KEMUNCULAN peniaga, usahawan dan golongan korporat Melayu dalam dunia perniagaan pada hari ini mengesahkan bahawa semakin sehari, perniagaan kian sebati kembali dalam jiwa mereka.
Tanggapan bahawa orang Melayu tidak pandai berniaga semakin terhakis. Lagipun, terdapat pandangan bahawa berniaga itu sudah lama ada dalam jiwa orang Melayu kerana Melaka misalnya adalah pusat perdagangan di zaman kegemilangan kesultanan Melayu.
Kerana itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Melayu mula dijauhkan dari dunia perniagaan kerana pendekatan pecah dan perintah British yang mengkhususkan sesuatu kaum dengan sesebuah bidang. Orang India di tempatkan di estet-estet getah, orang China di lombong bijih dan orang Melayu pula sebagai petani dan nelayan.
Tanpa kita sedari, semua ini telah berubah. Walaupun Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat 30 peratus ekuiti ekonomi dikuasai oleh orang Melayu itu tidak mencapai sasarannya pada tahun 1990, lama kelamaan dasar itu sendiri telah dilupakan. Bagaimana pun, kegiatan mereka di dalam dunia bisnes kian berkembang. Semakin ramai orang Melayu yang menceburi bidang perniagaan.
Betapa pun, masih terdapat beberapa tanggapan negatif yang masih menjadi kepercayaan buat mereka yang baharu berniaga walaupun ia sudah ketinggalan zaman. Di antara tanggapan yang masih dipegang oleh sebilangan mereka ini ialah, kalau tak tipu, itu bukan berniaga namanya.
Sebut harga yang murah, tetapi kemudiannya dinaikkan dengan mengenakan kos-kos lain, menjual barangan yang berkualiti rendah, mengurangkan kuantiti barangan yang dibekal, bayar lewat, cek tendang atau terus tak bayar langsung adalah di antara perkara yang dikatakan ‘wajib dilakukan’ dalam dunia perniagaan.
Bila mereka tertipu, maka mulalah mereka menipu orang lain pula kerana percaya bahawa kalau tak tipu, bukan berniaga namanya.
Padahal, keseluruhan perniagaan yang cemerlang itu tidak langsung mengamalkan cara tipu daya sebegitu. Sebaliknya, banyak perniagaan yang berjaya menjadikan sikap amanah sebagai amalan perniagaan. Memang ada perniagaan yang mendapat laba besar melalui jalan tipu helah. Namun, perniagaan yang tidak menipu itu lebih stabil dan berdaya maju akhirnya.
Terdapat juga mereka yang mula berniaga, begitu bimbang apabila ada orang lain yang menjual barangan yang sama di sebelah tempat jualannya. Dia beranggapan bahawa perniagaannya akan merosot kerana saingan.
Padahal, pada hari ini terdapat begitu banyak pusat membeli belah yang menempatkan sesuatu perniagaan yang sama di sesebuah zon. Ia sebenarnya menjadi besi berani yang amat kuat menarik pelanggan.
Ada juga mereka yang mengamalkan cara ilmu hitam untuk memajukan perniagaan. Mereka fikir, cara mandrem itulah jalan pintas untuk melaris perniagaan. Padahal, pelaris yang baik itu bukan dengan cara menggunakan jin, tetapi melalui cara promosi, pemasaran dan juga pengiklanan. Banyak sekali perniagaan yang berpendapatan harian ratusan ribu ringgit tidak langsung mengamalkan jin sebagai pelaris.
Ada juga yang amat percaya bahawa untuk mendapat kejayaan, dia mestilah menjadikan mana-mana orang politik atau pentadbir kerajaan sebagai tempat dia berpaut. Orang politik dan pentadbir ini digunakan sebagai orang yang memberi sokongan kepada apa yang dipohon, khususnya tender.
Namun, mereka akhirnya keletihan kerana terpaksa berbuat baik bukan sahaja kepada ketua sesebuah jabatan, tetapi terpaksa berbaik dengan seluruh struktur sesebuah organisasi itu. Semakin besar projek, semakin banyak dan semakin ramailah mulut yang dia hendak suap.
Dia tidak menyedari bahawa ramai lagi orang lain yang menggunakan cara yang serupa untuk mendapatkan kontrak yang sama. Silap gaya, apa yang sudah di tangan akan berpindah ke tangan pesaing. Seolah-olah nasi yang hendak disuap ke mulutnya itu teralih ke mulut orang lain.
Cara begitu memang tidak selamat kerana seseorang itu perlu sentiasa berkejar, seolah-olah berlari tanpa henti dalam hidupnya. Ia juga tidak selamat kerana sentiasa bergelumang dengan pelbagai dosa termasuk usaha memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak.
Hidup bergaya sebelum berjaya juga adalah salah satu kepercayaan mereka yang mula berniaga. Mereka lihat orang bisnes yang berjaya itu berkereta besar, melancong, membeli-belah dan hidup mewah. Mereka tidak tahu, semua itu digapai oleh orang berjaya itu setelah mencurah titik peluh membina perniagaan.
Apabila mereka meniru gaya, mereka akhirnya papa. Sepatutnya mereka menyelidiki apakah daya, bukannya gaya oleh orang yang berjaya itu apabila mula membuka bisnes.
Tidak perlu berpakaian lengkap bertali leher dan berkot ke sana ke mari untuk menunjukkan kejayaan. Contohilah apa yang menjadi cerita dari mulut ke mulut, kisah apek Cina yang berjaya dalam berniaga. Apabila ke bank, dia berpakaian baju-T, berseluar katuk, kelihatan toya, tetapi poketnya berkepuk dengan wang kertas.
Alhamdulilah, tidak lama dahulu, saya pernah temui seorang lelaki Melayu di sebuah bank. Dia berkopiah, berjanggut panjang dan berseluar senteng. Dan bila dia melangkah ke kaunter, dia menyeluk poket jubahnya dan mengeluarkan berikat-ikat wang kertas. Agaknya, itulah gaya orang berjaya dalam berniaga.
Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.
- Norden Mohamed
Saturday, 26 December 2015
Jika mahu mula berniaga…
Location:
Kota Bharu, Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment