Saya
membayangkan bahawa saya tidak mungkin akan sampai ke Iran. Masakan
tidak, saya dinasihatkan oleh pihak berkuasa agar tidak ke sana. Amat
dibimbangi jika nama saya telah disenaraihitamkan oleh kerajaan Iran
memandangkan kelantangan menolak kehadiran Syiah di Malaysia.
Bagi
saya, tiada apa yang ditakutkan, saya bukannya mencampuri urusan
dalaman Iran, sebaliknya isu Syiah adalah urusan dalaman @ domestik
negara kita. Tidak sepatutnya negara luar seperti Iran, Iraq atau
mana-mana pihak lain campur tangan.
Sebagai
seorang yang pernah bertugas di Bahagian Penyelidikan JAKIM, saya bukan
hanya mengkaji Syiah, tetapi juga ajaran-ajaran dan aliran-aliran
pemikiran sesat yang lain. Cuma, Syiah adalah salah satu daripada lima
ajaran sesat tegar yang disenaraikan oleh pihak JAKIM. Tegar bermaksud
sesuatu ajaran yang telah pun difatwa, diwarta dan diambil tindakan,
namun ia masih wujud dan menyebarkan ajarannya.
Takdir
Allah SWT, saya sampai juga ke Iran. Bukan sebagai "penyelidik" tetapi
atas satu tugasan yang lain. Lebih mengujakan, kehadiran saya bersama
rombongan negara lain disambut meriah dan diberikan layanan agak
istimewa oleh kerajaan Iran. Syukurlah kerana saya “selamat” pergi dan
kembali.
Ke memorial Khomeini
![]() |
Di hadapan perumahan Khomeini |
Setelah
ditempatkan di dalam sebuah hotel yang agak mewah, saya sempat
melabuhkan badan di atas katil. Urusetia kerajaan Iran mengatakan, pada
hari pertama kami di sana tiada sebarang program diatur kecuali taklimat
program yang hanya akan diadakan pada sebelah malam. Bermakna, kami
yang mendarat sejurus masuknya waktu Subuh di Tehran mempunyai masa
rehat yang agak panjang sementara menunggu taklimat program pada sebelah
malamnya.
Namun,
semua itu sekadar janji manis urusetia kerajaan Iran, kira-kira jam
3.00 petang kami dikerah untuk turun ke lobi hotel. Sesampai di lobi,
bas-bas telah bersedia untuk bergerak. Semua delegasi dalam keadaan
terpinga-pinga. Program apakah ini? Ke manakah ingin dibawa? Mengapa
tidak termaktub di dalam jadual program? Sepanjang-panjang perjalanan
dalam bas, soalan ini bermain-main di dalam fikiran kami.
Apabila
sampai ke destinasi, tahulah kami bahawa rupa-rupanya kami akan dibawa
“mengadap” bekas kediaman pencetus dan pemimpin tertinggi Revolusi
“Islam” Iran iaitu Khomeini. Di sisi penganut Syiah Iran dan seluruh
dunia, ia digelarkan Ayatullah al-‘Uzma al-Imam Ruhullah Musavi
al-Khomeini. Maaf, oleh kerana saya bukan penganut Syiah dan membenci
ajaran Syiah kerana Allah, maka saya hanya menggelarkan makhluk itu
sebagai Khomeini.
![]() |
Dlm bilik Khomeini |
Memang
bagi orang yang hanya menggunakan kaedah, “Judge the book by its
cover”, akan mengatakan, “Wah! Hebatnya Khomeini! Seorang ketua negara,
tetapi hidup dengan begitu sederhana sekali!”. Malangnya saya bukan
jenis seperti itu. Bukan cara saya menilai seseorang hanya pada rupa
luarannya. Tetapi saya diajar, lihatlah pada pemikirannya. Kaji sedalam
mungkin!
Dan
Khomeini, sepanjang saya melawat kediamannya termasuk memorial yang
menempatkan segala kisah hidup, perjuangan dan legasi ilmu
peninggalannya, ia langsung tidak menjadikan saya tertarik. Mungkin
setelah membaca karya-karyanya khususnya apa yang menyentuh akidah Islam
dan para sahabat, ia menyebabkan saya benar-benar tawar hati dengan
manusia yang bernama Khomeini itu.
![]() |
Potret besar dlm Dewan Khomeini |
Cuma
agak menyedihkan, ada ulama sunni yang turut serta dalam delegasi
tersebut, apabila diminta menyatakan pandangannya tentang Khomeini,
nampaknya puji-pujian beliau terhadap Khomeini tidaklah kurang walau
sedikitpun daripada pendewaan yang telah diberikan oleh Mullah Syiah
yang menjadi pelayan tetamu di Dewan Khomeini. Saya terfikir, inilah
cara Syiah menyebarluaskan dakyahnya ke rantau sunni. Salah satu
daripadanya adalah mengujudkan rasa takjub dan kagum terhadap
keperibadian dan perjuangan Khomeini.
Kaya dengan qasidah & selawat
Aspek
paling menarik untuk dikongsikan adalah ketika majlis dot dot dot
dilangsungkan. Memang kemeriahannya tak dapat dinafikan. Saya masih
ingat guru saya mengatakan, kelebihan orang Parsi adalah pada tubuh dan
suaranya. Orang Parsi memang "dahsyat". Bukan sahaja rupawan, tetapi
suaranya amat mantap sekali. Saya fikir, Majlis Maulid atau Ya Hanana
yang sering menampilkan para habib dari Indon dan Yaman itu pun amat
jauh sekali untuk menandingi qasidah-qasidah selingan yang disampaikan
oleh mereka.
![]() |
Selawat Syiah ditemui dlm sebuah surau di Tehran |
Sebab
itu saya katakan, Syiah adalah firqah No. 1 dalam soal menampilkan
aksesori-aksesori atau hiasan-hiasan bersalut Islam. Pantang disebut
nama Rasulullah SAW, sudah pasti dewan akan bergema dengan selawat
mereka. Cuma setiap selawat pastinya akan disertai dengan doa agar
dipercepatkan kemunculan Imam Syiah ke-12 iaitu Muhammad bin Hasan
al-Askari dan para imam yang lain dengan ungkapan “Allahumma ‘ajjil
farajahum”.
Qasidah-qasidah
yang ditampilkan semuanya bertema mendewa-dewakan Ahlul Bayt @ ahli
keluarga Nabi SAW hingga ke peringkat memaksumkan mereka.
Kononnya “umat Islam dari seluruh dunia”
Paling
melucukan, apabila penganjur mengatakan program ini mewakili semua umat
Islam daripada seluruh negara di dunia. Namun, apabila disemak dengan
setiap delegasi, rupa-rupannya kebanyakan mereka itu adalah penuntut di
Mustafa International University, Qom. Bererti mereka semua adalah
penganut Syiah. Malah salah seorang peserta yang sempat disapa oleh
saya, apabila ditanya di manakah asalnya? Dia menjawab, “Arab Saudi”.
Dalam hati saya mengatakan, "Oh, salafi pun ada join program ni?"
Namun,
setelah ditanya dari daerah manakah di Arab Saudi, lantas dia menjawab
dari wilayah Qatif. Apabila mendengar Qatif, saya lalu bertanya adakah
anda penuntut di Mustafa International University, Qom. Dia mengiyakan
jawapan saya. Ini bermakna, peserta dari Arab Saudi ini juga penganut
Syiah, kerana Qatif adalah wilayah majoriti Syiah di Arab Saudi. Hal
yang sama juga bagi peserta-peserta dari Denmark, Bahrain, Iraq,
Amerika, Belgium, Sri Lanka, Afrika Tengah, Australia dll. Semuanya
Syiah! Jadi, apalah ertinya jika menjemput wakil umat Islam dari seluruh
dunia, sedangkan yang dijemput hanyalah rakan sesyiah mereka!
