Friday, 25 December 2015

Ibn Taimiyah: Pejuang Ahli Sunnah Sunnah yang Dibenci Syiah dan Ahbash (Syiah Berbaju Sunni)

SYEIKH Al-Islam Ibn Taimiyah atau nama penuhnya Abu 'Abbas Ahmad bin 'Abd Al-Halim bin 'Abd Al-Salam bin Taimiyyah (661H-728H) bukanlah nama biasa di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah.

Beliau seorang tokoh pendidik umat, pejuang keadilan, pembela kebenaran dan pembanteras kebatilan. Berpegang tegas dengan prinsip Ahli Sunnah. Sanggup mempertaruhkan nyawa demi kebenaran yang dipertahankan.

Sebab itu, sejarah hidupnya tidaklah sepanjang masa disambut dan dirai dengan kerusi empuk, dihampar permaidani indah, ditabur dengan harta yang mewah dan dipuji pemerintah. Tidak sedikit cabaran dan dugaan yang ditanggungnya di atas nama kebenaran. Difitnah, ditangkap, diseksa dan beberapa kali dipenjarakan. Namun, itu semua tidak langsung menggoyahkan semangat dan menggugat prinsip kebenaran yang diperjuangkan.

Pemerintah yang menangkap dan memenjarakan beliau mungkin menganggap hukuman tersebut dapat menyekat dakwahnya. Namun, perhatikanlah, penjara hanya mampu menahan jasadnya tetapi tidak mampu menyekat ilmu, nasihat, buah fikiran dan semangatnya untuk disebarkan kepada umat. Berapa banyak karya agung beliau dihasilkan dalam penjara dan ia kekal dimanfaatkan oleh umat sehingga hari ini.


Disayangi Ahli Sunnah

Ahli Sunnah wal Jamaah wajib bersyukur dan berbangga kerana dikurniakan seorang tokoh ilmuwan yang menguasai pelbagai bidang. Ketinggian ilmu beliau dalam bidang akidah, falsafah, tafsir al-Quran, hadis, fiqah, siasah, tasawuf dan lain-lain lagi benar-benar membawa kebaikan kepada umat. Fatwa-fatwa dan pandangan beliau diguna pakai di dunia Islam hingga ke hari ini, termasuk juga di Malaysia. Bahkan turut menjadi penyelesaian kepada umat Islam minoriti di negara-negara bukan Islam.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi mengungkapkan: "Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah dalam kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi dalam kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku." (Al-Qaradawi, Kaif Nata'amul ma'a Al-Sunnah, ms: 170, Mesir: Dar Al-Wafa)

Pujian dan pengiktirafan ulama terhadap Ibn Taimiyah terlalu banyak. Jika ada sebarang tohmahan dan fitnah jahat yang dipalitkan kepada Ibn Taimiyah, lantas bangkit sarjana Islam yang akan membersihkan dan membelanya.

Seperti yang dilakukan oleh seorang ulama dari mazhab Al-Syafi'iah, Ibnu Nashiruddin Al-Dimasyqi (wafat 842 H) yang menulis sebuah risalah berjudul Al-Radd Al-Wafir 'ala man Za'ama anna man Samma Ibn Taimiyah Syeikh Al-Islam Kafir (Bantahan yang cukup terhadap orang yang mendakwa sesiapa yang menggelar Ibnu Taimiyyah sebagai Syaikhul Islam maka telah kafir).

Dalam risalah ini, Ibnu Nashiruddin Al-Syafi'i menyebutkan pujian sekitar 85 ulama besar dari pelbagai mazhab: Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali. Kemudian beliau berkata: "Sungguh kami tidak menyebutkan jumlah yang banyak dalam kalangan ulama yang menyatakan akan keimaman Ibnu Taimiyyah dan juga sikap zuhud dan warak beliau." (Ibn Nashiruddin, Al-Radd Al-Waafir, hal 74)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-'Asqalani turut memberi kata pengantar kepada risalah ini dan pujian beliau kepada Ibn Taimiyah. Katanya: "Dan tersohornya keimaman Al-Syaikh Taqiyyuddin (Ibnu Taimiyyah) lebih tersohor daripada matahari. Dan gelaran beliau dengan Syeikh Al-Islam tetap terjaga di lisan yang suci sejak zaman beliau hingga sekarang dan akan terus lestari hingga hari esok sebagaimana sebelum ini. Tidak ada yang mengingkari hal ini kecuali orang jahil (dungu) atau orang yang menjauhi sikap adil."


Kritikan adil & ilmiah

Kita sayang kepada tokoh umat ini. Namun, sayang kita kepada beliau tidaklah membutakan mata untuk melihat bahawa beliau juga adalah seorang manusia. Tidak terjamin daripada tersilap. Justeru, kita dapati, ada sahaja kritikan ilmiah oleh ulama yang dilakukan terhadap pandangan beliau. Kritikan dengan hujah ilmiah sebegini bukanlah suatu yang janggal dalam disiplin ilmu Islam. Tetapi dengan syarat mestilah ia kritikan yang adil disertai dengan hujah yang ilmiah.

Walaupun begitu, kritikan sebegitu tidak sedikit pun menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai tokoh umat. Apatah lagi untuk memfitnah beliau sebagai pencetus kepada ideologi keganasan. Tuduhan sebegini berunsur jahat. Ia tidak akan keluar melainkan dari mulut orang yang tidak mengenali beliau atau pun dari lidah mereka yang membenci dan memusuhinya seperti Syiah, atau dari Syiah yang berbaju Sunnah.


Memerangi Syiah

Ketegasan Ibn Taimiyah dalam membela Ahli Sunnah daripada serangan musuh, sama ada dari dalaman Islam sendiri atau pun pihak luar tidak perlu dipertikaikan lagi. Antaranya ialah penyelewengan, pendustaan dan fitnah yang dibawa oleh golongan Syiah. Maka, tidak hairanlah Syiah akan menjadikan Ibn Taimiyah sebagai sasaran fitnah jahat mereka.

Hal ini seperti yang diulas oleh sarjana Islam terkenal di kurun ini, Maulana Abu Al-Hasan 'Ali Al-Nadwi dalam bukunya yang ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah, Kata beliau: "Sesungguhnya Al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab Syiah dalam banyak tempat dalam bukunya. Dia benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya mempertahankan Sunnah, akidah Ahli Sunnah, Al-Khulafa Al-Rasyidin dan sahabat yang mulia RA.

Di samping itu dia mengkhususkan menjawab Syiah dalam sebuah kitab khas, dinamakan Minhaj Al-Sunnah Al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam Al-Syiah wa Al-Qadariyyah (Jalan Sunnah Nabi Dalam Menolak Pendapat Syiah dan Qadariyyah)." (Lihat: Abu Hasan 'Ali Al-Nadwi, Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah, ms 213 Kuwait: Dar Al-Qalam (t.t)

Di dalam Al-Radd Al-Wafir karangan Ibn Nashiruddin, turut dinukilkan kata-kata dari Syeikh Sadruddin bin Al-Wakiil yang menggambarkan kesungguhan Ibn Taimiyah dalam memerangi Syiah. Kata beliau: "Dan yang paling menakjubkan bahawasanya Ibnu Taimiyyah adalah termasuk orang yang paling gigih menentang ahli bidaah, Syiah Rafidhah, Al-Hululiyah, dan Al-Ittihaadiyah (fahaman wihdatul wujud).

Tulisan beliau mengenai hal ini banyak dan terkenal, serta fatwa-fatwa beliau perihal mereka tidak terhingga. Maka sungguh akan menyenangkan jika mereka mendengar akan kafirnya Ibn Taimiyyah, dan sungguh mereka akan bergembira jika mereka melihat ada ahli ilmu yang mengkafirkan Ibnu Taimiyyah.

Maka wajib bagi orang yang memiliki ilmu dan memiliki akal untuk mengamati perkataan Ibnu Taimiyyah dari karya beliau yang tersohor. Atau dari Ahli Sunnah yang thiqah (dipercayai) dalam kalangan ahli periwayatan/penukilan sehingga dia benar-benar memperoleh perkara-perkara yang dia ingkari dari Ibnu Taimiyyah, lalu hendaknya dia memperingatkan umat dari kesalahan-kesalahan tersebut, dengan maksud untuk memberi nasihat, serta memuji Ibnu Taimiyyah dengan menyebutkan keutamaan beliau pada perkara yang Ibnu Taimiyyah berada di atas kebenaran, sebagaimana kebiasaan (yang dilakukan pada) ulama selain Ibnu Taimiyyah (kesalahan mereka diperingatkan dengan tetap memuji mereka)."

Kekuatan hujah Ibn Taimiyah dalam membongkar kesesatan Syiah membuatkan Syiah tidak senang duduk. Gagal untuk membalas semula hujah, maka tohmahan dan fitnah ke atas Ibn Taimiyah adalah jalan mudah yang diambil oleh Syiah dari zaman dahulu hingga ke hari ini.

Lebih malang, apabila ada dalam kalangan mereka yang mentohmah Ibn Taimiyah ini berlagak seperti pembela Ahli Sunnah. Hakikatnya, mereka membawa pemikiran Syiah tetapi memakai baju Sunnah. Antara yang terkenal hari ini ialah Hassan Al-Saqqaf dari Jordan.

Seruan beliau kepada fahaman bermiripkan Syiah sangat jelas dan ia dilakukan dengan berselindung di sebalik nama Ahli Sunnah. Tulisan beliau yang menyelewengkan kata-kata ulama silam berjaya dibongkarkan. Semua itu dilakukan untuk memburuk-burukkan tokoh-tokoh ulama Ahli Sunnah.

Amat membimbangkan sekiranya ajaran Hassan Al-Saqqaf meresap masuk ke Malaysia dan dijadikan pula sumber hujah dalam agama dan menentukan sesuatu polisi negara. Usaha ini seakan-akan telah dilakukan. Antaranya dengan menterjemahkan buku beliau ke dalam bahasa Melayu seperti yang dilakukan oleh anak murid beliau sendiri, Zamihan Mat Zin. Diharapkan pihak kerajaan dan keselamatan bertegas dalam menyekat pengaruh jahat ini yang boleh mencemarkan kesucian agama dan keharmonian negara kita.

Apa pun, Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah akan tetap kekal sebagai permata berharga bagi Ahli Sunnah wal Jamaah. Tidak ada yang membenci atau mentohmah beliau melainkan dia belum lagi mengenali sepenuhnya Ibn Taimiyah, atau dia adalah Syiah atau pun Syiah yang menyarung jubah Ahli Sunnah.

- Abdul Razak Muthalib

Penulis ialah Master Trainer di Akademi Magnet Sukses.

Graduan Ijazah Sarjana Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa


No comments:

Post a Comment