Sunday, 21 July 2019

Hargai Sekecil Nikmat Kerana Ia Akan Hilang

Sewaktu kelas dauratul hadith dulu, ketika MMAY mensyarahkan satu hadith di dalam kitab makanan ( كتاب الأطعمة ). Kata beliau : 

Dekat dunia ni walau sudah dapat yang paling nikmat sekalipun, pada akhirnya nikmat itu tetap akan hilang. Selagi kita hidup di dunia ni, nikmat itu tidak akan berkekalan. 

Contohnya : 

Kita pernah rasa lapar, kemudian kita teringin sangat mahu merasa makanan yang paling mahal seumpama ‘ lobster ‘ ( udang karang ), lalu ketika kita sedang menikmatinya, tiba-tiba perut sudah pun kenyang. Maka terhentilah kenikmatan kerana perut. 

Begitu juga kita sedang asyik membaca dan menelaah kitab. Seronok dengan penemuan-penemuan baru. Kemudian kita mula menyampaikan ilmu kepada masyarakat, nikmatnya terasa sekali bila mampu memberi. Tetapi nikmat itu tidak kekal lama, kerana ilmu itu masih terlalu luas untuk diteroka. Masih terlalu banyak persoalan yang timbul yang perlu dibahas. 

Sungguh ! Ketika kita sedang asyik dibuai kenikmatan. Maut datang tanpa diduga. Segala kenikmatan hanya tinggal nikmat. 

Kerana itulah, selagi kita hidup, nikmatilah hidup semahunya, agar hadir dalam fikiran kita, ‘ Jika di dunia sudah sesedap dan senikmat ini, lalu bagaimanakah pula kenikmatan di syurga yang Allah sediakan ‘. 

Hari itu, kalam MMAY begitu berbekas dalam sanubari ini. Moga Allah menjaga MMAY selalu. 

#ApaYangAdaIniSudahHarapanKita


-Amir Fathy

No comments:

Post a Comment