Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu permohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatangkan bersama permohonan itu pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberikan kurnia rezeki dan anak, dilimpahkan kebahgiaan jiwa serta ditambah kekuatan dan pertolongan. Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu?
Pemohonan itu ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa kita. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran. Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya:
ﺛُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲٓ ﺃَﻋۡﻠَﻨﺖُ ﻟَﻬُﻢۡ ﻭَﺃَﺳۡﺮَﺭۡﺕُ ﻟَﻬُﻢۡ ﺇِﺳۡﺮَﺍﺭٗﺍ . ﻓَﻘُﻠۡﺖُ ﭐﺳۡﺘَﻐۡﻔِﺮُﻭﺍْ ﺭَﺑَّﻜُﻢۡ ﺇِﻧَّﻪُۥ ﻛَﺎﻥَ ﻏَﻔَّﺎﺭٗﺍ . ﻳُﺮۡﺳِﻞِ ﭐﻟﺴَّﻤَﺎٓﺀَ ﻋَﻠَﻴۡﻜُﻢ ﻣِّﺪۡﺭَﺍﺭٗﺍ . ﻭَﻳُﻤۡﺪِﺩۡﻛُﻢ ﺑِﺄَﻣۡﻮَٰﻝٖ ﻭَﺑَﻨِﻴﻦَ ﻭَﻳَﺠۡﻌَﻞ ﻟَّﻜُﻢۡ ﺟَﻨَّٰﺖٖ ﻭَﻳَﺠۡﻌَﻞ ﻟَّﻜُﻢۡ ﺃَﻧۡﻬَٰﺮٗﺍ .
(maksudnya) "Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyakkan rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur.
Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’. Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: “Beristighfarlah”. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: “Beristighfarlah”. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: “Beristighfarlah”. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: “Beristighfarlah”. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.
drmaza.com
No comments:
Post a Comment