Saya tahu, ramai yang telah menjadikan sumber pendapatan mereka
hasil dari pengurusan umat Islam yang menuju ke tanah suci Mekah, juga
Madinah. Tidak salah. Ia satu urusan peniagaan yang halal jika diuruskan
dengan betul. Namun, ada beberapa perkara yang perlu untuk saling
mengingati.
Ilmu
Antaranya; dalam keghairahan mempromosi
syarikat masing-masing, kadang-kadang tidak diberikan perhatian kepada
kefahaman dan pegangan jamaah umrah atau haji mereka. Ramai yang kali
pertama pergi umrah, kadang-kala masih tidak faham dalam banyak perkara.
Para penceramah umrah atau haji, perlulah membekalkan mereka dengan
maklumat yang sahih. Elakkan unsur khurafat, perkara-perkara yang
diada-adakan tanpa teladan dari sunnah Nabi s.a.w, ataupun amalan tanpa
berasaskan dalil.
Sebagai contoh, ada jemaah yang apabila masuk
ke dalam Masjid Haram tidak menunaikan solat tahiyyatul masjid atas
alasan Nabi s.a.w bersabda:“Tahiyyah BaitulLah (Kaabah) adalah tawaf”.
Jadi, apabila mereka tidak mampu untuk tawaf untuk setiap kali masuk
masjid, ada yang hanya terus duduk. Padahal, hadis yang dibaca itu tidak
sahih. Tiada sumber sanad yang boleh dipegang. Para ulama hadis
menghukumnya sebagai palsu, ataupun tiada sumber yang asal (lihat:
Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah).
Walaupun, sebahagian mereka
menyebut hadis tidak sahih tetapi maknanya sahih, namun andaian itu jika
dilihat kepada mereka yang masuk untuk melakukan rukun umrah atau haji,
maka apabila sampai ke BaitulLah, perkara yang pertama dilakukan
tentulah tawaf. Kemudian, dia bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim.
Adapun, mereka yang masuk ke dalam Masjidil Haram sahaja, maka hukumnya
sama dengan masjid lain seperti sabda Nabi s.a.w:
“Apabila
seseorang kamu memasuki masjid maka hendaklah dia menunaikan solat dua
rakaat sebelum dia duduk” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Itu
hanya satu contoh yang kecil. Di sana ada lagi dakwaan yang tidak
berasaskan hadis yang sahih seperti doa khusus ketika berada di bawah
pancur (al-Mizab) emas di Kaa’bah. Bahkan ada yang mendakwa jika hujan
mandi dari air yang keluar dari pancur emas itu mendapat banyak
kelebihan. Padahal tiada satu hadis yang sahih pun tentang itu semua.
Demikian doa khusus bagi setiap pusingan tawaf atau sa’i. Lebih
daripada itu, ada syarikat yang menjual alatan khas untuk dipakai oleh
jemaah haji dan umrah bagi mengingat mereka doa khas bagi setiap
pusingan.
Rasulullah s.a.w hanya menyuruh berdoa secara umum
tanpa ditentukan doa khas, kecuali pada beberapa tempat sahaja seperti
antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad.
Selain itu, seseorang
berdoa apa sahaja hajat yang diingini, tanpa terikat. Namun, oleh kerana
ada pihak yang ingin membuat keuntungan perniagaan, mereka menekan hal
ini agar buku dan alatan mereka dibeli oleh jemaah. Atau agar mutawwif
akan dapat upah untuk membawa jemaah mengelilingi Ka’abah bagi
melaungkan doa-doa khas yang jemaah belum sempat hafal maka terpaksa
mengikut mereka. Padahal, jika mereka bersendirian, lebih khusyuk dan
lebih dapat menghubungkan jiwa dengan Allah. Hajat setiap insan tidak
sama.
Itu belum lagi kita cerita tentang penceramah-penceramah
Indonesia yang diupah yang akan berceramah dalam bas-bas jemaah umrah
dan haji, yang sebahagian penceramah itu akan membawa pelbagai kisah
yang tiada asal yang sahih, atau ada kepentingan dengan perniagaan
khurafat mereka seperti kayu kokka dan seumpamanya.
Justeru,
para pembimbing umrah dan haji, tidak boleh hanya berfikir tentang
bisness mereka sahaja, tanpa memerhatikan kefahaman yang diberikan
kepada jemaah. Bahkan, sebahagian pembimbing itu perlulah merujuk kepada
sumber-sumber yang diyakini, bukan bahan-bahan yang tidak berwibawa.
Jika jemaah tersalah kerana mereka, mereka dibimbangi akan termasuk
dalam hadis Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang memulakan dalam Islam
sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti
dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka
(para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim).
Tipu
Antara perkara yang sering berlaku dalam pengurusan umrah dan haji ini
ialah penipuan. Janji lain, apabila sampai di sana lain. Jemaah membayar
wang atas janji yang diberikan. Ada yang janji tempat dekat dengan
masjid, sampai di sana jauh. Ada yang kata cantik tempat tinggal, sampai
di sana buruk. Ada yang kata penerbangan terus, tiba-tiba transit
berjam-jam, bahkan sehari dua. Ada yang janji sepuluh hari, tiba-tiba
jadi sembilan hari. Wang tidak dikembalikan, atau dibuat gantian lain
yang diredhai oleh jemaah. Untuk mengelak dari tuntutan, mereka akan
kata “kita kena sabar, ini ujian Allah”. Lebih buruk lagi: “Ini mungkin
menebus dosa-dosa kita dulu, maka Allah susahkan kita di sini”.
Menggunakan nama Allah Yang Suci untuk mengambil wang orang secara haram
di tanah suci adalah perbuatan yang maha keji. Lebih jelek lagi mereka
ini sebahagiannya bergelar ‘ustaz’. Menggunakan agama untuk
menjustifikasikan dosa penipuan atau mungkir janji mereka, amatlah
terkutuk. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda kepada para peniaga:
“Sesiapa yang menipu kita, dia bukan dalam kalangan kita” (Riwayat Muslim).
Itu ungkapan Nabi s.a.w kepada peniaga yang menipu dengan menampakkan
makanan yang elok dan menyembunyikan yang kurang elok. Bagaimanalah
kiranya jika baginda melihat peniagaan umrah yang mengiklan yang baik,
tetapi diberikan yang kurang baik apabila sampai ke tanah suci?. Betapa
ramai pengusaha umrah yang bercirikan nifaq atau ada sifat munafik,
kerana memenuhi apa Nabi s.a.w sabdakan:
“Ciri munafik itu tiga:
apabila bercakap dia bohong, bila diberikan amanah dia khianat dan
apabila berjanji dia mungkir” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kadang-kala urusan peniagaan seperti umrah ini boleh mengundang semua
perkara ini; bohong, khianat atas amanah wang yang diberikan dan mungkir
janji manis yang diucapkan.
Ada yang kata, mereka rela sebab itu
mereka pergi dengan kami. Duit dah bayar takkan hendak dikembalikan
semula. Saya katakan awas jika hal itu kerana mereka termakan janji dan
promosi yang diberikan. Jika wang diambil, sekalipun dari segi
undang-undang memang mereka tidak tuntut atau tidak mampu menuntut,
tetapi Nabi s.a.w menyebut perkara yang seperti ini dalam hadis baginda:
“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu
lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya
berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak
saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong
untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sumber
No comments:
Post a Comment