Perpustakaan Negara, Tehran
![]() |
Dlm perpustakaan Iran |
Antara
tempat yang sempat dikunjungi juga adalah Perpustakaan Negara Iran di
Tehran. Antara tempat yang dilawati ketika di perpustakaan adalah
naskhah al-Quran gergasi yang terdapat di ruang masuk. Kedua, bahagian
manuskrip yang menempatkan pelbagai kitab turath dan mashaf al-Quran
yang berusia ratusan tahun.
Ketiga,
bahagian majalah, yang menempatkan ribuan jilid majalah terutama yang
melaporkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan perjalanan
revolusi Iran dari dahulu hingga kini. Keempat, bahagian koleksi
pelbagai yang menempatkan gambar-gambar, dokumen tulisan tangan, album,
cakera padat dan lain-lain mengenai negara Iran dan kepimpinannya.
Sekali lagi, segala dokumen mengenai Revolusi Iran menjadi khazanah
paling bernilai dalam perpustakaan ini.
Makam Khomeini, Tehran
![]() |
Pintu masuk kubur Khomeini |
Selama
ini saya menyangka hanya 2 tempat sahaja di dalam dunia ini yang
disebut sebagai Haram iaitu Haram Makkah dan Haram Madinah, yang mana
kedua-duanya dikenali oleh umat Islam sebagai al-Haramayn. Kedua-dua
tempat ini dikenali sebagai haram kerana terdapat hadis Rasulullah SAW
yang merujuk kepadanya. Namun, apabila tiba sahaja di hadapan pintu
masuk ke Makam Khomeini. Saya benar-benar terkejut! Terdapat di pintu
masuk Makam Khomeini papan tanda yang menyebut Ila al-Haram al-Syarif
atau Entrance of Haram. Rupa-rupanya, perkataan haram di Iran digunakan
untuk merujuk kepada makam suci atau shrine dalam Bahasa Inggeris. Di
hadapan bangunan pintu masuk makam pula tertulis perkataan
Assalamualaika Ya Ruhallah (Salam sejahtera ke atasmu wahai Ruhullah).
![]() |
Kubur Khomeini ditabur dgn duit |
Di
dalam kawasan Makam Khomeini dilihat wang yang bertaburan dipercayai
diletakkan oleh para pengunjung berfahaman Syiah bagi tujuan nazar atau
memohon hajat. Para jemaah Syiah yang bersolat turut dilihat memberi
salam sambil menghadap ke arah makam sejurus selepas menunaikan solat
Zuhur.
Kawasan
di luar bangunan makam terdapat kawasan lapang yang amat luas dijadikan
seperti taman rekreasi bagi memudahkan pengunjung bersiar-siar atau
digunakan secara maksimum ketika ulang tahun hari kematian Khomeini
disambut.
Makam Fatimah al-Ma'sumah, Qom
Tempat
seterusnya yang saya kunjungi adalah kota suci yang juga pusat
pengajian ilmu Syiah di dunia iaitu Qom. Agak menggelikan hati apabila
pemandu warga Iran yang membawa kami bergurau dengan mengatakan
isterinya bimbang bila mengetahui dia akan membawa tetamu ke Qom.
Isterinya berpesan agar dia jangan sesekali melakukan nikah mut’ah di
sana! (Nikah mut’ah iaitu pernikahan dengan akad kontrak untuk tempoh
tertentu, tanpa perlu wali dan saksi) Rupa-rupanya nikah mut’ah sesuatu
yang dibenci oleh warga Iran yang liberal, tetapi ianya leluasa
diamalkan oleh para mullah Syiah di Qom. Mmmmm….
Antara
tempat yang kami lawati di Qom adalah Makam Fatimah al-Ma'sumah.
