BILA sebut sahaja al-Masih Dajjal, ada yang terus tergelak kerana menganggap ia adalah cerita dongeng, mitos seperti cerita Ultraman dan Superman.
Ada yang percaya pada kemunculannya tetapi berkata, “memanglah dia akan muncul satu hari nanti, tetapi hari ini aku kena cari makan. Kalau dia muncul esok hari pun, aku tetap kena cari makan juga! Buat apa fikir sangat tentangnya. Lebih utama fikir tentang cari makan!”
Kedua-dua golongan di atas tidak peduli langsung tentang sifat-sifat al-Masih Dajjal. Ketidakpedulian ini sangat bertentangan dengan amaran Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad SAW pernah mengumpulkan jemaah Muslim dan memberi nasihat dan amaran tentang Dajjal. Semasa berkhutbah, suara Baginda SAW begitu mencemaskan kalangan sahabat sehingga mereka rasa seolah-olah Dajjal sedang bersembunyi dan mengintip di sebuah pokok luar masjid. Bila-bila sahaja dia akan serang.
Musuh menjadi lebih kuat dan bahaya bila rakyat tidak rasa penting untuk mengenalinya. Nama musuh tidak lagi disebut-sebut sehingga tiada yang cemas lagi tentangnya.
Musuh juga akan menjadi lebih kuat lagi bila ada yang memutarbelitkan fakta tentangnya. Tersebar kisah dan pelbagai gambar tentang bayi yang lahir dengan mempunyai satu mata sahaja di tengah-tengah mukanya.
Ada gambar pula yang melukis tiga mata di mana satu daripada mata ada di dahi, tengah-tengah antara dua mata.
Semua gambar ini sebenarnya mengelirukan kita lagi tentang sifat al-Masih Dajjal. Kalaulah dia muncul depan kita sekalipun, kita tidak akan mengenalinya kerana kita andaikan dia bermata satu!
Sebenarnya al-Masih Dajjal bermata dua seperti manusia normal. Tetapi satu mata sahaja yang boleh nampak. Satu lagi mata adalah buta. Maksudnya dia adalah 'buta satu mata', bukan mempunyai 'satu mata' sahaja!
Ada juga yang menganggap al-Masih Dajjal itu bukan seorang manusia. Dajjal adalah satu gerakan manusia jahat seperti illuminati. Takkanlah seorang individu boleh menguasai dunia?
Ada pula yang beranggapan bahawa Dajjal adalah sebuah ideologi yang hanya melihat dunia dengan mata sebelah, iaitu dengan satu mata yang bersifat keduniaan sahaja. Ideologi sekularisme ini sudah butakan mata yang melihat balasan akhirat.
Ada yang menganggap Dajjal adalah televisyen atau tab kerana semua ini bermata satu! Hanya mempunyai satu skrin!
Ada pula yang menganggap Dajjal adalah makhluk asing, badan raksasa. Satu kaki kirinya memijak benua timur dan kaki kanannya memijak benua barat.
Semua di atas adalah tidak benar. Dajjal bukan ideologi, atau televisyen atau tab atau raksasa. Al-Masih Dajjal sebenarnya adalah manusia biasa yang diberi kuasa luar biasa bila sampai masanya. Menurut Hadis Sahih Muslim, Dajjal menyerupai Ibnu Qahtan di mana beliau adalah insan biasa yang hidup di zaman jahiliah
Sebenarnya, Dajjal adalah seorang individu yang mempunyai IQ putar belit yang tinggi sehingga dunia disihirnya. Tidak mustahil seorang insan menakluki dunia bila dia cukup bijak mengawal minda manusia.
Adakah Dajjal sudah wujud? Tamim Ad-Dari, sahabat Nabi Muhammad SAW sudah pun bersemuka dengannya di sebuah pulau. Tamim berkata bahawa Dajjal adalah seorang pemuda berbadan tegap tetapi dalam keadaan terikat. Nabi Muhammad SAW sudah mengiyakan kenyataan Tamim tentang Dajjal.
Seorang kawan saya masih rasa ragu dan berhujah, “Tidak mungkin kerana kalau Tamim benar-benar jumpa Dajjal, tak mungkin Dajjal sebagai manusia biasa masih hidup lagi sekarang setelah lebih seribu empat ratus tahun! Dia mesti anak Lucifer, anak Raja Jin!”
Masalah umat kita ialah kita inginkan mitos sensasi. Susah terima kalau diberitahu bahawa Dajjal hanyalah manusia biasa. Nabi Isa AS pun hidup beribu tahun kerana baginda akan kembali ke dunia juga untuk berlawan Dajjal.
Kuasa Tuhan boleh buat apa saja. Mengapa susah nak terima Dajjal sebagai insan biasa tetapi diberi kuasa-kuasa luar biasa?
Tak perlulah cari makhluk UFO yang bermata satu atau tiga. Makhluk yang paling bahaya bukan makhluk asing atau raksasa atau iblis tetapi manusia biasa yang gila kuasa dunia!
*Abdul Naser Tun Rahman, Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim (MACMA)
Friday, 25 December 2015
Dajjal bukan bermata satu
Location:
Kota Bharu, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment