota kaki:
[1] Surah al-Baqarah, ayat 37.
[2] Lihat Al-Rasaa-il karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, jld. 1, ms. 38.
[3] Hadis riwayat Abu Daud, no. 4607, at-Tirmidzi, no. 2676 dan
lain-lain. Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh adz-Dzahabi.
Lihat komentar Syeikh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil, no. 2455.
[4] Lihat Majalah al-Asalah vo. 9, ms. 86-90; dalam 15 Jati Diri Muslim Cemerlang karya Dr. Azwira Abdul Aziz, ms. 124.
[5] Lihat Al-Rasaa-il karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, jld.1 ms. 47.
[6] Lihat Sittu Durar min Ushuli Ahl al-Atsar karya ‘Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani, ms. 129.
[7] Lihat Manhaj Salaf Akidah Salaf karya Ustaz Rasul bin Dahri, ms. 32.
[8] Hadis riwayat al-Bukhari, no. 3650.
[9] Atsar riwayat Ahmad 1/379, al-Hakim 3/78 dan ath-Thabrani, no. 8582. Disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir.
[10] Lihat Sittu Durar min Ushul Ahl al-Atsar karya ‘Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani, ms. 129.
[11] Riwayat al-Lalika’i dalam Syarh Ushul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, no. 317.
[12] Lihat Laukaana Khairan Lasabaquunaa Ilaihi karya Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, ms. 155.
[13] Lihat Majalah al-Asalah vo. 9, ms. 86-90; dalam 15 Jati Diri Muslim Cemerlang karya Dr. Azwira Abdul Aziz, ms. 123.
[14] Lihat at-Ta’liqatus Saniyyah, Syarh Ushulud Da’wah as-Salafiyyah karya Syeikh al-Albani, ms. 42-43.
[15] Lihat at-Ta’liqatus Saniyyah, Syarh Ushulud Da’wah as-Salafiyyah karya Syeikh al-Albani, ms. 48-49.
[16] Diriwayatkan oleh Ibnu Baththah dalam kitabnya, al-Ibanah.
[17] Dikeluarkan oleh al-Baghawi dalam kitab Syarhus Sunnah 1/214 dan
Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jami’ al-Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlihi 2/947, no.
1810, tahqiq Abul Asybal Samir al-Zuhairi.
[18] Disebutkan oleh Ibnu Qadamah dalam Lum’atul I’tiqad Hadi Ila Sabilir Rasyad.
[19] Dikeluarkan oleh al-Khatib dalam kitab Saraf ash-habul Hadith,
Imam al-Ajurri dalam asy-Syari’ah 1/445, no. 127. Disahihkan oleh Syeikh
al-Albani dalam Mukhtashar al-‘Uluw lil Imam adz-Dzahabi, ms. 138,
Siyar A’lam an-Nubala’ 7/120 dan Jami’ al-Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlihi
2/1071, no. 2077.
[20] Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Barr
dalam at-Tamhid 15/292, tahqiq Usamah bin Ibrahim dan Ibnu al-Qayyim
dalam Ighatsatul Lahfan min Mashayidhisy Syaithon 1/313, tahqiq Khalid
‘Abdul Lathif as-Sab’il ‘Alami.
Sumber
No comments:
Post a Comment