Fatimah al-Ma'sumah merupakan anak kepada Imam Syiah ketujuh Musa
al-Kazim dan adik kepada Imam Syiah kelapan Ali al-Ridha. Makam beliau
sentiasa dikelilingi para penganut Syiah yang menangis, meratap,
bertafakur, berdoa dan bernazar sambil melemparkan wang ke dalam
perkarangan makam. (Untuk makluman pembaca, para imam Alhul Bayt itu
sebenarnya tiada kena mengena dengan Syiah)
![]() |
Dlm Haram Fatimah al-Ma'sumah ini penuh dgn kuburan ulama Syiah terpilih |
Di
dalam kawasan makam juga terdapat banyak kubur para ulama Syiah
daripada dahulu hingga kini. Hanya kubur para ulama Syiah yang direstui
oleh Pemimpin Tertinggi Iran sahaja yang akan dibenarkan untuk
dikebumikan di dalam kawasan makam yang juga masjid Syiah ini.
Di
dalam kawasan makam ini juga terdapat sudut-sudut yang dijadikan hauzah
pengajian ajaran Syiah yang dihadiri oleh para penuntut daripada
pelbagai bangsa. Dipercayai mereka ini adalah golongan yang bakal
menjadi kader-kader Syiah (mullah) untuk meneruskan legasi ajaran Syiah
di Iran dan seluruh dunia.
Seorang
warga Indonesia yang belajar di Tehran memaklum bahawa bilangan pelajar
Syiah Indonesia di Qom mencecah ribuan orang. Ya Allah, moga engkau
selamatkan negara jiran kami, Indonesia daripada bahana kader-kader
Syiah ini!!
Makam Musa bin Muhammad al-Jawwad, Qom
Musa
bin Muhammad al-Jawwad adalah anak kepada Imam Syiah kesembilan.
Dipercayai di sini terdapat lebih kurang 40 kubur ahli keluarga Musa bin
Muhammad al-Jawwad yang dikatakan meninggal dunia akibat perbuatan
khianat musuh-musuh mereka.
![]() |
Lantai ini sebenarnya adalah perkuburan yg terletak di luar perkarangan Makam al-Jawwad |
Di
luar perkarangan makam ini, kelihatan banyak kubur para penganut Syiah
yang disamaratakan dengan lantai marmar sehingga menyebabkan para
pengunjung terpaksa berjalan di atasnya untuk masuk ke dalam
masjid. Bermakna, pijak kubur bagi Syiah adalah harus sedangkan
Rasulullah SAW bukan kata memijak, duduk di atas kubur pun dilarang oleh
Baginda.
Masjid Jamkaran, Qom
![]() |
Masjid Jamkaran |
Menurut
golongan Syiah, masjid ini dipercayai dibina bagi mempersiapkan
kedatangan Imam Mahdi Syiah iaitu Imam Syiah yang keduabelas. Menurut
mereka, seorang ulama Syiah bernama Syekh Hasan bin Mitslih Jamkarani
telah bermimpi mendapat arahan daripada Imam Mahdi supaya membina
masjid ini.
Setiap
pengunjung Syiah yang pergi ke masjid ini dikehendaki untuk mengerjakan
solat Imam Zaman sebanyak empat rakaat bagi memuliakan dan mensucikan
masjid tersebut serta Imam Mahdi yang dikatakan memberi perhatian
istimewa terhadap masjid tersebut.
Dipercayai
masjid yang memiliki perkarangan luas ini didanai oleh kerajaan Iran
berdasarkan dua potret besar yang tergantung di luar pintu utama masjid
iaitu Khomeini dan Khamanei.
Pengalaman beribadat di Iran
Antara
perkara yang sukar untuk dilupakan adalah suasana beribadat di Iran.
Apabila berada di Iran, saya merasakan ia jauh sekali berbeza ketika
berada di negara-negara Islam Sunni yang lain seperti Malaysia, Mesir,
Arab Saudi, Qatar, Jordan dan sebagainya. Ia boleh dirasakan menjelang
masuknya waktu solat. Saya merasakan amat sukar sekali untuk mendengar
bunyi azan di sekitar tempat menginap dan ketika dalam perjalanan ke
sesuatu tempat.
Ia
berbeza dengan suasana di negara-negara sunni yang amat mudah sekali
untuk kita bertemu dengan masjid. Apatah lagi ketika masuknya waktu
solat, kita akan mendengar bunyi azan bersahut-sahutan antara satu sama
lain. Tapi di Iran, suasana ini amat sukar untuk dirasai, lebih-lebih
lagi apabila kebanyakan masjid di Iran hanya beroperasi pada waktu
Zuhur, Maghrib dan Subuh. Kalaupun dibuka, ia mungkin disebabkan untuk
memberi ruang orang ramai menziarahi makam tertentu yang terdapat di
dalam masjid.
Kebanyakan
masjid pula dibina bukan untuk mendirikan solat jemaah dan Jumaat,
tetapi lebih kepada untuk mengagungkan makam yang terdapat di dalam
masjid tersebut. Sebab itu, ia lebih dikenali sebagai shrine (haram).
Malah ia lebih banyak berbanding masjid yang betul-betul hanya untuk
mendirikan solat.
Solat Jumaat hanya pilihan
Paling
mengejutkan (walaupun saya sendiri telah mengetahuinya menerusi
kajian), apabila pihak urusetia dengan selambanya membawa kami pergi
makan tengahari ketika waktu solat Jumaat. Mungkin ia tiada masalah bagi
kami yang sedang bermusafir, namun ia pelik bagi warga tempatan yang
bermuqim untuk tidak menunaikan solat Jumaat. Lebih mengejutkan, kaum
lelaki Iran seperti tidak menghiraukan hari tersebut adalah hari Jumaat
apabila mereka turut kelihatan memenuhi kawasan-kawasan membeli belah
seperti kaum wanita.
Saya
yang pada awalnya telah berkira-kira untuk menyaksikan sendiri
bagaimana solat Jumaat didirikan di Iran, merasa betul-betul kecewa
kerana walaupun telah termaktub dalam jadual "Friday prayer", namun
rupa-rupanya ia sekadar ditulis sahaja. Seorang student Indonesia yang
kami temui memaklumkan, bagi umat Islam Sunni yang bekerja di Iran,
mereka terpaksa solat Jumaat sama ada di Kedutaan Indonesia atau
Kedutaan Arab Saudi. Ini kerana tiada masjid sunni dibenarkan beroperasi
di Tehran.
Bagi
warga Iran pula, mereka diberi pilihan sama ada mahu mendirikan solat
Jumaat atau tidak. Istilah yang digunakan, solat Jumaat adalah "wajib
ikhtiyari" (wajib pilihan). Malah solat Jumaat hanya mula diadakan oleh
kerajaan Iran selepas Revolusi 1979. Namun begitu ia didirikan secara
terhad. Sebesar-besar Tehran, Jumaat hanya didirikan di Universiti
Tehran sahaja dengan imam yang dilantik oleh Pemimpin Tertinggi Iran
sekarang.
Kesimpulan
Bila
berada di Iran, rasa diri ini benar-benar bertuah kerana ditakdirkan
Allah SWT untuk tinggal di sebuah negara Sunni. Sungguh! Amat jauh
berbeza pegangan dan amalan hidup kaum Syiah itu. Bahkan jelas kelihatan
amalan Islam mereka itu jauh berbeza dengan apa yang terkandung dalam
hadis-hadis Rasulullah SAW dan majoriti umat Islam di dunia.
Azan dan solat berjemaah lima waktu penuh di masjid serta solat Jumaat di seluruh negara adalah SYIAR YANG HILANG di negara Iran.
Ia belum lagi membahaskan bagaimana cara solat jemaah itu didirikan
oleh mereka. Paling menghairankan, mereka mengajak kaum Sunni bertandang
ke negara mereka atas slogan demi penyatuan Sunni & Syiah, namun
ketika solat jemaah didirikan mereka sendiri akan menolak berimamkan
sunni sedangkan sunni mengerjakan solat musafir (jamak & qasar).
Saya tertanya, jika Syiah itu jujur, apa salahnya mereka yang bermuqim
mengikut imam yang bermusafir?
Sekadar perkongsian untuk kita fikir-fikirkan bersama.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment